Rabu, 2 Julai 2008

29/06/2008 Wang Royalti Pertama Dijangka September ini

Kerajaan Negeri dijangka menerima wang royalti yang dibayar terus oleh Petronas sebanyak dua kali setahun bermula September ini.

Wang pembayaran itu akan dimasukkan terus ke akaun Perbendaharaan Negeri Terengganu berdasarkan jumlah baki yang masih ada dan Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Pusat mengenai jumlah sebenar.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata berdasarkan rundingan positif beliau dan Kerajaan Pusat, proses mengembalikan wang royalti itu akan diuruskan oleh Petronas dan tidak melalui Kerajaan Pusat.

“Alhamdulillah, Kerajaan Pusat telah mengumumkan royalti minyak akan dikembalikan. Bila akan dikembalikan ia bermakna menjadi hak kita dan kita perlu ada rundingan dengan Kerajaan Pusat mengenai beberapa isu.

“Penyerahan sudah dibuat tetapi perlu ada hitam putih dan kemukakan dalam mesyuarat dan persetujuan kita juga perlu ada hitam putih,”katanya kepada wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) ketika diwawancara sempena 100 hari pentadbiran beliau, di pejabat beliau, semalam (29 Jun).

Beliau berkata, apabila ada perjanjian bertulis mengenai keputusan dan persetujuan bersama dalam tempoh terdekat ini mengenai royalti, Kerajaan Negeri akan menarik balik saman kepada Kerajaan Pusat.

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri ingin mengetahui secara terperinci jumlah baki wang royalti yang ada pada Kerajaan Pusat dan jika habis ke mana wang itu dibelanjakan.

Katanya, wang itu nanti perlu disimpan untuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan rakyat Terengganu mendapat manfaat pada masa depan.

“Kita perlu ada pelaburan jangka panjang. Setiap tahun kita perlu belanjakan RM 1.6 billion dan 1 billion datangnya dari dana khas dan hasil minyak.

“Kalau tiada minyak dengan jumlah RM1 bilion, maknanya RM400-RM600 juta dengan hasil balak, air, api dan tanahnya dengan hanya RM500-RM600 juta tidak mampu mentadbir negeri. Untuk bayar gaji pun tak cukup (pengurusan),” katanya.

Katanya, daripada RM500 juta untuk pembangunan, RM1 bilion untuk pengurusan (1/3 pembangunan dan 2/3 pengurusan) di mana pengurusan melibatkan pembayaran gaji, emolumen dan sebagainya.

Beliau berkata, wang yang bakal diperolehi nanti akan digunakan untuk pelaburan masa depan yang mampu membawa keuntungan kepada semua pihak seperti membuka ladang rakyat untuk membantu golongan miskin.

“Sekarang kita sudah boleh buat bajet. Kita akan rancang dari masa ke semasa. Kita akan buat berdasarkan duit yang ada pada kita.

“Kerajaan Negeri berharap rakyat tidak membuat spekulasi dan jangan bimbang kerana Kerajaan Negeri akan menguruskan dengan penuh tanggungjawab amanah ini dan akan mengumumkannya apabila tiba masa tidak lama lagi,”katanya.

Tiada ulasan: