Isnin, 21 Julai 2008

15/07/2008 >>> KIH Tarikan Baru Tasik Kenyir

Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sebelum ini lebih sinonim sebagai lokasi kaki pancing dan pencinta alam sekitar kini bakal berubah wajah dengan pengumuman Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Kenyir Island Hoping (KIH) pada bulan Oktober nanti.

Projek buat permulaan mendapat suntikan RM50 juta meliputi 10 buah pulau yang terletak di utara Pengkalan Gawi mempunyai konsep berbeza.

Antara taman yang dirancang untuk dibina termasuklah Taman Rama-Rama, Taman Orkid, Taman Tropika, Taman Burung, dan ‘theme park’ dijangka menarik lebih ramai pelancong seisi keluarga terutamanya peminat burung, rama-rama dan orkid untuk berkunjung ke Tasik Kenyir pada masa depan.

Selain dari itu, Santuari Kelah kedua turut diwujudkan di Sungai Cacing.

“Kita mempunyai harapan yang besar terhadap projek ini agar Tasik Kenyir menjadi hub pelancongan utama pada masa depan,” kata Menteri Besar, Dato Ahmad Said pada sidang media pada Majlis Lawatan Kerja Tasik Kenyir, di Resort Pulau Petang, Tasik Kenyir, kelmarin (15 Julai)

Menurut Dato’ Ahmad, bagi memastikan projek yang dirancang berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan melantik konsultan bagi memastikan rekabentuk taman berkenaan tersebut benar-benar memberi impak kepada pengunjung.

“Dalam melaksanakan projek ini, kita tetap mengutamakan kesan kepada alam sekitar, kita akan buat parameter, yang kena dengan pokok sahaja perlu ditebang. Pokok yang besar kita cuba untuk elakkan,”katanya.

Turut sama dalam lawatan berkenaan kumpulan pelabur dari London dan Kuala Lumpur.

Tambah Dato’ Ahmad, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) agar dinyatakan pada tender dikeluarkan dengan melarang penebangan, mencabut pokok kecuali dengan kebenaran sahaja.

Menyentuh berkenaan usaha menarik pelancong Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk membenarkan sesetengah penerbangan ‘direct’ dari luar negara tiba ke Terengganu.

“Konsep ini kita telah pelajari dari Negeri Sabah dimana mereka membenarkan sesetengah pelancong yang datang penerbangan secara langsung ke Kota Kinabalu.

"Kerajaan Negeri Sabah membayar ‘port tax’ setiap penumpang yang datang dan juga membayar ‘parking fee’ kapal terbang untuk tujuan itu,” jelasnya.

Tambah Dato' Ahmad, pihak Kerajaan Negeri telah berbincang dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk melaksanakan konsep tersebut mereka telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan konsep tersebut apabila tiba masa yang sesuai,” ujar Dato' Ahmad.

Sehingga Jun lalu, jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir berjumlah 72,000 orang dan jumlah berkenaan akan meningkat kepada tiga kali ganda setelah projek KIH siap nanti.

Fakta Kenyir Island Hoping (KIH)

Taman Tropical Garden (5.5 hektar)-Pulau Tekak Besar -Pokok Asam Kandis, Sengkuang, Durian Kuing, Mangga Hutan, Setambu, Tampar, Putat dan Manggis Beruang,

Taman Rama-Rama (1.4 hektar)-Pulau Kerengga Kecil dan Pulau Kerengga.

-Spesies Blue Morpho, American Snout, Postman, Peacock, Karner Blue, Saturn, Tortoise Shell dan Southern Dogface.

-Turut disediakan kawasan terbuka (rama-rama bebas) dan kawasan bersangkar.

-Jambatan berbentuk rama-rama menghubungkan Pulau Kerengga dan Pulau Kerengga Kecil.

'Kenyir Eco Park' (61 hektar)-Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak

-'Canopy walk', gerai cenderahati dan cafeteria.

-Kemudahan berkayak dan 'paddle boat'.

-Zoo bebas.

-Taman Permainan Kanak-kanak

-Taman Herba

Taman Orkid (27 hektar)-Pulau Hulu Selimbar, Pulau Belit dan Pulau Hilir Selimbar.

-Tarikan spesies termasuklah Oncidium Papilo, Catasandra Farfare, Cattleya Richard Muellar, Aechnis dan Dendribiom.

-Dilengkapi kawasan semaian dan penyelidikan.

Taman Burung(1.7 hektar)-Pulau Terengganu Mati

Tiada ulasan: