Selasa, 26 Ogos 2008

20/08/2008 Sambutan Perisytiharan Perbandaran Dungun Meriah

Pertukaran status Majlis Daerah Dungun (MDD) kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) sudah sekian lama dinantikan seluruh penduduk di daerah itu.

Komitmen dan sokongan penduduk terhadap pertukaran status itu dapat disaksikan apabila lebih 20,000 penduduk membanjiri tapak majlis Pemasyhuran MPD, di Dataran Dewan Merdeka, Dungun, malam kelmarin (20 Ogos).

Majlis penyerahan watikah perisytiharan itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman kepada Yang Dipertua MDD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Hadir sama, Menteri Besar , Dato’ Ahmad Said dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin.

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional, pertunjukan bunga api dan kemunculan beberapa artis popular tanah air seperti Mila AF, Uji Rashid dan Hail Amir.
Rata-rata pengunjung berpuas hati dan terhibur dengan persembahan serta aktiviti bersempena pemasyhuran MPD, selain berharap dengan pertukaran status kepada MPD akan wujud lebih banyak pembangunan di daerah itu.

Bandar Dungun pada awalnya dikenali sebagai pusat kegiatan perlombongan biji besi pada awal 50-an dan juga kegiatan nelayan pantai.

Dungun kini mengalami kepesatan yang ketara dengan pertambahan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat serta kemudahan termasuk pusat pengajian tinggi, pasar raya, pusat industri petrokimia dan pengangkutan awam.