Khamis, 25 September 2008

Wartawan, Pemimpin Saling Memerlukan

Dana Hari Raya Ditambah RM1 Juta Lagi


Dana Hari Raya Ditambah RM1 Juta Lagi
Kerajaan Negeri menambah peruntukan Dana Khas Hari Raya sebanyak RM1 Juta lagi berikutan terdapat banyak laporan berlaku keciciran penerima sumbangan itu terutama di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang dan Dun Wakaf Mempelam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata hampir 2,000 penerima melibatkan kira-kira 1,500 di Dun Ladang, manakala 400 lagi di Dun Wakaf Mempelam tidak menerima dana itu berikutan kegagalan mereka menukar baucer bagi menuntut wang di pusat tertentu pada tempoh masa yang ditetapkan pihak pengurusan.

“ Masalah ini timbul kerana terdapat sesetengah penerima datang melebihi pada waktu yang sepatutnya dan pegawai yang bertugas pula terpaksa akur dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

“ Tambahan dana RM1 juta ini bukan diperuntukkan di Dun Ladang dan Wakaf Mempelam sahaja, malah ianya akan diagihkan ke semua Dun yang mempunyai masalah yang sama,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ini (24 September).

Dalam pada itu, beliau berharap pengagihan dana yang bermula sejak dua minggu lalu dan berakhir pada hujung minggu ini dapat dinikmati sebaik mungkin oleh mereka yang layak menerimanya.

Sebelum itu, Menteri Besar turut menyaksikan penyerahan replika cek pembayaran Zakat Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad 2007 berjumlah RM1 juta yang disampaikan oleh Pengurus Besar Hubungan Strategik, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Alwi Muhammad.

Menerusi pembayaran zakat ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membina 30 unit rumah kos rendah menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh Terengganu.

Sementara itu, Dato’ Ahmad turut menerima replika cek dividen keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri, Golden Pharos Berhad bernilai RM1,351,002 yang disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.