Khamis, 26 Jun 2008

Terengganu Bangunkan Sirkit Formula Future (25/06/2008)


Sirkit Formula Future akan dibangunkan di kawasan paya berhampiran Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak, Kuala Terengganu untuk memantapkan latihan dan penganjuran sukan yang kini dimonopoli oleh anak Terengganu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi memastikan tujuan pembangunan itu tercapai, Kerajaan Negeri akan menghantar Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said bersama beberapa pegawai bagi meninjau tempat pertandingan peringkat antarabangsa, di Pertandingan Formula Future Dunia 2008 yang akan diadakan di Ravenna Itali pada 18 Julai hingga 20 Julai 2008.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihaknya menghantar Datuk Rahin dan pegawai termasuk dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri bagi melihat secara terperinci keluasan dan ciri sirkit yang memenuhi piawaian pertandingan peringkat antarabangsa untuk dibangunkan di Terengganu.

“Kita buat di satu tempat kerana kita masih ada tanah di kawasan paya (bersebelahan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak)akan kita gali, kita ikut sebagaimana sirkit yang digunakan dalam Formula Future. Keluasan berdasarkan kehendak Formula Future itu sendiri dan begitu juga dengan sukan kanu.

“Kalau tidak ada latihan untuk kanu atau latihan Formula Future, kita akan jadikan taman rekreasi di kawasan itu,”kata Dato’ Ahmad selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (25 Jun) .

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri yang berbangga dengan penguasaan atlet Formula Future Terengganu ke kejohanan peringkat dunia turut menyampaikan sumbangan RM5,000 seorang termasuk pakaian sukan kepada enam peserta tempatan daripada 10 keseluruhan peserta yang melayakkan diri ke kejohanan itu.

Mereka ialah Syed Ali Kadzimi Syed Khalid, 17, (Kelas 5); Mohd Zulhaniff Mazlan,13 (Kelas 3); Nik Daniel Afifuddin, 12 (Kelas 3); Tengku Anisah Atirah Tengku Zainal Abidin,10 (Kelas 2); Mohd Haniff Ramli, 11 (Kelas 2) dan Muhammad Zhafree Ammar, 9 (kelas 1).

Pada masa yang sama, Dato’ Ahmad berharap bendera Terengganu turut dilekatkan bersama bendera Malaysia pada jaket yang mereka pakai di kejohanan itu nanti.

Formula Future ialah kejohanan ujian kemahiran pengendalian bot bagi remaja berumur daripada lapan hingga 18 tahun dan merupakan satu daripada peringkat sebelum melangkah ke peringkat tertinggi, Kejohanan Formula 1 Powerboat Dunia.

Malaysia merangkul gelaran dunia sebanyak tiga kali sepanjang 2004, 2005 dan 2007. Pada tahun lalu, pasukan negara merangkul gelaran juara dunia selepas berjaya mengalahkan lima negara Eropah iaitu Jerman, Itali, Rusia, Republik Czech dan Portugal dengan kutipan dua emas, tiga perak dan satu gangsa dengan 2,200 mata keseluruhan.

Tiada ulasan: