Isnin, 14 Julai 2008

14/07/2008 >>> UMT Diiktiraf Jana ECER

Penglibatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membuktikan masyarakat secara keseluruhannya mengiktiraf peranan institusi ilmuan itu dalam menjana program pembangunan negara keseluruhannya.

Projek ECER yang dilancarkan pada 2007 antara lain turut memberi fokus kepada bidang pendidikan, selain sektor pelancongan, pertanian serta petroleum dan gas.

Bagi menjayakan matlamat itu, UMT telah menubuhkan beberapa pusat penyelidikan dan latihan antaranya Pusat Latihan Pengurusan Fasiliti, Pusat Pembangunan Sosial, Pusat Biodiversiti dan Oseanografi serta Pusat Kerjasama Industri Akademia.

Demikian titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Nur Zahirah pada Majlis Konvokesyen Ke-6, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan UMT, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (14 Julai).

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan Canselor Pertama UMT berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman serta Ahli-ahli MPPR.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus; Naib Canselor UMT, Dato’ Prof Dr Sulaiman Md Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Raja Permaisuri yang juga Canselor UMT turut bertitah, selain dari itu pihak UMT sentiasa berusaha untuk memenuhi pelbagai tuntutan obligasi sosialnya terhadap negara dan komuniti setempat.

“Penganjuran program outreach dan pelestarian pembangunan pendidikan seperti penganjuran program tahunan Educare adalah salah satu daripada inisiatif dalam memenuhi agenda pendidikan nasional dan menyokong terhadap pembangunan pendidikan komuniti di Terengganu,” titah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Raja Permaisuri Tuanku Nur Zahirah menyatakan kejayaan yang diperolehi ini merupakan kemenangan perjuangan para graduan bagi memperolehi segulung ijazah setelah berkorban masa dan tenaga.

“Malah ibu bapa dan penjaga turut memainkan peranan kerana telah bersusah payah membentuk anak-anak sehingga berjaya.

“Sesungguhnya sumbangan setiap warga UMT dalam proses melengkapkan para graduan dengan ilmu dan kemahiran amat besar dan tidak ternilai,”titah baginda.

Dalam pada itu, seramai 1,454 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 116 graduan penerima Diploma, 42 graduan penerima Ijazah Sarjana dan empat graduan menerima Ijazah Kedoktoran yang disampaikan oleh Canselor, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Sementara itu, penerima Pingat Emas Canselor, Nurul Haqimin Mohd Salleh, 23, bersyukur dengan kejayaan di luar jangkaan yang diterimanya itu.

Kata Haqimin, dia mampu menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) dalam tempoh dua tahun sahaja berbanding tiga tahun mengikut tempoh kebiasaan.

“Cabaran yang ditempuhi sepanjang tempoh berkenaan adalah masa pembelajaran yang singkat dan dalam masa sama terpaksa bersaing dengan pelajar `senior’ lain disebabkan tempoh belajar yang saya ambil singkat,” ujarnya kepada media sejurus selepas majlis berkenaan.

Graduan yang berasal dari Pulau Pinang itu boleh dikatakan bertuah kerana walaupun sudah lima bulan menjawat jawatan di syarikat perkapalan terkenal, MISC Agencies, beliau turut ditawarkan untuk menjadi tutor di UMT.

“Sebenarnya surat sudah pun saya dapat dan jika tidak ada halangan saya akan terima tawaran tersebut `Master’ di Kanada tahun depan,” jelasnya.

Tiada ulasan: