Selasa, 8 Julai 2008

Pulau Bidong Taman Skuba Dunia


Usaha penjenamaan semula dan pemuliharaan terumbu karang di Pulau Bidong, Terengganu dipergiatkan bagi memastikan pulau itu menjadi antara destinasi pelancongan terkenal di dunia bagi penggemar aktiviti skuba.

Bagi merealisasikan hasrat itu, majlis taklimat dan sesi perbincangan yang juga program tahunan Persatuan Corals Malaysia diadakan di Pulau Bidong, pada 28 hingga 30 Jun lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tidak melepaskan selepas perbincangan itu untuk sama-sama menyelam di Galeri Dasar Laut yang mempunyai replika-replika tradisional dan warisan Terengganu.

Selain ahli-ahli Persatuan Corals Malaysia, program turut disertai 40 peserta dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tourism Malaysia Terengganu, Perikanan Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan pensyarah serta pelajar-pelajar Fakulti Laut Marin Universiti Malaysia Terengganu.

Pengerusi Persatuan Corals Malaysia, Cik Jamhariah Jaafar mencadangkan penjenamaan semula Pulau Bidong di persada dunia sebagai destinasi taman tema skuba pertama di dunia yang menggabungkan Galeri Tukun Tiruan, Galeri Bangkai Kenderaan Pengangkutan Tentera selain dari Galeri Dasar Laut Warisan yang sedia ada.

“Perbincangan dua hala telah mendapat restu daripada Kementerian Pertahanan untuk meletakkan bangkai-bangkai kapal terbang, kapal laut, kereta kebal dan helikopter di Taman Tema Pulau Bidong dan ini sudah tentu dapat menggamit penyelam-penyelam untuk menyaksikan secara dekat di samping bangkai-bangkai tersebut dapat menjadi tempat pembiakan hidupan laut,” katanya.

Selain itu, satu jawatankuasa perlu dilantik bagi merealisasikan projek eko pelancongan ini yang bakal melibatkan Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Perikanan, Unit Taman laut dan Lembaga Muzium Negeri.

Warisan di Pulau Bidong perlu dipulihara sebagai destinasi eko pelancongan dan juga sebagai produk nilai tambah kepada cadangan Taman Tema Skuba Pulau Bidong seperti pengwartaan Memorial Vietnam dan juga Pusat Penyelidikan dan pemuliharaan hidupan laut marin yang termasuk juga pusat penetasan penyu.

Dengan termeterainya projek ini akan memartabatkan destinasi Pulau Bidong yang pada suatu masa lalu sinonim sebagai penempatan pendatang Vietnam akan dijenamakan sebagai destinasi Taman Tema Skuba pertama di dunia.

Tiada ulasan: