Ahad, 28 Disember 2008

Jemaah Haji Selamat Pulang




















“Saya akan kembali ke tanah suci Makkah sekiranya diizinkan Allah S.W.T, jiwa saya tenang di sana berikutan tiada sebarang masalah berlaku.

“Pemergian saya ke tanah suci adalah di atas tajaan Kerajaan Negeri. Ucapan terima kasih kepada pihak berkenaan kerana memberi ruang untuk mengerjakan ibadat suci ini,” kata Puan Ikram Ismail, 55, dari Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, selain diberi peluang mengerjakan haji, dirinya berasa cukup bertuah kerana turut menjadi penumpang sulong pesawat Boeing 747.

“Sebagai rakyat Terengganu, saya cukup kagum dengan kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri yang nyata mampu menjimatkan masa dan kos jemaah dan penumpang lain,” kata kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman.

Jemaah dari Kemaman, Sollahuddin Ramli, 50, berkata syukur kerana dia dan rakan lain selamat tiba di LTSM dalam keadaan sihat.

“Bertambah ceria apabila ketibaan kami yang menaiki pesawat Boieng 747 disambut Menteri Besar dan beberapa pemimpin lain.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kemudahan seperti ini yang nyata mampu menjimatkan masa dan kos,” katanya ketika ditemui di balai ketibaaan LTSM, Kuala Terengganu, hari ini (27 Disember).
Penerbangan sulong yang membawa 355 jemaah dari Jeddah ke LTSM itu selamat tiba ke tanah air kira-kira jam 6.45 pagi dan semua jemaah disambut Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga calon Barisan Nasional, Senator Dato’ Wan Farid Wan Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat dan Timbalannya YB Muhammad Ramli Nuh.

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi menyediakan kawasan khas sebagai tempat letak pesawat Boeing 747 di LTSM, tahun depan.

Katanya, pembinaan tempat letak pesawat itu adalah sebagai usaha Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada orang ramai terutama keluarga jemaah untuk melihat lebih dekat bakal haji menaiki pesawat sebelum berlepas ke Jeddah.

“Penambahan tempat letak pesawat itu juga seiring dengan peningkatan kepada 20 penerbangan secara terus dari LTSM ke Jeddah pada tahun depan dengan melibatkan Kelantan dan Pahang,” katanya.

Isnin, 1 Disember 2008

29/11/2008 - Ibu MB Terengganu Kembali Kerahmatullah


Jenazah Ibu Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Wook Ali, 88 telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Teluk Kalong, Kijal , Kemaman kira-kira jam 2.40 petang semalam (29 November).

Allahyarham Wook telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Kuantan (KMC) seminggu lalu kerana sakit tua dan meninggal dunia pada Jumaat jam 10.30 malam.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menziarahi jenazah dan tiba di kediaman Menteri Besar pada jam 12.15 tengah hari kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur jam 12.30 tengah hari.

Turut menziarahi jenazah ialah pegawai dan kenamaan dari Istana Negeri Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan pegawai kanan kerajaan.

Rabu, 26 November 2008

24/11/2008 - CABARAN LEPASI KELAYAKAN PIALA MONSUN


Sesi pertama Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun Pusingan Kelayakan Malaysia 2008 yang bermula semalam (24 November) hingga esok di Pulau Duyong, Kuala Terengganu menyaksikan lapan peserta saling berentap termasuk satu pasukan yang diketuai skipper wanita.

Skipper wanita berkenaan, Nurul Ain Mohd Isa, 23, sebelum ini pernah memenangi pingat perak kelas International 420 pada Sukan Asia 2007 di Thailand dan pingat emas Sukan Malaysia (Sukma ) Ke-13 di Terengganu mengetuai cabaran sulung pasukan Perak Sailing Team bersama empat kru lelaki lain.

Manakala tujuh pasukan lain adalah Putrajaya; Navy 2; KFC; Navy 1; Langkawi Geopark; Terengganu Team dan Johor Team.

Dalam pada itu, semua peserta perlu melalui tujuh saingan pada pusingan awal ini sebelum layak ke peringkat separuh akhir dan akhir.

Selasa, 14 Oktober 2008

Taman Tamadun Islam - Tumpuan Pelancong

Pastikan tiada lagi anak-anak daif, miskin terbiar.

Apa Itu Kursus MEPS?

Temubual YAB MB Terengganu di TFM

Setiap apa yang dilakukan mestilah yang disukai rakyat.

Luang Masa Dekati Penduduk

Marang Pusat Ternakan

Sekolah Sukan Negeri Terengganu

TERENGGANU - Kuasa Baru Sukan Malaysia

Reaksi Orang Ramai Mengenai SUKMA Ke-12

Sukma: Pelancong Ramai Datang, Kuala Terengganu Sesak

TERENGGANU - Kuasa Baru Sukan Malaysia Juara SUKMA 2008

Isnin, 13 Oktober 2008

Atlet Sukan Raih Emas Dijanji Habuan

RM40 juta Disediakan Untuk Projek Tanaman Padi

Sambungan Wawancara 60 Minit Bersama Menteri

Modal Insan Terus Dibangunkan

Lahir 250 Pengusaha Fertigasi

Penguatkuasa Syariah Ditambah

Sekitar Sidang DUN (5-8 Mei 2008)

Perlantikan YDP Dewan dan Setiausaha Politik

Ahli Dewan Undangan Negeri Ke Dua Belas

Terengganu Makin Pesat - YDP MPPR

Rakyat Gembira Dapat Stadium Baru

Stadium Sultan Mizan Jadi Kenyataan

Pertambahan Imam Bertaraf Hafiz Di Masjid Seluruh Terengganu

Wawancara YAB MB, 60 Minit Bersama Menteri

Sambungan Wawancara 60 Minit Bersama Menteri

60 Minit Bersama Menteri

Komentar Rakyat

Utamakan Rakyat, Bantu Yang Miskin

Faedah Rakyat Diutamakan

MB Angkat Sumpah

Memori Bersejarah

Mengenali YAB Dato' Ahmad bin Said

KDYMM Pemangku Raja Serta Ahli MMKN

Warta Hadhari - MB Semangat Jitu

Khamis, 25 September 2008

Wartawan, Pemimpin Saling Memerlukan

Dana Hari Raya Ditambah RM1 Juta Lagi


Dana Hari Raya Ditambah RM1 Juta Lagi
Kerajaan Negeri menambah peruntukan Dana Khas Hari Raya sebanyak RM1 Juta lagi berikutan terdapat banyak laporan berlaku keciciran penerima sumbangan itu terutama di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang dan Dun Wakaf Mempelam.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata hampir 2,000 penerima melibatkan kira-kira 1,500 di Dun Ladang, manakala 400 lagi di Dun Wakaf Mempelam tidak menerima dana itu berikutan kegagalan mereka menukar baucer bagi menuntut wang di pusat tertentu pada tempoh masa yang ditetapkan pihak pengurusan.

“ Masalah ini timbul kerana terdapat sesetengah penerima datang melebihi pada waktu yang sepatutnya dan pegawai yang bertugas pula terpaksa akur dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

“ Tambahan dana RM1 juta ini bukan diperuntukkan di Dun Ladang dan Wakaf Mempelam sahaja, malah ianya akan diagihkan ke semua Dun yang mempunyai masalah yang sama,”katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada hari ini (24 September).

Dalam pada itu, beliau berharap pengagihan dana yang bermula sejak dua minggu lalu dan berakhir pada hujung minggu ini dapat dinikmati sebaik mungkin oleh mereka yang layak menerimanya.

Sebelum itu, Menteri Besar turut menyaksikan penyerahan replika cek pembayaran Zakat Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad 2007 berjumlah RM1 juta yang disampaikan oleh Pengurus Besar Hubungan Strategik, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Alwi Muhammad.

Menerusi pembayaran zakat ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membina 30 unit rumah kos rendah menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh Terengganu.

Sementara itu, Dato’ Ahmad turut menerima replika cek dividen keuntungan anak syarikat Kerajaan Negeri, Golden Pharos Berhad bernilai RM1,351,002 yang disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Selasa, 26 Ogos 2008

20/08/2008 Sambutan Perisytiharan Perbandaran Dungun Meriah

Pertukaran status Majlis Daerah Dungun (MDD) kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) sudah sekian lama dinantikan seluruh penduduk di daerah itu.

Komitmen dan sokongan penduduk terhadap pertukaran status itu dapat disaksikan apabila lebih 20,000 penduduk membanjiri tapak majlis Pemasyhuran MPD, di Dataran Dewan Merdeka, Dungun, malam kelmarin (20 Ogos).

Majlis penyerahan watikah perisytiharan itu disempurnakan Yang Dipertua Majlis Penasihat pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman kepada Yang Dipertua MDD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Hadir sama, Menteri Besar , Dato’ Ahmad Said dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin.

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional, pertunjukan bunga api dan kemunculan beberapa artis popular tanah air seperti Mila AF, Uji Rashid dan Hail Amir.
Rata-rata pengunjung berpuas hati dan terhibur dengan persembahan serta aktiviti bersempena pemasyhuran MPD, selain berharap dengan pertukaran status kepada MPD akan wujud lebih banyak pembangunan di daerah itu.

Bandar Dungun pada awalnya dikenali sebagai pusat kegiatan perlombongan biji besi pada awal 50-an dan juga kegiatan nelayan pantai.

Dungun kini mengalami kepesatan yang ketara dengan pertambahan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat serta kemudahan termasuk pusat pengajian tinggi, pasar raya, pusat industri petrokimia dan pengangkutan awam.

Rabu, 23 Julai 2008

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR

ISU MERCEDES KE KABINET - UTUSAN MALAYSIA 22 JULAI 2008

Kerajaan Negeri Terengganu ingin menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kereta rasmi Kerajaan Negeri Terengganu adalah telus dan wajar.

Sejumlah 10 buah kereta yang baru dibeli itu adalah untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan empat lagi dimana setiap satu adalah untuk kegunaan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Ahmad Said masih lagi menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama (TAR 567) yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti yang dilaporkan dalam akbar Utusan Malaysia.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali mengunakan wang royalti minyak. Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (ii) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD.

Kewajaran pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor adalah berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraan yang rendah. Kerajaan Negeri tidak mampu membiayai lagi membiayai kos selenggaraan Perdana V6 Executive.

Contohnya, kos penyelengaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97, yang tertinggi, dan RM132,357.76 dari tahun 2004 sehingga hari ini.

Kerajaan Negeri juga mengambil pertimbangan mengenai kenaikan harga bahanapi (fuel) dan nilai terpakai yang tinggi untuk Mercedes E200 Kompressor.

Sekiranya diperlukan, Kerajaan Negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos servis dan kerosakan sejak mula kereta Proton Perdana V6 digunakan sebagai kereta rasmi kerajaan.

Dari segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuashati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor.

Ini adalah penting memandangkan pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan.

Disediakan oleh PEJABAT MENTERI BESAR TERENGGANU

Isnin, 21 Julai 2008

20/07/2008 >>> Yassin Dan Tahlil Sambut Keputeraan Sultan

Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ibni al Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah menghadiri bacaan Yassin dan Tahlil sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Terengganu ke-46 di Istana Maziah, Kuala Terengganu, hari ini(20 Julai).

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri , Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokthar Nong dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Majlis diketuai oleh Mufti Negeri, Haji Alias Abdullah dimulakan dengan bacaan surah Yassin diikuti tahlil dan seterusnya menunaikan solat Zohor berjemaah .

Selain itu, semua masjid seluruh negeri turut mengadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil sempena ulang tahun serta khutbah khas pada solat Jumaat baru-baru ini.

15/07/2008 >>> KIH Tarikan Baru Tasik Kenyir

Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara sebelum ini lebih sinonim sebagai lokasi kaki pancing dan pencinta alam sekitar kini bakal berubah wajah dengan pengumuman Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek Kenyir Island Hoping (KIH) pada bulan Oktober nanti.

Projek buat permulaan mendapat suntikan RM50 juta meliputi 10 buah pulau yang terletak di utara Pengkalan Gawi mempunyai konsep berbeza.

Antara taman yang dirancang untuk dibina termasuklah Taman Rama-Rama, Taman Orkid, Taman Tropika, Taman Burung, dan ‘theme park’ dijangka menarik lebih ramai pelancong seisi keluarga terutamanya peminat burung, rama-rama dan orkid untuk berkunjung ke Tasik Kenyir pada masa depan.

Selain dari itu, Santuari Kelah kedua turut diwujudkan di Sungai Cacing.

“Kita mempunyai harapan yang besar terhadap projek ini agar Tasik Kenyir menjadi hub pelancongan utama pada masa depan,” kata Menteri Besar, Dato Ahmad Said pada sidang media pada Majlis Lawatan Kerja Tasik Kenyir, di Resort Pulau Petang, Tasik Kenyir, kelmarin (15 Julai)

Menurut Dato’ Ahmad, bagi memastikan projek yang dirancang berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan melantik konsultan bagi memastikan rekabentuk taman berkenaan tersebut benar-benar memberi impak kepada pengunjung.

“Dalam melaksanakan projek ini, kita tetap mengutamakan kesan kepada alam sekitar, kita akan buat parameter, yang kena dengan pokok sahaja perlu ditebang. Pokok yang besar kita cuba untuk elakkan,”katanya.

Turut sama dalam lawatan berkenaan kumpulan pelabur dari London dan Kuala Lumpur.

Tambah Dato’ Ahmad, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) agar dinyatakan pada tender dikeluarkan dengan melarang penebangan, mencabut pokok kecuali dengan kebenaran sahaja.

Menyentuh berkenaan usaha menarik pelancong Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk membenarkan sesetengah penerbangan ‘direct’ dari luar negara tiba ke Terengganu.

“Konsep ini kita telah pelajari dari Negeri Sabah dimana mereka membenarkan sesetengah pelancong yang datang penerbangan secara langsung ke Kota Kinabalu.

"Kerajaan Negeri Sabah membayar ‘port tax’ setiap penumpang yang datang dan juga membayar ‘parking fee’ kapal terbang untuk tujuan itu,” jelasnya.

Tambah Dato' Ahmad, pihak Kerajaan Negeri telah berbincang dengan Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk melaksanakan konsep tersebut mereka telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan konsep tersebut apabila tiba masa yang sesuai,” ujar Dato' Ahmad.

Sehingga Jun lalu, jumlah pengunjung ke Tasik Kenyir berjumlah 72,000 orang dan jumlah berkenaan akan meningkat kepada tiga kali ganda setelah projek KIH siap nanti.

Fakta Kenyir Island Hoping (KIH)

Taman Tropical Garden (5.5 hektar)-Pulau Tekak Besar -Pokok Asam Kandis, Sengkuang, Durian Kuing, Mangga Hutan, Setambu, Tampar, Putat dan Manggis Beruang,

Taman Rama-Rama (1.4 hektar)-Pulau Kerengga Kecil dan Pulau Kerengga.

-Spesies Blue Morpho, American Snout, Postman, Peacock, Karner Blue, Saturn, Tortoise Shell dan Southern Dogface.

-Turut disediakan kawasan terbuka (rama-rama bebas) dan kawasan bersangkar.

-Jambatan berbentuk rama-rama menghubungkan Pulau Kerengga dan Pulau Kerengga Kecil.

'Kenyir Eco Park' (61 hektar)-Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak

-'Canopy walk', gerai cenderahati dan cafeteria.

-Kemudahan berkayak dan 'paddle boat'.

-Zoo bebas.

-Taman Permainan Kanak-kanak

-Taman Herba

Taman Orkid (27 hektar)-Pulau Hulu Selimbar, Pulau Belit dan Pulau Hilir Selimbar.

-Tarikan spesies termasuklah Oncidium Papilo, Catasandra Farfare, Cattleya Richard Muellar, Aechnis dan Dendribiom.

-Dilengkapi kawasan semaian dan penyelidikan.

Taman Burung(1.7 hektar)-Pulau Terengganu Mati

Isnin, 14 Julai 2008

14/07/2008 >>> UMT Diiktiraf Jana ECER

Penglibatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membuktikan masyarakat secara keseluruhannya mengiktiraf peranan institusi ilmuan itu dalam menjana program pembangunan negara keseluruhannya.

Projek ECER yang dilancarkan pada 2007 antara lain turut memberi fokus kepada bidang pendidikan, selain sektor pelancongan, pertanian serta petroleum dan gas.

Bagi menjayakan matlamat itu, UMT telah menubuhkan beberapa pusat penyelidikan dan latihan antaranya Pusat Latihan Pengurusan Fasiliti, Pusat Pembangunan Sosial, Pusat Biodiversiti dan Oseanografi serta Pusat Kerjasama Industri Akademia.

Demikian titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Nur Zahirah pada Majlis Konvokesyen Ke-6, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan UMT, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini (14 Julai).

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan Canselor Pertama UMT berkenan hadir ke majlis tersebut.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman serta Ahli-ahli MPPR.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus; Naib Canselor UMT, Dato’ Prof Dr Sulaiman Md Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Raja Permaisuri yang juga Canselor UMT turut bertitah, selain dari itu pihak UMT sentiasa berusaha untuk memenuhi pelbagai tuntutan obligasi sosialnya terhadap negara dan komuniti setempat.

“Penganjuran program outreach dan pelestarian pembangunan pendidikan seperti penganjuran program tahunan Educare adalah salah satu daripada inisiatif dalam memenuhi agenda pendidikan nasional dan menyokong terhadap pembangunan pendidikan komuniti di Terengganu,” titah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Raja Permaisuri Tuanku Nur Zahirah menyatakan kejayaan yang diperolehi ini merupakan kemenangan perjuangan para graduan bagi memperolehi segulung ijazah setelah berkorban masa dan tenaga.

“Malah ibu bapa dan penjaga turut memainkan peranan kerana telah bersusah payah membentuk anak-anak sehingga berjaya.

“Sesungguhnya sumbangan setiap warga UMT dalam proses melengkapkan para graduan dengan ilmu dan kemahiran amat besar dan tidak ternilai,”titah baginda.

Dalam pada itu, seramai 1,454 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, 116 graduan penerima Diploma, 42 graduan penerima Ijazah Sarjana dan empat graduan menerima Ijazah Kedoktoran yang disampaikan oleh Canselor, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Sementara itu, penerima Pingat Emas Canselor, Nurul Haqimin Mohd Salleh, 23, bersyukur dengan kejayaan di luar jangkaan yang diterimanya itu.

Kata Haqimin, dia mampu menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Maritim) dalam tempoh dua tahun sahaja berbanding tiga tahun mengikut tempoh kebiasaan.

“Cabaran yang ditempuhi sepanjang tempoh berkenaan adalah masa pembelajaran yang singkat dan dalam masa sama terpaksa bersaing dengan pelajar `senior’ lain disebabkan tempoh belajar yang saya ambil singkat,” ujarnya kepada media sejurus selepas majlis berkenaan.

Graduan yang berasal dari Pulau Pinang itu boleh dikatakan bertuah kerana walaupun sudah lima bulan menjawat jawatan di syarikat perkapalan terkenal, MISC Agencies, beliau turut ditawarkan untuk menjadi tutor di UMT.

“Sebenarnya surat sudah pun saya dapat dan jika tidak ada halangan saya akan terima tawaran tersebut `Master’ di Kanada tahun depan,” jelasnya.

Khamis, 10 Julai 2008

09/08/2008 Syarat Dana Hari Raya Dilonggarkan

Senario kenaikan harga minyak dan barangan keperluan sejak kebelakangan ini mendorong Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melonggarkan syarat permohonan bantuan dana hari raya.

Syarat terbuka kepada penduduk yang berpendapatan RM1,500 ke bawah berbanding pendapatan RM1,200 sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri sedar penduduk kini semakin dibebani dengan peningkatan kos kehidupan harian terutama selepas pengumuman kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Katanya, oleh itu, bagi membantu mereka Kerajaan Negeri mengambil insiatif melonggarkan syarat kepada pemohon di mana mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah layak memohon berbanding RM1,200 sebelum ini.

“Pemohon dinasihat supaya bersikap jujur sekiranya mempunyai niat untuk memohon bantuan yang hadir sekali setahun itu.

“Tindakan tegas turut dikenakan kepada mereka yang dikesan menipu butiran diri berikutan bantuan itu kini termaktub di bawah Akta Keterangan Awam 1960,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Julai).

Sebelum itu, Dato’ Ahmad mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima cek zakat perniagaan berjumlah RM717 ribu daripada empat syarikat perladangan milik Ketengah Holding Sdn Bhd.

Cek itu disampaikan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato’ Abdul Ghani Che Man sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Alwi Muhamad.

Selasa, 8 Julai 2008

Pulau Bidong Taman Skuba Dunia


Usaha penjenamaan semula dan pemuliharaan terumbu karang di Pulau Bidong, Terengganu dipergiatkan bagi memastikan pulau itu menjadi antara destinasi pelancongan terkenal di dunia bagi penggemar aktiviti skuba.

Bagi merealisasikan hasrat itu, majlis taklimat dan sesi perbincangan yang juga program tahunan Persatuan Corals Malaysia diadakan di Pulau Bidong, pada 28 hingga 30 Jun lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar tidak melepaskan selepas perbincangan itu untuk sama-sama menyelam di Galeri Dasar Laut yang mempunyai replika-replika tradisional dan warisan Terengganu.

Selain ahli-ahli Persatuan Corals Malaysia, program turut disertai 40 peserta dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tourism Malaysia Terengganu, Perikanan Negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan pensyarah serta pelajar-pelajar Fakulti Laut Marin Universiti Malaysia Terengganu.

Pengerusi Persatuan Corals Malaysia, Cik Jamhariah Jaafar mencadangkan penjenamaan semula Pulau Bidong di persada dunia sebagai destinasi taman tema skuba pertama di dunia yang menggabungkan Galeri Tukun Tiruan, Galeri Bangkai Kenderaan Pengangkutan Tentera selain dari Galeri Dasar Laut Warisan yang sedia ada.

“Perbincangan dua hala telah mendapat restu daripada Kementerian Pertahanan untuk meletakkan bangkai-bangkai kapal terbang, kapal laut, kereta kebal dan helikopter di Taman Tema Pulau Bidong dan ini sudah tentu dapat menggamit penyelam-penyelam untuk menyaksikan secara dekat di samping bangkai-bangkai tersebut dapat menjadi tempat pembiakan hidupan laut,” katanya.

Selain itu, satu jawatankuasa perlu dilantik bagi merealisasikan projek eko pelancongan ini yang bakal melibatkan Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu, Perikanan, Unit Taman laut dan Lembaga Muzium Negeri.

Warisan di Pulau Bidong perlu dipulihara sebagai destinasi eko pelancongan dan juga sebagai produk nilai tambah kepada cadangan Taman Tema Skuba Pulau Bidong seperti pengwartaan Memorial Vietnam dan juga Pusat Penyelidikan dan pemuliharaan hidupan laut marin yang termasuk juga pusat penetasan penyu.

Dengan termeterainya projek ini akan memartabatkan destinasi Pulau Bidong yang pada suatu masa lalu sinonim sebagai penempatan pendatang Vietnam akan dijenamakan sebagai destinasi Taman Tema Skuba pertama di dunia.

Isnin, 7 Julai 2008

06/07/2008 Ungkapan Jadi Panduan

Ungkapan empat kerat `jangan mudah ambil hati, jangan mudah jauh hati, jangan mudah jatuh hati, yang penting berhati-hati’ akan sentiasa terpahat di hati pucuk pimpinan Dato’ Ahmad Said bertujuan mengingati diri supaya sentiasa berfikiran positif ketika mentadbir negeri.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad, berkata walaupun melalui pelbagai kontroversi selepas dilantik menjadi MB, dia tabah menghadapinya dan menganggap apa yang berlaku sebagai suntikan semangat untuk terus mencurah bakti kepada rakyat dan negeri.
“Pelantikan dirinya sebagai MB bukan kehendak dan diminta tetapi ia adalah ketentuan Allah S.W.T, dia menerima hakikat ini sebagai anugerah dan tidak akan mensia-siakannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku 100 Hari Pentadbiran YAB Dato’ Ahmad Said.
Dalam buku itu ada menceritakan mengenai latar belakang dan perjalanan hidup Dato’ Ahmad sebelum dan selepas dilantik menjadi MB.
Dato’ Ahmad berkata, syukur kehadrat Ilahi dan terima kasih kepada pegawai yang sentiasa berganding bahu menyiapkan buku ini yang sungguh bermakna bagi dirinya.
“Dengan terbitnya buku ini, diharap dapat memberi gambaran jelas kepada rakyat tentang misi dan visi yang ingin dicapai Kerajaan Negeri terutama ketika menghadapi isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri berjanji akan menggunakan wang royalti minyak yang akan diperoleh September nanti sebaik mungkin dengan mengutamakan penduduk miskin dan berpendapatan rendah.
Sementara itu, hampir 1,000 tetamu jemputan menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat bagi memohon keberkatan-Nya sempena Sambutan 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar ke-13, Dato’ Ahmad Said yang diadakan di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.
Antara yang hadir, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua Jabatan dan pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Majlis yang bermula jam 7.00 petang dimulakan dengan solat Magrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar, Saidi Abdul Aziz dan diikuti dengan solat hajat, bacaan Yaasin dan tahlil sebelum menunaikan solat Isyak. Hadirin kemudiannya menikmati makan malam.

Ahad, 6 Julai 2008

05/07/2008 Didikan Al-Quran Lahir Generasi Ulul Albab

Buat julung kalinya, seramai 13,877 pelajar seluruh negeri berusia antara tujuh hingga 12 tahun berjaya menamatkan bacaan al-Quran 30 juzuk dalam usia muda di bawah program melahirkan generasi Ulul Albab.
Didikan al-Quran yang diberi seawal usia mampu menjadikan mereka generasi berilmu, berakhlak dan bertakwa serta menjadi umat yang gemilang, kreatif dan berdaya saing di peringkat global.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian di Majlis Khatam Al-Quran Pelajar-pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) di Stadium Tertutup Gong badak, Kuala Terengganu, hari ini ( 5 Julai). Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato Wan Mohammad Dato Sheikh Abdul Aziz; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Sheikh Harun Ismail dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Mohd Zulkifli Abu Bakar. Katanya, memupuk minat mengaji al-Quran dari kecil dapat meningkatkan mutu bacaan yang betul, lancar, bertajwid dan memudahkan mereka menghafal serta memahami isi kandungan al-Quran. Kanak-kanak itu merupakan bakal ilmuan yang mampu mengeluarkan ijtihad dan menyelesaikan isu kotemporari.
Katanya, kerajaan merasa bangga apabila anak negeri ini iaitu Wan Nur Aina Nasibah Wan Abdul Rahim daripada Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Besut, terpilih sebagai pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.
Katanya, sehingga hari ini lebih 70,000 pelajar dan 3442 guru sedang mengiktui program KAFA di 887 buah premis melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama Rakyat, Masjid dan Surau seluruh negeri.
“Kerajaan tidak mensia-siakan komitmen yang tinggi daripada guru-guru KAFA dan telah menaikkan elaun bulanan mereka kepada RM500 dan dalam usaha menyediakan pakej pengajaran yang berkesan mereka akan dihantar berkursus untuk mempertingkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Terdahulu Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Wan Mohammad berkata, Negeri Terengganu adalah yang tertinggi menerima peruntukan daripada Jakim di bawah KAFA iaitu RM22 juta daripada peruntukan keseluruhan RM208.9 juta tahun ini.
Pada majlis itu, seramai 5,071 pelajar dari Parlimen Kuala Terengganu (1898), Kuala Nerus (2,736), Batu Rakit (162) dan Manir (275) telah sempurna khatam secara serentak manakala bagi Parlimen Besut (2,046), Setiu (1,160) dan Marang (1569) akan diadakan pada 12 Julai depan dan Parlimen Kemaman (1,244), Dungun (1,273) dan Hulu Terengganu (1,514) pada 19 Julai.
Majlis juga telah memilih Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah (360 pelajar) dalam Parlimen Kuala Nerus dan Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu (130 pelajar) sebagai sekolah terbaik khatam al-Quran tahun ini.

Rabu, 2 Julai 2008

29/06/2008 Wang Royalti Pertama Dijangka September ini

Kerajaan Negeri dijangka menerima wang royalti yang dibayar terus oleh Petronas sebanyak dua kali setahun bermula September ini.

Wang pembayaran itu akan dimasukkan terus ke akaun Perbendaharaan Negeri Terengganu berdasarkan jumlah baki yang masih ada dan Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Pusat mengenai jumlah sebenar.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata berdasarkan rundingan positif beliau dan Kerajaan Pusat, proses mengembalikan wang royalti itu akan diuruskan oleh Petronas dan tidak melalui Kerajaan Pusat.

“Alhamdulillah, Kerajaan Pusat telah mengumumkan royalti minyak akan dikembalikan. Bila akan dikembalikan ia bermakna menjadi hak kita dan kita perlu ada rundingan dengan Kerajaan Pusat mengenai beberapa isu.

“Penyerahan sudah dibuat tetapi perlu ada hitam putih dan kemukakan dalam mesyuarat dan persetujuan kita juga perlu ada hitam putih,”katanya kepada wartawan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) ketika diwawancara sempena 100 hari pentadbiran beliau, di pejabat beliau, semalam (29 Jun).

Beliau berkata, apabila ada perjanjian bertulis mengenai keputusan dan persetujuan bersama dalam tempoh terdekat ini mengenai royalti, Kerajaan Negeri akan menarik balik saman kepada Kerajaan Pusat.

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri ingin mengetahui secara terperinci jumlah baki wang royalti yang ada pada Kerajaan Pusat dan jika habis ke mana wang itu dibelanjakan.

Katanya, wang itu nanti perlu disimpan untuk pelaburan jangka panjang bagi memastikan rakyat Terengganu mendapat manfaat pada masa depan.

“Kita perlu ada pelaburan jangka panjang. Setiap tahun kita perlu belanjakan RM 1.6 billion dan 1 billion datangnya dari dana khas dan hasil minyak.

“Kalau tiada minyak dengan jumlah RM1 bilion, maknanya RM400-RM600 juta dengan hasil balak, air, api dan tanahnya dengan hanya RM500-RM600 juta tidak mampu mentadbir negeri. Untuk bayar gaji pun tak cukup (pengurusan),” katanya.

Katanya, daripada RM500 juta untuk pembangunan, RM1 bilion untuk pengurusan (1/3 pembangunan dan 2/3 pengurusan) di mana pengurusan melibatkan pembayaran gaji, emolumen dan sebagainya.

Beliau berkata, wang yang bakal diperolehi nanti akan digunakan untuk pelaburan masa depan yang mampu membawa keuntungan kepada semua pihak seperti membuka ladang rakyat untuk membantu golongan miskin.

“Sekarang kita sudah boleh buat bajet. Kita akan rancang dari masa ke semasa. Kita akan buat berdasarkan duit yang ada pada kita.

“Kerajaan Negeri berharap rakyat tidak membuat spekulasi dan jangan bimbang kerana Kerajaan Negeri akan menguruskan dengan penuh tanggungjawab amanah ini dan akan mengumumkannya apabila tiba masa tidak lama lagi,”katanya.