Khamis, 10 Julai 2008

09/08/2008 Syarat Dana Hari Raya Dilonggarkan

Senario kenaikan harga minyak dan barangan keperluan sejak kebelakangan ini mendorong Kerajaan Negeri mengambil inisiatif melonggarkan syarat permohonan bantuan dana hari raya.

Syarat terbuka kepada penduduk yang berpendapatan RM1,500 ke bawah berbanding pendapatan RM1,200 sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri sedar penduduk kini semakin dibebani dengan peningkatan kos kehidupan harian terutama selepas pengumuman kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Katanya, oleh itu, bagi membantu mereka Kerajaan Negeri mengambil insiatif melonggarkan syarat kepada pemohon di mana mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah layak memohon berbanding RM1,200 sebelum ini.

“Pemohon dinasihat supaya bersikap jujur sekiranya mempunyai niat untuk memohon bantuan yang hadir sekali setahun itu.

“Tindakan tegas turut dikenakan kepada mereka yang dikesan menipu butiran diri berikutan bantuan itu kini termaktub di bawah Akta Keterangan Awam 1960,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Julai).

Sebelum itu, Dato’ Ahmad mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima cek zakat perniagaan berjumlah RM717 ribu daripada empat syarikat perladangan milik Ketengah Holding Sdn Bhd.

Cek itu disampaikan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato’ Abdul Ghani Che Man sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Alwi Muhamad.

Tiada ulasan: