Isnin, 7 Julai 2008

06/07/2008 Ungkapan Jadi Panduan

Ungkapan empat kerat `jangan mudah ambil hati, jangan mudah jauh hati, jangan mudah jatuh hati, yang penting berhati-hati’ akan sentiasa terpahat di hati pucuk pimpinan Dato’ Ahmad Said bertujuan mengingati diri supaya sentiasa berfikiran positif ketika mentadbir negeri.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad, berkata walaupun melalui pelbagai kontroversi selepas dilantik menjadi MB, dia tabah menghadapinya dan menganggap apa yang berlaku sebagai suntikan semangat untuk terus mencurah bakti kepada rakyat dan negeri.
“Pelantikan dirinya sebagai MB bukan kehendak dan diminta tetapi ia adalah ketentuan Allah S.W.T, dia menerima hakikat ini sebagai anugerah dan tidak akan mensia-siakannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku 100 Hari Pentadbiran YAB Dato’ Ahmad Said.
Dalam buku itu ada menceritakan mengenai latar belakang dan perjalanan hidup Dato’ Ahmad sebelum dan selepas dilantik menjadi MB.
Dato’ Ahmad berkata, syukur kehadrat Ilahi dan terima kasih kepada pegawai yang sentiasa berganding bahu menyiapkan buku ini yang sungguh bermakna bagi dirinya.
“Dengan terbitnya buku ini, diharap dapat memberi gambaran jelas kepada rakyat tentang misi dan visi yang ingin dicapai Kerajaan Negeri terutama ketika menghadapi isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri berjanji akan menggunakan wang royalti minyak yang akan diperoleh September nanti sebaik mungkin dengan mengutamakan penduduk miskin dan berpendapatan rendah.
Sementara itu, hampir 1,000 tetamu jemputan menghadiri majlis solat hajat dan doa selamat bagi memohon keberkatan-Nya sempena Sambutan 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar ke-13, Dato’ Ahmad Said yang diadakan di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.
Antara yang hadir, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua Jabatan dan pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Majlis yang bermula jam 7.00 petang dimulakan dengan solat Magrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar, Saidi Abdul Aziz dan diikuti dengan solat hajat, bacaan Yaasin dan tahlil sebelum menunaikan solat Isyak. Hadirin kemudiannya menikmati makan malam.

Tiada ulasan: