Rabu, 23 Julai 2008

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR

ISU MERCEDES KE KABINET - UTUSAN MALAYSIA 22 JULAI 2008

Kerajaan Negeri Terengganu ingin menjelaskan bahawa pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta sebagai kereta rasmi Kerajaan Negeri Terengganu adalah telus dan wajar.

Sejumlah 10 buah kereta yang baru dibeli itu adalah untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan empat lagi dimana setiap satu adalah untuk kegunaan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Ahmad Said masih lagi menggunakan kereta kerajaan negeri yang lama (TAR 567) yang berusia 18 tahun dan bukan yang baru seperti yang dilaporkan dalam akbar Utusan Malaysia.

Pembelian kereta untuk kegunaan pegawai tinggi kerajaan adalah telus dan tidak sekali-kali mengunakan wang royalti minyak. Pembelian ini juga selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2008 Para 6 (ii) yang mensyaratkan semua kenderaan buatan tempatan atau dipasang dalam negara (CKD) sahaja.

Kereta Mercedes E200 Kompressor ini mematuhi syarat tersebut kerana ia dipasang di Pekan, Pahang sebagai produk CKD.

Kewajaran pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor adalah berdasarkan kelasakan kereta model ini dan kos penyelenggaraan yang rendah. Kerajaan Negeri tidak mampu membiayai lagi membiayai kos selenggaraan Perdana V6 Executive.

Contohnya, kos penyelengaraan dua kereta tersebut mencecah RM175,229.97, yang tertinggi, dan RM132,357.76 dari tahun 2004 sehingga hari ini.

Kerajaan Negeri juga mengambil pertimbangan mengenai kenaikan harga bahanapi (fuel) dan nilai terpakai yang tinggi untuk Mercedes E200 Kompressor.

Sekiranya diperlukan, Kerajaan Negeri sedia mengemukakan bukti terperinci kos servis dan kerosakan sejak mula kereta Proton Perdana V6 digunakan sebagai kereta rasmi kerajaan.

Dari segi ciri-ciri keselamatan, kerajaan negeri berpuashati dengan ciri-ciri keselamatan Mercedes E200 Kompressor.

Ini adalah penting memandangkan pegawai-pegawai yang menggunakan kereta ini merupakan eksekutif tertinggi dalam kerajaan dan keselamatan mereka adalah keutamaan.

Disediakan oleh PEJABAT MENTERI BESAR TERENGGANU

Tiada ulasan: