Ahad, 28 Disember 2008

Jemaah Haji Selamat Pulang




















“Saya akan kembali ke tanah suci Makkah sekiranya diizinkan Allah S.W.T, jiwa saya tenang di sana berikutan tiada sebarang masalah berlaku.

“Pemergian saya ke tanah suci adalah di atas tajaan Kerajaan Negeri. Ucapan terima kasih kepada pihak berkenaan kerana memberi ruang untuk mengerjakan ibadat suci ini,” kata Puan Ikram Ismail, 55, dari Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, selain diberi peluang mengerjakan haji, dirinya berasa cukup bertuah kerana turut menjadi penumpang sulong pesawat Boeing 747.

“Sebagai rakyat Terengganu, saya cukup kagum dengan kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri yang nyata mampu menjimatkan masa dan kos jemaah dan penumpang lain,” kata kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman.

Jemaah dari Kemaman, Sollahuddin Ramli, 50, berkata syukur kerana dia dan rakan lain selamat tiba di LTSM dalam keadaan sihat.

“Bertambah ceria apabila ketibaan kami yang menaiki pesawat Boieng 747 disambut Menteri Besar dan beberapa pemimpin lain.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kemudahan seperti ini yang nyata mampu menjimatkan masa dan kos,” katanya ketika ditemui di balai ketibaaan LTSM, Kuala Terengganu, hari ini (27 Disember).
Penerbangan sulong yang membawa 355 jemaah dari Jeddah ke LTSM itu selamat tiba ke tanah air kira-kira jam 6.45 pagi dan semua jemaah disambut Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga calon Barisan Nasional, Senator Dato’ Wan Farid Wan Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazan Che Mat dan Timbalannya YB Muhammad Ramli Nuh.

Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi menyediakan kawasan khas sebagai tempat letak pesawat Boeing 747 di LTSM, tahun depan.

Katanya, pembinaan tempat letak pesawat itu adalah sebagai usaha Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada orang ramai terutama keluarga jemaah untuk melihat lebih dekat bakal haji menaiki pesawat sebelum berlepas ke Jeddah.

“Penambahan tempat letak pesawat itu juga seiring dengan peningkatan kepada 20 penerbangan secara terus dari LTSM ke Jeddah pada tahun depan dengan melibatkan Kelantan dan Pahang,” katanya.

Isnin, 1 Disember 2008

29/11/2008 - Ibu MB Terengganu Kembali Kerahmatullah


Jenazah Ibu Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Wook Ali, 88 telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Teluk Kalong, Kijal , Kemaman kira-kira jam 2.40 petang semalam (29 November).

Allahyarham Wook telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Kuantan (KMC) seminggu lalu kerana sakit tua dan meninggal dunia pada Jumaat jam 10.30 malam.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menziarahi jenazah dan tiba di kediaman Menteri Besar pada jam 12.15 tengah hari kemudian berangkat pulang ke Kuala Lumpur jam 12.30 tengah hari.

Turut menziarahi jenazah ialah pegawai dan kenamaan dari Istana Negeri Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan pegawai kanan kerajaan.