Selasa, 24 Jun 2008

RM43 juta Untuk Pendidikan


Kerajaan negeri membelanjakan RM43 juta dibawah Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP) seluruh negeri dalam usaha memastikan anak-anak pewaris negeri mendapat pendidikan sepenuhnya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata RM2.255 juta daripadanya adalah untuk bantuan pendidikan 2255 pelajar Tingkatan Enam Atas yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini dengan kadar RM1,000 setiap seorang.

“Sumbangan ini adalah untuk membantu meringankan bebanan keluarga serta memberi nilai tambah pada pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Bantuan Pendidikan STPM dan Pelancaran Program Penambah Nilai Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Wisma Darul Iman hari ini (23 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pengarah Jabatan Pembangunan Terengganu, Haji Ahmad Abdullah.

Katanya, RM500,000 pula diperuntukkan bagi Program Penambah Nilai Kecemerlangan UPSR diagihkan untuk 100 buah sekolah luar bandar yang dikenal pasti oleh Jabatan Pelajaran Terengganu.

“Dengan peruntukan yang besar yang dibelanjakan untuk pendidikan, kita berharap ianya dapat memberi nilai tambah kepada mereka dan dapat mengekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Katanya, Dasar Pendidikan Nnegara memberi hak dan peluang pembelajaran sama kepada semua warganegara dan kerajaan akan pastikan tidak ada yang terpinggir daripada menerima bantuan pendidikan.

Dato’ Ahmad berkata, mulai tahun depan semua Sekolah Menengah (SM) dan Sekolah Rendah (SR) seluruh negeri akan menerima seorang pegawai komputer dan juruteknik komputer untuk menambahbaikan penggunaan komputer itu sendiri.

ntuk ini hampir 500 graduan menggangur akan diambil bekerja secara kontrak untuk mengisi jawatan tersebut dan projek ini merupakan serampang dua mata disamping membantu graduan mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Dalam majlis hari ini seramai 2248 pelajar daripada 49 buah sekolah seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini menerima bantuan wang tunai RM1,000 seorang yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Daerah Kuala Terengganu mempunyai pelajar STPM paling ramai iaitu 724 orang (RM724,000), diikuti Hulu Terengganu, 300 orang (RM300,000), Marang, 293 orang (RM293,000), Besut, 255 orang (RM255,000), Setiu, 233 orang (RM233,000), Kemaman, 222 orang (RM222,000) dan Dungun, 221 orang (RM221,000).

Tiada ulasan: