Isnin, 23 Jun 2008

Mengenali YAB Dato' Ahmad Said

· Mula ceburi politik semasa berusia 19 tahun.

· Sebagai YDP Kelab Sains Politik semasa belajar di USM.

· Memulakan karier sebagai pegawai tadbir pada tahun 1983.

Dilahirkan di Teluk Kalong, Kemaman dan memilih untuk menceburi dunia politik secara serius semasa baru berusia 19 tahun.

Beliau Menteri besar Dato’ Ahmad Said yang memulakan karier politiknya sebagai Naib ketua UMNO Cawangan Teluk Kalong, Kemaman kira-kira 22 tahun lampau.

Bermula 1982 sehingga 1986, beliau kemudiannya menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Ketokohan dan ketrampilan Dato’ Ahmad dalam politik selain memiliki semangat perjuangan parti yang jitu, menyebabkan beliau dipilih oleh rakyat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dalam pilihan raya kecil pada 1990 dan seterusnya pilihan raya umum pada tahun tersebut.

Beliau mengekalkan kedudukan sebagai ADUN Kijal pada PRU ke-9 (1995). Bagaimanapun,senario politik pada PRU ke-10 gagal memihak kepada beliau untuk meneruskan kesinambungan pada penggal itu.

Pun begitu, PRU ke-11 pada 2004 mengubah kembali karier politik beliau apabila berjaya memenangi hati rakyat yang memberi mandat kepada beliau meneruskan pembelaan dan pembangunan kepada rakyat.

Ketika itu, Dato’ Ahmad menjadi wira di kalangan penduduk Kijal selepas menewaskan pencabarnya dari parti PAS dengan majoriti besar sebanyak 3,496 undi.

Susulan itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri (2004-2008) mewakili Kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas parti itu diberi mandat oleh rakyat pada PRU ke-11 yang lalu.

Dato’ Ahmad juga pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman dan Ketua Pemuda UMNO Perhubungan Negeri. Malah, bermula Mei 2001 sehingga kini, beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Dato’ Ahmad yang lahir pada 15 Februari 1957 berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) dalam ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) selain pernah menggalas tugas sebagai Yang DiPertua Kelab Sains Politik.

Sebelum ke USM, beliau menimba ilmu di Maktab Adabi Terengganu,Kuala Terengganu (1975-1976). Beliau Ke Maktab Adabi selepas menamatkan persekolahan Kebangsaan Teluk Kalong,Kemaman (1964-1969) dan Sekolah Menengah Chukai,Kemaman(1970-1974).

Berbalik pengalaman dalam sektor pentadbiran, beliau adalah seorang pemimpin yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran berdasarkan jawatan di pelbagai jabatan dan sektor awam. Selepas memenangi Pilihan Raya Kecil itu dan menjadi ADUN Kijal, beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Majlis Daerah Kemaman pada 1990 hingga 1995.

Perjalanan politik bapa kepada 8 anak yang penuh kontroversi itu kian memuncak apabila termeterainya tugas beliau sebagai Menteri Besar Terengganu ke-13 secara rasminya pada 30 Mac 2008.

Tekad meneruskan perjuangan mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, beliau juga berjanji untuk menunaikan amanah Allah SWT terhadapnya dengan sebaik mungkin dan memastikan nasib rakyat Terengganu sentiasa terbela dan terpelihara.

Malah, beliau juga akan memastikan hak dan kepentingan rakyat akan diperjuangkan habis-habisan mengikut undang-undang dan peraturan biarpun ramai yang menentang kerana yakin dan berpegang kepada ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.

“Membesar dalam kehidupan desa yang jauh dari arus pembangunan serta bersandarkan pendapatan bapa yang mencari rezeki sebagai pemetik kelapa tidak menghalang beliau untuk bersaing dan menempa nama dalam bidang akademik”.

Tiada ulasan: