Rabu, 25 Jun 2008

Mangsa Ribut Dibantu (22/06/2008)


Tindakan segera ketua cawangan dan juga pemimpin setempat menyalurkan bantuan kepada penduduk tempatan yang menjadi mangsa bencana alam menimbulkan rasa terharu dan terima kasih di kalangan mangsa terbabit.

Bagaimanapun, di sebalik kejadian itu, masih ada segelintir mangsa bencana alam yang enggan melaporkan secara tepat kejadian yang menimpa mereka menyebabkan bantuan lambat diberikan.

Faktor gagal melaporkan segera dan secara tepat dikatakan akibat perbezaan fahaman politik dan sikap suka memencilkan diri.

Malah, ada di kalangan mereka menjadikan media sebagai tempat mengadu masalah dan meluahkan rasa kesal mereka dengan menutup kesalahan sendiri dan membuktikan kelemahan pihak lain, terutama peminpin setempat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata semua mangsa sepatutnya melaporkan kejadian yang menimpa mereka kepada ketua cawangan atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memastikan tindakan segera dapat diambil.

Dato’ Ahmad meluangkan masa kira-kira dua jam di Kampung Banggol, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu bagi melihat sendiri kesan bencana alam dan tindakan pemimpin setempat terhadap mangsa kejadian di kawasan mereka.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar kesal dengan sikap segelintir penduduk yang enggan bercampur dengan masyarakat sekeliling serta pendirian politik menyebabkan mereka mengasingkan diri serta tidak merujuk masalah kepada saluran yang betul.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 setiap parlimen bagi membaiki atap rumah yang rosak.

Dalam kejadian di Kampung Mengabang Telipot, bantuan segera RM50,000 disalurkan kepada mangsa bencana alam menerusi pemimpin setempat bagi membaiki kerosakan pada rumah mangsa.

Kerajaan Negeri menambah RM50,000 bagi tujuan itu selain sebanyak RM100,000 diperuntukkan di setiap Parlimen yang menjadikan kesemuanya RM200,000.

Seorang mangsa, Encik Mohamad Abdullah, 39, berkata dia berpuas hati dengan tindakan ketua cawangan yang segera membetulkan atap rumahnya yang rosak akibat ribut yang melanda kampung pada Sabtu minggu lalu.

Katanya, sebanyak 48 keping atap asbestos yang baru sudah digantikan di rumahnya selepas kejadian itu.

“Kejadian pada waktu Mahgrib Sabtu lepas memang menakutkan saya sekeluarga. Atap rumah rosak berterbangan jatuh akibat ribut. Bagaimanapun, keprihatinan pemimpin dan Kerajaan Negeri terhadap kami yang menjadi mangsa bencana alam amat dikagumi.

“Saya berterima kasih kerana cakna dengan nasib kami dan terus membaiki kerosakan tak sampai 24 jam sebaik kejadian berlaku,”katanya.

Sementara itu, Puan Rosnani Rani, 40, berkata kejadian rumahnya rosak akibat ribut yang melanda kampungnya adalah yang pertama sejak mendiami kawasan itu.

“Pihak berwajib sudah memberi bantuan sepatutnya dan saya berterima kasih kerana pemimpin cepat turun padang bagi menyelesaikan masalah penduduk.

Manakala ibu Puan Rosnani, Puan Ngah Mat Amin, 83, pula menyifatkan apa yang berlaku ada hikmah tersendiri.

“Rumah mak cik tak pernah dikunjungi Menteri Besar dan ini pertama kali Menteri Besar datang untuk melawat dan melihat kesan kejadian ribut minggu lepas.

“Terima kasih sebab datang dan beri bantuan segera. Mak cik bersyukur sangat,”katanya.

Sejurus kemudian, Menteri Besar bersama pemimpin setempat meluangkan masa beberapa minit menikmati sotong dan ikan celup tepung di gerai makan di Pantai Mengabang Telipot tidak jauh dari kawasan lawatannya sebelum itu.

Tiada ulasan: