Rabu, 7 Januari 2009

Dana RM6.1Juta Hak Rakyat


Mesra - Menteri Besar bersama masyarakat Tiong Hua


Bantuan dana sebanyak RM6.1 juta yang disalurkan kerajaan Barisan Nasional(BN) kepada masyarakat Cina di Kuala Terengganu tidak bermotif politik dan mereka yang mempersoalkannya sebagai sebagai tidak ikhlas terhadap kebaikan kerajaan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng menyangkal dakwaan pembangkang dan menganggapnya tidak tepat sama sekali kerana dana itu adalah peruntukkan biasa yang disalurkan setiap tahun oleh kerajaan negeri bagi membantu mempertingkatkan kemudahan asas kepada masyarakat Cina di Terengganu.

"Ia bukan baru tetapi sudah lama dan kami tidak pula mempolitikkan peruntukan itu melainkan pembangkang sendiri yang mengeluarkan kenyataan mengaitkannya dengan politik.


Datuk Wong Foon Meng


"Mereka yang bercakap soal politik dan membuat banyak kenyataan mengenainya sedang kita tidak pernah mengeluarkan kenyataan memaksa rakyat untuk sokong kita kerana bagi peruntukan itu.

"Bagi BN ia adalah hak dan keperluan rakyat... kalau bukan waktu pilihan raya pun banyak kita salurkan, tapi mereka (pembangkang) diam pula," katanya.

Menurut Berita Harian , Wong, yang juga penyelaras pilihan raya MCA, Kuala Terengganu, berkata demikian ketika di minta mengulas laporan harakah daily.net yang melaporkan masyarakat Tionghua diingatkan supaya tidak mudah termakan 'umpan' pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1 juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali mengingatkan masyarakat Tionghua supaya tidak mudah termakan 'umpan' pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pas Terengganu menyifatkan pemberian peruntukkan tersebut sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik kerana berlaku di saat Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bakal diadakan pada 17 Januari depan.

Mustafa berkata Pas tidak mempunyai 'halangan' jika kerajaan benar-benar menyediakan peruntukkan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

Namun begitu, katanya pengagihan peruntukkan yang berlaku pada waktu ini (pilihan raya kecil) sudah tentu mempunyai hubungkait dengan tujuan politik.

"Dia (kerajaan) hendak bantu, kita (pas) tiada halangan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri," katanya.

" Tetapi dia (kerajaan) pilih waktu ini sudah tentu ia ada tujuan politik dan kita (Pas) harap masyarakat Tionghua faham bantuan itu bermotif politik," ujar beliau.

Katanya, setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil pelbagai peruntukan dan bantuan diagihkan kepada rakyat yang menjadi amalan parti pemerintah.


_______________________________________________

Zon Perdagangan Bebas di LTSM



Sebuah kawasan Zon Perdagangan Bebas untuk kargo udara meliputi kawasan seluas 20 hektar akan diwujudkan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) bagi mengendalikan urusan MasKargo.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mempromosi Terengganu sebagai pintu masuk kargo menerusi udara bagi Wilayah Timur.

Menteri Besar, Dato' Ahmad Said, berkata pelbagai kemudahan akan disediakan di kawasan itu meliputi pejabat duti kastam, perkhidmatan dan kemudahan pengangkutan keluar masuk trak membawa muatan.

Selasa, 6 Januari 2009

GELANGGANG P03 SUDAH DIBUKA

(Berita awal) KUALA TERENGGANU: Medan sudah dibuka. ‘Perang’ sudah bermula.



Parlimen Kuala Terengganu (P036) menjadi medan pertarungan UMNO dan PAS. Yang lain tu hanya tempelan sahaja.

Setelah proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima kertas penamaan bagi tiga orang.



Pada kertas penamaan yang dipamerkan untuk proses bantahan, tiga calon tersebut ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat, 45.

Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.

Wan Farid antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi.

Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.

Najib tiba di perkarangan Stadium Sultan Mahmud jam 8.35 pagi dan ketibaannya oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dan Wan Farid serta penyokong Umno, termasuk parti komponen BN.
Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.



Mohd Wahid pula tiba kira-kira lima belas minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.

Calon Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Ab. Rahman Mohamad tidak bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Walaupun turut tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tetapi pada saat-saat terakhir membatalkan hasratnya untuk bertanding apabila tidak menyerahkan borang pencalonan.

Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.

Keadaan di sekitar bandar raya, terutama jalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, tenang setakat jam 7.30 pagi ini.

Orang ramai mulai berkumpul di pekarangan jalan menuju ke stadium bagi menyertai perarakan calon yang bertanding kira-kira jam 9 pagi ini.

Pasukan keselamatan terutama polis dilihat berkawal di jalan utama ke pusat penamaan calon bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

Dipetik dari : http://www.hambali1.blogspot.com/



Yakin BN Menang
Oleh: Suriati Ali

Calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yakin BN menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Beliau melahirkan rasa yakin selepas mendapat sokongan padu daripada penduduk termasuk pemuda, warga emas dan masyarakat Cina ketika mengadakan Program Mesra Rakyat di sekitar Kuala Terengganu sepanjang kempen pilihan raya itu.

Dato’ Wan Farid berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar, di pusat penamaan, calon di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Calon BN diiringi 10,000 penyokong dengan diketuai Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak manakala PAS seramai 7,000 penyokong ke pusat penamaan calon.

Beberapa jalan berhampiran Stadium Negeri ditutup dan dikawal polis sejak awal pagi ini bertujuan mengawal pergerakan kenderaan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Razali Ismail pada 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum, Allahyarham menang kerusi itu dengan majoriti 628 undi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Kuala Terengganu ialah seramai 80,229 orang.


Unit Komunikasi Negeri.


Harun Buat Kejutan

Naib Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Abdul Rahman Mohamad, 63, membuat kejutan apabila bertindak menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada saat-saat akhir.

Beliau yang diuar-uarkan akan bertanding dalam pilihan raya itu pada 17 Januari depan bertindak demikian ketika calon lain sedang mengisi borang pencalonan di pusat penamaan, Stadium Negeri, Kuala Terengganu, 6 Januari lalu.

Menurutnya, dia terpaksa menarik diri kerana ingin memberi laluan kepada calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut selain mendapat pentunjuk daripada Allah s.w.t selepas menunaikan solat Istiqarah.

“Saya menyokong calon PAS kerana dia mempunyai ciri yang sama seperti Akim iaitu memperjuangkan dan menegakkan Islam. Keputusan menarik diri tidak didesak oleh mana-mana pihak,” katanya.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, PAS (Mohd Abdul Wahid) dan calon calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.Manakala calon Bebas Azharudin, 46, dari Kampung Ladang Pasar, Kuala Terengganu, melakukan kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sedangkan dia sebelum ini tidak pernah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.

Kehadiran Azharuddin di pusat tersebut pada pukul 9.27 pagi tidak disedari sehingga beliau menyerahkan borang pencalonan.Nama Azharuddin yang juga seorang ahli perniagaan, dicadangkan Ahmad Affendi Shah Mamat @ Adam dan disokong Zakaria Abdullah.

“Sejumlah RM15,000 diperuntukkan untuk melancarkan kempen dari rumah ke rumah dan membuat kain rentang,” katanya. Isma Airfath Hassanuddin yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas serta mendedahkan strategi kempennya termasuk menggunakan dikir barat, bagaimanapun tidak muncul di pusat penamaan calon hari ini.


Unit Komunikasi Negeri.


Taraf Kerakyataan Kepada Warga Asing
Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan telah menambah 46 kakitangan baru bagi memproses 33,000 permohonan rakyat asing untuk menjadi warga negara, dalam pelbagai kategori yang tertunggak sejak beberapa lama.

“Kita ingin bersihkan dulu permohonan yang tertunggak sejak sekian lama di samping melihat permohonan baru,” kata Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar di majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia dan Permit Masuk, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Chor Chee Heung; Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Dato’ Mohd Abdul Halim Muhammad; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Dato Mahmood Adam dan calon Barisan Nasional Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dato’ Seri Syed Hamid memberi peringatan kepada mereka yang diterima sebagai kerakyataan negara ini agar tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara yang sedia ada.

“Kerajaan ada cara tersendiri untuk memantau mereka ini, sekiranya ada yang melanggar atau melakukan kes-kes jenayah dan sebagainya, tanpa ragu taraf mereka akan ditarik balik,” katanya.

Katanya, negara kita yang damai dan makmur menjadi rebutan warga asing untuk menetap di sini dan setakat ini kerajaan telah memberi taraf kerakyataan kepada warga asing daripada Cina, Vietnam, India, Thailand dan Indonesia.

Beliau seterusnya berharap, mereka yang diberi taraf kerakyatan dapat bersyukur dan boleh memberi sumbangan kepada negara, tidak melakukan jenayah, memahami budaya serta berkelakuan baik.

“Mereka ini terdiri daripada ahli perniagaan yang ada ilmu untuk lahirkan senergi baru di negara ini,” katanya.

Katanya, kerajaan hanya akan pertimbangkan permohonan untuk menjadi warga negara kepada mereka yang telah bermastautin di negara ini lebih 12 tahun dan lima tahun bagi wanita yang telah berkahwin dengan rakyat tempatan.

Beliau seterusnya menyangkal terhadap dakwaan bahawa program hari ini mempunyai kaitan dengan pilihanraya kecil 17 Januari depan, bertujuan memancing undi.
“Saya tak faham dengan dia orang ni, mereka baru terima kerakyataan hari ini, mereka tidak boleh mengundi pun, kena tunggu tahun depan baru boleh,” katanya.

Dato’ Seri Syed Hamid kemudiannya menyampaikan anugerah taraf kewarganegaraan dan permit masuk kepada 99 orang penerima yang berjaya termasuk 79 orang (permit masuk) dan 20 orang (taraf kewarganegaraan).

Unit Komunikasi Negeri.


Pilih Pemimpin Mampu Jaga Kepentingan Rakyat
Oleh: Aida/ Suriati/ Farizul Fadzal/ Haspaizi

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menjadi kayu ukur untuk memilih pemimpin yang terbaik dan mampu menjaga kepentingan rakyat, bukannya sekadar menilai sokongan terhadap kepimpinan semata-mata.

"Mungkin ada kecenderungan nak jadikan pilihan raya kecil ini sebagai kayu ukur atau referendum kepada Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi), saya sendiri, Menteri Besar (Dato’ Ahmad Said) dan sebagainya tetapi sebenarnya pilihan raya ini untuk rakyat Terengganu," kata Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, pada sidang akhbar selepas selesai Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang mengetuai gerakan pilihan raya Barisan Nasional (BN), berkata wakil rakyat BN adalah pilihan terbaik kerana telah terbukti kemampuan mereka membela rakyat.

Pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 17 Januari ini menyaksikan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh bakal ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

"Kita mesti tekankan mereka pilih seorang Ahli Parlimen yang terbaik untuk mereka, inilah yang menjadi perhitungan utama. Ini soal mereka pilih wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan berkesan, dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan mereka..Jangan timbulkan soal-soal lain," katanya.

Katanya, Dato’ Wan Ahmad Farid yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri juga akan dilantik kembali sebagai timbalan menteri jika memenangi pilihan raya kecil itu.

"Orang Kuala Terengganu beruntung kalau Ahli Parlimen nanti jadi timbalan menteri, antara timbalan menteri dan pembangkang, siapa lebih baik dari segi khidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting adalah wakil rakyat yang dipilih boleh berkhidmat dan bukan hanya pandai bercakap.

"Kita bercakap berhubung asas mengenai siapa yang boleh melaksanakan sesuatu perkara, perkataan tidak penting, label juga tidak penting kerana pada akhirnya, kita melihat kepada siapa yang boleh membawa perbezaan, siapa yang boleh melaksanakan sesuatu perkara," katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata sokongan orang Melayu terhadap UMNO semakin kukuh sejak tempoh sembilan bulan selepas pilihan raya umum lepas dan tidak berlaku perubahan dari segi pemikiran rakyat.


Unit Komunikasi Negeri

Pertandingan Tiga Penjuru
Oleh : Aida/ Suriati/ Farezul Fadzal/ Haspaizi

Pertandingan bagi merebut kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PAS dan calon Bebas.

BN mengemukakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh manakala PAS mengetengahkan Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon.

Hanya seorang calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam, menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya itu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim mengumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pencalonan semua tiga wakil parti berkenaan.

Pengumuman itu dibuat di luar perkarangan Stadium Negeri, iaitu tempat penamaan calon, kira-kira jam 11.30 pagi, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, kira-kira 10,000 penyokong BN membanjiri Jalan Sultan Mahmud sejak jam 7 pagi bagi memberi sokongan padu kepada Dato’ Wan Ahmad Farid.
Beliau turut diiringi Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak selaku Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Manakala calon PAS, Abdul Wahid diiringi kira-kira 2,000 penyokong PAS yang berkumpul di sekitar Kampung Ladang.

Proses penamaan yang terkawal dan lancar menyaksikan Dato’ Wan Ahmad Farid paling awal memasuki perkarangan Stadium Negeri sebelum menyerahkan borang pencalonan 13 minit kemudian.

Dalam proses penamaan calon itu, Dato’ Wan Ahmad Farid yang lengkap berbaju Melayu biru mengemukakan sebagai Mohd Sabri Alwi pencadang, manakala Senator Dato’ Wong Foon Meng sebagai penyokong.

Sementara itu, Abdul Wahid dicadangkan oleh Datuk Mustafa Ali dan disokong oleh Md. Azmi Lop Yusuf.

Calon tunggal bebas, Azharuddin, 40, pula dicadangkan Ahmad Affendyshah Mamat @ Adam dan disokong oleh Zakaria Abdullah. Azharuddin yang menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.58 pagi pada awalnya dikatakan gagal mencari pengganti penyokongnya sebagai mematuhi syarat untuk mencalonkannya bertanding.

Dia yang berjubah dan berketayap putih serta bersandal kelihatan mundar-mandir beberapa minit selepas keluar dari perkarangan Stadium Negeri kira-kira jam 9.35 pagi dan masuk semula beberapa minit kemudian selepas berjaya mendapatkan penyokongnya, Zakaria.

Dato’ Mat Razali turut mengumumkan SPR menerima empat bantahan terhadap pencalonan sepanjang tempoh sejam bantahan dibuka bermula jam 10 pagi.

Bagaimanapun, semua empat bantahan oleh PAS ditolak dan semua calon layak bertanding.
“Saya berharap semua wakil calon setiap parti dan penyokong dapat mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan SPR sepanjang kempen dan hari pengundian,” katanya.


Unit Komunikasi Negeri

Isnin, 5 Januari 2009

Terubat Lepas Dapat Simpati

Oleh: Suriati Ali

“Walaupun jumlah saguhati yang diterima tidak seberapa berbanding kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian banjir di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) baru-baru ini, saya tetap berterima kasih kepada kerajaan negeri.

“Pemberian ini mengubat rasa sedih peniaga yang kebanyakan mengalami kerugian antara RM500 hingga RM5,000 seorang,” kata Abdul Wahad Salleh, 50, selepas Majlis Pengagihan Saguhati Kepada Mangsa Banjir PBKP, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Katanya, kerajaan negeri sememangnya prihatin mengenai masalah rakyat. Oleh itu, penduduk sepatutnya berterima kasih di atas sifat cakna itu dan bukannya mengutuk setiap kebaikan yang dilakukan.

Tan Siew Geok, 50, berkata dia gembira di atas pemberian saguhati ini dan tidak kisah berapa nilainya, asalkan kerajaan negeri mengambil tahu mengenai masalah peniaga yang kebanyakannya belum hilang rasa sedih di atas apa yang berlaku.

“Kebanyakan kami terkejut kerana keadaan itu sudah lama tidak berlaku, bagaimanapun dengan memberi saguhati cukup dihargai peniaga,” katanya yang mengalami kerugian RM1,800.

Peniaga alat tulis, Zariah Che Musa, 53, dari Batu Burok, Kuala Terengganu, berkata barangan yang dijual memang tidak ada perlindungan insurans, tetapi dia redha dengan kejadian itu dan menganggap ia sebagai ujian daripada Allah s.w.t.

“Hati saya terubat kerana di sebalik kejadian itu, kami peniaga di PBKP mendapat simpati daripada kerajaan negeri yang datang menghulur sumbangan,” katanya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri simpati dengan nasib peniaga PBKP yang mengalami kerugian akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu memberi pengajaran kepada semua pihak supaya mengambil sikap cakna terhadap kebersihan selain berwaspada ketika hujan.

“Bagi mengubat kesedihan peniaga, kerajaan negeri memperuntukkan RM48,000 untuk diagihkan kepada 72 peniaga.

“Setiap peniaga menerima jumlah yang berbeza bergantung kepada kerugian yang dialami. Kerajaan negeri berharap peniaga bersyukur di atas pemberian saguhati ini walaupun jumlah yang diterima tidak setimpal dengan kerugian,” katanya pada sidang sidang akhbar selepas majlis itu.



Sementara itu, Dato’ Ahmad turut meluangkan masa melawat mangsa kebakaran, Puan Zainun Omar, 52, dan ragut Puan Suhaida Abd Rahman, 34, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Simpati dengan kejadian itu, Dato’ Ahmad menghulurkan sumbangan peribadi kepada kedua-dua mangsa.

Bagi mangsa kebakaran Puan Zainun, kerajaan negeri meluluskan serta merta kemudahan membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di atas tapak rumah miliknya yang terbakar di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Dasar Pendidikan Semua Kaum
Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengamalkan dasar pendidikan untuk semua bagi memastikan rakyat mendapat akses dan ekuiti pendidikan yang adil tanpa mengira warna kulit, budaya atau status sosial.

Kerajaan juga memastikan semua pelajar menerima pemdidikan yang berkualiti dan tidak ada yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan akibat kemiskinan dan lokasi penempatan.

Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata demikian di majlis penyampaian Bantuan Kewangan di Bawah Pakej Rangsangan Memperkukuhkan Daya Tahan Ekonomi Negara 2009, bagi sekolah bantuan kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Terengganu, di Dewan SJKC Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu hari ini (5 Januari).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah SJKC, Encik Chin Kong Nam.

“Kita perlu memastikan sistem pendidikan negara berada pada landasan yang tepat dan sesuai dengan penilaian antarabangsa, berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir yang berketrampilan, jati diri dan berpegang teguh dengan ajaran agama serta menjunjung tinggi nilai budaya bangsa,” katanya.

Katanya, bagi menghadapi era globalisasi yang merapatkan lagi jurang budaya antara benua setiap kita tanpa mengira bangsa, agama atau budaya perlu berganding bahu dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

Tambahnya, dalam konteks Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang menyeluruh dan modal intelek yang berkualiti bagi melaksana aspirasi negara.

“Menerusi enam teras strategik PIPP, kementerian sedia melakukan lonjakan perdana ke arah mempertingkatkan kualiti modal insan dan memperkasakan institusi sekolah tanpa mengira aliran,” katanya.

Menurut Dato’ Seri Hishammuddin, sebagai bukti keterbukaan dan keperihatainan terhadap sekolah bantuan kerajaan pelbagai aliran seluruh negara, sebanyak RM200 juta peruntukan tambahan diberi kepada empat sekolah pelbagai aliran yang diagih sama rata.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Mubaligh, masing-masing menerima peruntukan RM50 juta.

“Walaupun negara berhadapan dengan cabaran ekonomi yang getir akibat krisis kewangan dunia, kerajaan masih prihatin dengan tuntutan rakyat terhadap pendidikan dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada sekolah,” katanya.

Dato’ Seri Hishammuddin kemudiannya menyampaikan bantuan kepada 10 buah SJKC seluruh negeri bernilai RM2.926 juta. Setiap sekolah menerima antara RM200,000 hingga RM500,000 untuk rangsangan pendidikan, tambah nilai serta perbaiki kerosakan.

Dana Tampung Belanja Dapur

Oleh: Suriati Ali

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu masyarakat Cina. Bantuan yang diterima dapat menampung perbelanjaan dapur serta membeli barangan untuk menyambut Tahun Baru Cina.

“Rasa gembira kerana ada pihak yang prihatin dan ambil tahu mengenai nasib kami walaupun berada dalam kelompok besar masyarakat Melayu,” kata penerima kategori Warga Miskin, Lee Kim Chuin, 60, yang ditemui pada Majlis Pengagihan Dana Tahun Baru Cina, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Kerajaan Terengganu memang prihatin kerana tidak melupakan golongan miskin serta menambahkan keceriaan sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Penerima kategori ibu tunggal, Koh Siew Khua, 65, berkata hatinya sedikit terubat kerana bantuan yang diterima dapat digunakan untuk membeli barangan dapur yang kini harganya semakin meningkat.

“Saya sudah kematian suami, tanggungjawab mencari rezeki dan jaga anak terpaksa saya pikul sendiri. Jadi bantuan yang diterima ini sangat berharga,” katanya yang mempunyai seorang anak yang dikategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Seorang lagi penerima, Lua Bee Soon, 58, dari Kampung Rakyat, Batu Rakit, berkata sudah empat kali dia mendapat duit raya daripada kerajaan negeri. Duit ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli pelbagai keperluan termasuk pakaian sempena Tahun Baru Cina.

“Saya akan ingat jasa kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk terutama mereka kurang berkemampuan,” katanya yang bekerja sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata sejumlah RM2.72 juta DTBC diagihkan kepada 9,353 penduduk di negeri ini.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu, seramai 4,500 penduduk menerima dana itu yang membabitkan jumlah RM1.3 juta. Ia diagihkan mengikut kategori warga miskin, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tangkis Segala Budaya Ganas

Oleh: Haspaizi Mohd Zain

Rakyat negeri Terengganu dinasihatkan menjauhkan diri daripada segala perbuatan yang boleh menjejaskan keharomian, bagi menjamin kelangsung sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perkembangan ekonomi negeri Terengganu turut dipacu oleh sektor pelancongan.

“Oleh itu rakyat negeri ini perlu menolak segala perbuatan ganas yang dibawa masuk, “orang luar”, terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.

“Perbuatan ini boleh menjejaskan sektor pelancongan, kerana pelancong akan bimbang untuk ke sini. Sekiranya sektor pelancongan terjejas rakyat yang akan rugi terutamanya peniaga,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Zoom Homestay Terengganu di sini semalam. Hadir sama Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Azalina berkata, rakyat di negara ini perlu mengambil iktibar daripada perebutan kuasa berlaku di negara jiran, Thailand. Sehingga kini belum ada jalan penyelesaian kearah kedamaian.

Katanya, perebutan kuasa yang berlaku di negara jiran itu, bukan sahaja mengakibatkan perperangan dan pergolakkan tetapi turut meragut nyawa insan tidak berdosa.

”Thailand pada suatu masa sektor pelancongan mereka cukup hebat, namun hari ini apabila berlaku krisis kepimpinan ia mengakibatkan pelancong takut untuk berkunjung ke negara itu.

”Kita berada di negara ini patut bersyukur, dibawah pentabdiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mewujudkan keharmonian dan kenikmatan hidup, ia sukar dicari di negara lain,” Katanya.

Oleh itu katanya, kerajaan yang ada pada hari in perlu dipertahankan, cubaan untuk menjatuhkan sesbuah kerajaan adalah usaha untuk menggadaikan kenikmatan dan keharmonian dikecapi.

Jasa BN Bawa Transformasi Felda

Oleh : Farezul Fadzal




Felda kini berjaya bergerak ke arah global dan sumbangan Felda terhadap negara tidak dapat dinafikan lagi sejak 53 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, tansformasi Felda sejak diperkenalkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak sedekad lalu di bawah Barisan Nasional (BN) memberi erti besar kepada negara.

“Bermula 53 tahun dahulu, tanah rancangan Felda Lurah Bilut, Pahang merupakan tanah rancangan pertama diteroka..waktu itu..tak ada jentolak..tak de kontraktor…cuma membanting tulang empat kerat memerah keringat..hari ini Felda sudah melonjak ke Boston, Amerika Syarikat..,” katanya.

Menurut Dato’ Seri Mohd Najib, kini Felda mempunyai 112 ribu peneroka dalam sektor perladangan diseluruh negara juga melalui transformasi yang sama.

Jelasnya, kebanyakan peneroka yang menyertai Felda berasal dari golongan miskin tegar yang tidak memiliki harta walau sekeping tanah.

“Itulah tujuan penubuhan Felda…kita pilih orang miskin tegar…kebanyakkan rumah asal yang didiami peneroka telah berubah dari rumah kayu kepada rumah bungalow,” katanya.

Felda kini tidak sahaja memfokuskan kepada perladangan malahan memiliki perniagaan dalam pelbagai cabang termasuklah perhotelan, penyediaan makanan, pendidikan dan pelbagai lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Felda Residence, Kuala Terengganu hari ini (5 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; exco kerajaan negeri; Yang Di-Pertua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Yang Di-Pertuan Speaker Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng; Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Tambah Najib, hotel Felda itu juga melambangkan hubungan erat diantara kerajaan negeri dengan Pusat dalam memaju sektor pelancongan negeri ini.

“Hotel Felda kini lambang pembangunan kita untuk memajukan pelancongan negara,” katanya.

Kini jumlah pelancong ke Terengganu dikatakan meningkat dari dua juta kepada tiga juta pada tahun ini hasilnya, peniaga tempatan mendapat keuntungan daripada limpahan pengunjung yang hadir ke Terengganu.

Dalam pada itu, Felda telah membelanjakan RM718 juta untuk program rakyat Terengganu.
Royalti Jana Program Mesra Rakyat

Kerajaan negeri perlu menggunakan wang hasil royalti untuk apa jua agenda pembangunan berkonsepkan mesra rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata usaha yang dibuat kerajaan negeri ini kini amat dialu-alukan dalam melaksanakan pembangunan untuk rakyat termasuklah pemberian 25,000 unit komputer riba kepada pelajar Tahun Lima pada Mac ini.

“Pencapaian Terengganu dalam ujian Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) telah mengatasi Pahang walaupun jumlah pelajar lebih ramai di Pahang yang menduduki PMR…tak ape lah…janji rakyat Terengganu untung dan BN boleh menang dalam pilihan raya ini,” katanya pada majlis Perasmian Hotel Felda, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Exco kerajaan negeri; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Fong Meng; Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kerajaan negeri baru-baru ini menerima wang royalti berjumlah RM408.6 juta yang diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Elakkan Kekerasan, Patuhi Undang-undang

Semua parti bertanding digesa supaya tidak melakukan kekerasan sehingga mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, berkata semua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

"Semua pihak sama ada lawan dan juga kita (Barisan Nasional) berharap tidak melakukan kekerasan yang boleh mencemarkan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita tidak mahu lagi berlaku seperti di Permatang Pauh," katanya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan ketua-ketua cawangan UMNO dalam Bahagian Kuala Terengganu, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Terdahulu, Dato’ Seri Mohd Najib memberi jaminan kepada calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid akan diberikan jawatan sebagai Timbalan Menteri jika menang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Felda Residence, Kuala Terengganu, hari ini (5 Januari).

Sementara itu, calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, perkara pertama yang akan dibuatnya selepas ini adalah mengisi borang penamaan calon.

“Itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui media sejurus selepas pertemuan itu.