Isnin, 16 Mac 2009

Gelanggang gaya hidup sihat

Oleh: AIDA ABD RAHMAN



Pembinaan dua gelanggang `multipurpose’ di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) hasil usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadi platform remaja di Parlimen Kuala Terengganu untuk mengubah gaya hidup mereka ke arah lebih sihat dan positif menerusi pembabitan dalam sukan.

Setiap gelanggang yang dibina dengan peruntukan RM100,000 hingga RM150,000 boleh digunakan untuk sukan futsal, sepak takraw, badminton dan bola jaring turut menyediakan ruang pejabat, surau, tandas dan tempat menukar pakaian.



Peruntukan lapan gelanggang bernilai RM1.12 juta akan dibina di Kampung Tok Adis dan Kampung Gong Parit, Bukit Depu (DUN Batu Burok); Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga dan Kampung Tanjung Jati (DUN Bandar); Flat Baru Bukit Kecil dan Gong Penaga, Pasir Panjang (DUN Ladang). Manakala di Kampung Panji dan Sekolah Kebangsaan Paloh bagi DUN Wakaf Mempelam.

Ia bakal diselenggarakan penyelaras DUN atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung masing-masing di mana ia dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya Ogos ini.



Pengarah Belia dan Sukan Negeri, Encik Ahmed Daud, berkata gelanggang berkenaan akan dibangunkan di atas tanah kerajaan sedang dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu.

“Kita menjangkakan proses kelulusan tanah dan tender dikeluarkan dalam tempoh masa beberapa bulan lagi sebelum pembinaan dimulakan.



“Gelanggang itu mungkin dapat digunakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini jika tiada sebarang masalah berkaitan,” kata beliau ketika diihubungi Ganu Kita, baru-baru ini.

Encik Ahmed berkata, usaha berterusan Kerajaan Pusat dan negeri mewujudkan pusat sukan seumpama itu merupakan kesinambungan bagi memastikan belia mengubah corak hidup mereka daripada aktiviti yang tidak berfaedah ke arah lebih positif.



Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menaiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri yang akan menempatkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu di bangunan empat tingkat yang lebih selesa dan sesuai.

“Dengan adanya kompleks baru yang lebih lengkap dan sesuai ini dapat memperkasakan pengurusan persatuan belia di seluruh Terengganu dan Kuala Terengganu khasnya.



“Dalam kompleks berkenaan nanti turut diwujudkan Pusat Siber Remaja Rakan Muda yang pertama di Parlimen Kuala Terengganu dan juga Terengganu bagi memberi kemudahan kepada belia yang kurang berkemampuan mendapat pendedahan dunia Teknologi Maklumat (IT) dan siber,” katanya.

Pusat siber yang akan dilengkapi dengan 10 unit komputer dan pelbagai kelengkapan selain modul khas dianggarkan bernilai RM100,000 membantu remaja di Kuala Terengganu mendalami ilmu siber.



Setiap pengguna perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Rakan Muda dan mereka diberi tempoh masa dua jam seorang dengan dipantau dua penyelia dari Pejabat Belia Daerah Kuala Terengganu.

Perkhidmatan yang disediakan secara percuma kepada pengguna yang berusia 15 hingga 25 tahun bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Khamis.

Selain kemudahan internet, pusat siber itu juga menyediakan kursus berkaitan ICT selama dua kali setahun yang dijangka dapat melahirkan 200 peserta yang mahir IT setiap tahun.

Menurut Encik Ahmed, selain kemudahan prasarana, kerajaan juga membantu remaja di negeri ini memajukan diri di bidang ekonomi dengan menyediakan pelbagai bantuan termasuk modal dan material.

Skim Tabung Ekonomi Belia yang diperkenalkan sejak tahun lalu pula sudah meluluskan 12 permohonan yang melibatkan bantuan modal berjumlah RM180,000 bagi kategori pertanian, manakala enam pemohonan bagi kategori perniagaan melibatkan modal RM374,000.

Di Kuala Terengganu, tiga remaja menyertai skim ini dengan jumlah pinjaman RM120,000 manakala pertanian melibatkan dua remaja dengan jumlah pinjaman RM50,000 atau berjumlah RM170,000.

Sementara Bimbingan Usahawa Muda (BUM) disediakan untuk membantu 50 remaja dari seluruh Terengganu mengusahakan perniagaan kecil-kecilan melibatkan peruntukan RM3,000 seorang.

“Kita (pegawai belia daerah) akan turun ke daerah-daerah bagi mengenal pasti belia yang berminat dan berpotensi untuk diserapkan dalam BUM dan membantu mereka maju dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, Bantuan Perupayaan Belia pula melibatkan dua fasa, di mana pada fasa I sebanyak 255 persatuan belia yang aktif di seluruh Terengganu diberikan peruntukan berjumlah RM765,000.

Fasa II pula melibatkan persatuan belia yang aktif peringkat negeri, di mana setiap persatuan menerima RM5,000 dengan jumlah keseluruhan RM263,000.

Di Kuala Terengganu peruntukan RM99,000 disumbangkan kepada 33 Persatuan Belia dan Sukan di Kuala Terengganu di mana setiap persatuan memperoleh RM3,000.

Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1.28 juta bagi melaksanakan Bantuan Pengupayaan Belia membabitkan sejumlah 380 belia yang mewakili beberapa persatuan belia di negeri ini.

Beliau berkata, ini kerana jumlah usahawan muda terlampau sedikit, hingga ramai usahawan mencadangkan supaya jumlah bantuan itu dinaikkan.

Katanya, peruntukan bantuan itu disalurkan menerusi dana Tekun dan peruntukan khusus juga sedang dirangka untuk memberi bantuan kepada golongan belia di bandar termasuk di KualaTerengganu.

Kerajaan negeri juga merumus Program Jati Diri Kesukarelaan. Program itu bertujuan menggalakkan generasi muda terutama graduan terbabit dalam program murni membantu masyarakat secara sukarela.

Baru-baru ini, program ini telah diadakan di kampus Universiti Darul Iman di Gong Badak, Kuala Terengganu seiring dengan Program Induksi Universiti tempatan dan Rakan Muda Mahasiswa.

Dalam pada itu, kerajaan sentiasa menyokong program belia termasuk yang dianjurkan pertubuhan belia di peringkat universiti.

Malah, sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada bakal pimpinan generasi akan datang, kerajaan memperuntukkan RM100,000 untuk setiap program yang dijalankan.

Kerajaan turut mengadakan program Rakan Muda Wawasan Desa dan dua program seumpamanya dilaksanakan pada tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM70,000.

Tiada ulasan: