Rabu, 18 Mac 2009

Memartabatkan Bidang Pendidikan

Oleh: KAMARUDIN MAT AKIB



Program Terengganu Briliant Kids (TBKids) diperkenalkan tahun ini, sebagai tambahan kepada usaha memartabatkan dan memperkasa bidang pendidikan di negeri ini.

Langkah ini merupakan usaha tambahan kepada berpuluh-puluh program bagi tujuan sama yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas mengambil alih pemerintahan negeri ini daripada PAS pada 2004.

Memperkasakan bidang pendidikan adalah janji BN kepada rakyat Terengganu dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-11.

Kerajaan negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi melaksanakan program itu yang akan menggantikan Program Q-dees yang hanya menyediakan dua subjek untuk kanak-kanak pra-sekolah iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik.

Program TBKids mempunyai enam subjek iaitu Bahasa Malaysia (BM) Bahasa Inggeris (BI), Sains (SC) Matematik (MT), Pendidikan Moral (PM) dan Jawi.

Melalui program itu kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun dapat melakukan pelbagai tugasan seperti melukis, mewarna, membaca, menyanyi serta mengaji al-Quran.



Lebih membanggakan, TBKids adalah ciptaan anak tempatan yang dikendalikan Top IT Industries Sdn. Bhd bersama tenaga pengajar Tabika Yayasan Terengganu.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperkenalkan Program Tabika Cemerlang yang menggunakan kemudahan pembelajaran Teknologi Maklumat (IT) bagi menaikkan taraf pendidikan di peringkat pra-sekolah.

Serentak itu juga, Program Pintar al-Quran turut diperkenalkan bagi membolehkan kanak-kanak khatam al-Quran di peringkat pra-sekolah.



Manakala di peringkat sekolah menengah pula, diperkenalkan Sekolah Elit dan Primier bagi menempatkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sekolah IMTIAZ pula diwujudkan bagi melahirkan golongan hafiz al-Quran manakala elaun kepada guru-guru Kelas Fardu Ain yang dihentikan semasa pemerintahan PAS, diberi semula.

Melalui program Schoolwide Enrichment Model (SEM) pula guru-guru dilatih di luar negara, bagi mendedahkan mereka kepada sistem pembelajaran peringkat antarabangsa.

Program English Teaching Assistant (ETA) pula menempatkan tenaga pengajar Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat di sepuluh sekolah menengah seluruh negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE), bagi memperkasakan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.



Kemuncak kepada usaha memperkasakan bidang pendidikan ini ialah penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), sebagai memenuhi janji BN mewujudkan universiti penuh di Terengganu.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mengkotakan janjinya, Kerajaan BN bukan setakat menubuhkan sebuah universiti, tetapi dua universiti lain turut diwujudkan di negeri ini iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tiada ulasan: