Sabtu, 3 Januari 2009

MB Cakna Rakyat


Oleh: Suriati Ali

“Saya dapat menjiwai perasaan rakyat yang hidup susah terutama mereka yang mencari rezeki melalui hasil laut, cucuk tanam, mengayuh beca dan sebagainya.

“Dulu hidup saya bersama adik beradik lain hanya bergantung kepada hasil rezeki ayah yang mengambil upah memanjat nyiur (kelapa) dan atas kurnia itu saya cukup bersyukur,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

Hasil pengalaman hidup itu, beliau sebagai pemimpin yang diberi amanah untuk menerajui tampuk pemerintahan negeri ini, berjanji akan membantu sebaik mungkin apa yang diperlukan rakyat.

“Apa yang penting ialah kehidupan, pendapatan dan keselesaan rakyat harus diberi tumpuan,” katanya ketika merasmikan Majlis Mesra Rakyat Bersama Pemimpin di Flet Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Pada majlis itu seramai 200 penduduk yang dikategori berpendapatan rendah menerima bantuan berupa barangan dapur.

Menteri Besar berkata, bagi memastikan rakyat terus dibela sehingga peringkat akar umbi, beliau sentiasa akan turun padang seperti apa yang dilakukan hari ini.

“Cara ini bukan dilakukan ketika pilihan raya sahaja malah hampir setiap hari jika mempunyai ruang dan tiada kekangan kerja.

“Pembangkang pasti akan menuduh, setiap bantuan yang disumbangkan ketika musim pilihan raya hanya bertujuan meraih undi,” katanya.

Katanya, bagi beliau biar apa orang hendak kata, kebajikan rakyat perlu diutamakan, kerajaan yang prihatin sentiasa membantu mereka yang susah.

“Satu lagi, sebagai kerajaan, setiap bantuan yang diberi seperti rumah, pakaian, alatan sekolah dan bantuan menyambung pelajaran, kita tidak memilih bulu sama ada orang biru atau hijau,” katanya.



Dato’ Ahmad berkata, sebagai rakyat yang tahu berterima kasih, mereka tidak akan lupa jasa kerajaan.

“Oleh itu, musim pilihan raya yang bakal berlangsung 17 Januari nanti, pilihlah dacing dan bukannya bulan.

Calon Pas Bukan Tokoh

Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan melihat Pas gagal mengetengahkan calon yang boleh dianggap tokoh dan berwibawa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu apabila meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang sudah lima penggal memegang jawatan ADUN dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Anuar Musa berkata, sepanjang perkhidmatan Abdul Wahid Endut termasuk semasa Pas memerintah Terengganu, tidak ada sumbangan besar yang diberikan beliau kepada pengundi di kawasan Wakaf Mempelam. Tidak banyak berlaku perubahan di DUN Wakaf Mempelam dalam tempoh lima penggal beliau menjadi ADUN kawasan tersebut.

Berbanding dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, merupakan seorang tokoh dan dikenali di peringkat nasional. Beliau merupakan seorang Timbalan Menteri dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional, termasuk menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kini diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Jika beliau menang sudah tentu Perdana Menteri akan memberi pertimbangan untuk memberikan jawatan penting kepada beliau dalam kerajaan bagi membolehkannya mencurahkan khidmat kepada rakyat.

"Oleh itu, saya berpendapat amat rugi jika pengundi kawasan Parlimen Kuala Terengganu mengundi calon Pas kerana terbukti bahawa Mohd Abdul Wahid Endut tidak berupaya untuk merubah keadaan di kawasan Wakaf Mempelam walaupun pernah memegang jawatan sebagai EXCO. Malah, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil ini mengejutkan banyak pihak.

Di kalangan pemimpin Pas dan PKR sendiri, tidak terdapat persefahaman mengenai pemilihan calon. Sebagai jalan tengah, saya difahamkan Pas terpaksa mengemukakan calon ini sebagai kompromi selepas beberapa nama yang disebut-sebut sebelum ini tidak dapat memberi kepuasan kepada pihak-pihak berkenaan," ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Terengganu di Kuala Terengganu.

Badan Perhubungan UMNO Kelantan tetap menghormati keputusan Pas mencalonkan Abdul Wahid, tetapi percaya bahawa pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu sudah matang dan bijak dalam membuat pilihan mereka. Mereka sudah pasti akan memilih calon BN yang mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan kesinambungan proses pembangunan di sekitar Bandar Kuala Terengganu.

Tambahan pula, calon BN sebelum ini, Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran, telah membuktikan perkhidmatan yang cemerlang dan sentiasa mengambil berat kebajikan pengundi, khususnya di bidang pendidikan. Sudah tentu Dato’ Wan Ahmad Farid akan terus mencurahkan khidmat seperti yang dilakukan oleh calon BN sebelum ini, jika BN menang sekali lagi dalam pilihan raya kecil kali ini.

UMNO Kelantan akan berkempen berhabis-habisan dalam pilihan raya kecil ini, khususnya di tiga kawasan peti undi dalam DUN Wakaf Mempelam, bagi memastikan calon BN akan menang dalam pilihan raya kali ini. Pihak kami meminta semua 2,000 cawangan UMNO yang ada di Kelantan supaya menghantar seberapa ramai wakil untuk mengiringi calon BN pada hari penamaan calon pada 6 Januari ini.

UMNO Kelantan akan menggunakan konsep mesra pengundi dan menjelaskan kepada mereka apa kebaikan dan kelebihan mengundi BN. Dalam kempen tersebut, kita akan mensasarkan golongan atas pagar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya. Saya percaya jika kita berjaya meyakinkan mereka untuk mengundi BN, BN akan menang pilihan raya ini.

Berikut kenyataan penuh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa :

Pas gagal mengetengahkan calon yang boleh dianggap tokoh dan berwibawa untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, sudah lima penggal memegang jawatan ADUN dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), tetapi tidak menonjol di peringkat nasional. Sepatutnya dengan pengalaman yang luas dalam politik, beliau (Mohd Abdul Wahid) dikenali dan menjadi tokoh di peringkat nasional. Sepanjang perkhidmatan beliau juga, termasuk semasa Pas memerintah Terengganu, tidak ada sumbangan besar yang diberikan beliau kepada pengundi di kawasan Wakaf Mempelam. Tidak banyak berlaku perubahan di DUN Wakaf Mempelam dalam tempoh lima penggal beliau menjadi ADUN kawasan tersebut.

Berbanding dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, merupakan seorang tokoh dan dikenali di peringkat nasional. Beliau merupakan seorang Timbalan Menteri dan pernah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional, termasuk menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau kini diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Jika beliau menang sudah tentu Perdana Menteri akan memberi pertimbangan untuk memberikan jawatan penting kepada beliau dalam kerajaan bagi membolehkannya mencurahkan khidmat kepada rakyat. Oleh itu, saya berpendapat amat rugi jika pengundi kawasan Parlimen Kuala Terengganu mengundi calon Pas kerana terbukti bahawa Mohd Abdul Wahid Endut tidak berupaya untuk merubah keadaan di kawasan Wakaf Mempelam walaupun pernah memegang jawatan sebagai EXCO.

Malah, pemilihan Mohd Abdul Wahid sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil ini mengejutkan banyak pihak. Di kalangan pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri, tidak terdapat persefahaman mengenai pemilihan calon. Sebagai jalan tengah, saya difahamkan Pas terpaksa mengemukakan calon ini sebagai kompromi selepas beberapa nama yang disebut-sebut sebelum ini tidak dapat memberi kepuasan kepada pihak-pihak berkenaan.

Badan Perhubungan UMNO Kelantan menghormati keputusan Pas mencalonkan Abdul Wahid, tetapi pihak kami percaya pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu bijak dalam membuat pemilihan. Mereka sudah pasti akan memilih calon BN yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat bagi memastikan kesinambungan proses pembangunan di sekitar Bandar Kuala Terengganu. Tambahan pula, calon BN sebelum ini, Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran, telah membuktikan perkhidmatan yang cemerlang dan sentiasa mengambil berat kebajikan pengundi, khususnya di bidang pendidikan. Sudah tentu Dato’ Wan Ahmad Farid akan terus mencurahkan khidmat seperti yang dilakukan oleh calon BN sebelum ini, jika BN menang sekali lagi dalam pilihan raya kecil kali ini.

UMNO Kelantan akan berkempen berhabis-habisan dalam pilihan raya kecil ini, khususnya di tiga kawasan peti undi dalam DUN Wakaf Mempelam, bagi memastikan calon BN akan menang dalam pilihan raya kali ini. Pihak kami meminta semua 2,000 cawangan UMNO yang ada di Kelantan supaya menghantar seberapa ramai wakil untuk mengiringi calon BN pada hari penamaan calon pada 6 Januari ini. UMNO Kelantan akan menggunakan konsep mesra pengundi dan menjelaskan kepada mereka apa kebaikan dan kelebihan mengundi BN. Dalam kempen tersebut, kita akan mensasarkan golongan atas pagar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya. Saya percaya jika kita berjaya meyakinkan mereka untuk mengundi BN, BN akan menang pilihan raya ini.

Pendekatan BN Mesra Rakyat


oleh Farezul Fadzal

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata siapa pun lawan yang dinamakan untuk menentang beliau, ia tidak akan mengubah pendekatan BN serta falsafah parti untuk mendekati dan membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu.
Katanya, BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa Pas semasa kempen nanti kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Beliau berkata, rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian dan memilih wakil BN, Allahyarham Dato' Razali Ismail pada pilihan raya umum itu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas calon, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut dinamakan sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu, hari ini (2 Januari).

Dato’ Wan Ahmad Farid mengulangi pihaknya akan meneruskan usaha mendekati para pengundi dan tetap akan melantik pegawai khas yang fasih berbahasa Hokkien dan Mandarin bagi menjaga hal ehwal masyarakat Cina di Kuala Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Restoran Kien Tee, Kuala Terengganu, hari ini (2 Januari).



Dalam pada itu, ahli perniagaan dari Kampung Cina, San Wee, 45, berkata personaliti calon BN yang mudah didekati dan boleh memiliki kemahiran beberapa bahasa sangat dikagumi dikalangan masyarakat Cina.

Jelasnya, perkhidmatan BN dikawasan masyarakat Cina lebih baik berbanding parti pembangkang.
“Pusat perkhidmatan dia( parti pembangkang) pun..saya dok tahu…calon Pas saya pun tidak kenal siapa orangnya,” katanya.
Selepas itu, Dato’ Wan Ahmad Farid berkesempatan berjumpa dengan penduduk di Kampung Tanjung dan menyertai aktiviti gunting rambut secara percuma yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung.



Menurut Pengerusi JKKK Tanjung, En.Busu Yaakub program yang dianjurkan itu sebahagian dari usaha untuk merapatkan hubungan anggota masyarakat sekitarnya.
Jelasnya, pihaknya turut akan mengagihkan pakaian dan beg sekolah percuma kepada semua pelajar di kampung berkenaan.

“Seramai 143 pelajar kampung ini akan menerima barangan tersebut pada majlis yang akan diadakan petang ini,” katanya.
Menyentuh mengenai calon, beliau berkata, masyarakat tempatan sudah pun mengenali calon tersebut dan ianya menepati kriteria yang di kehendaki orang ramai.
“Dato’ Wan Ahmad Farid sesuai sebagai pengganti Allahyarham Dato’ Razali Ismail dan yang penting saya rasa ramai yang tidak tahu, beliau dilahirkan di kampung ini,” jelasnya.
Tambahnya, sokongan dari masyarakat disekitar itu tidak dapat dinafikan sejak dari dulu lagi dan ini terbukti apabila Dato’ Wan Ahmad Farid turut dilantik menjadi Penyelaras BN Dun Wakaf Mempelam dilihat satu usaha mendekati pengundi di kubu kuat Pas.

‘Saya yakin kita boleh meraih kemenangan dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Dato’ Wan Ahmad Farid juga melawat kampung Pasir Panjang untuk turut serta dalam acara memasak bubur asyura yang dianjurkan oleh JKKK kampung itu.

Setiausaha JKKK Kampung Pasir Panjang, Kamaluddin Mat Amin, berkata aktiviti memasak bubur asyura merupakan aktiviti tahunan di kampung berkenaan.
Jelasnya, kemunculan calon BN amatlah dinanti-nantikan masyarakat setempat.
“Beliau banyak membantu masyarakat di sini dalam banyak perkara,”ujarnya.

Erdogan + Klon tewas. Mohd Wahid Calon Pas


Kumpulan Erdogan + Klon ternyata tewas. Calon yang ditonjolkan mereka – Dr Syed Azman Syed Nawawi (ADUN Batu Burok) - tidak dipilih oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut yang ditonjolkan untuk menentang calon BN, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hadi mendakwa calon yang menjadi pilihannya ini mendapat restu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ada pendapat mengatakan kenyataan Hadi mengenai sokongan Nik Aziz sebagai mengambil hati dan ‘wayang semata-mata’ kerana PAS Kelantan dikatakan kecewa dengan Hadi yang menolak calon saranan mereka – Dr Azman dan sebelum itu Mohamad Sabu.

PAS Terengganu jelas tetap dengan pendiriannya mahukan calon tempatan daripada kumpulan ulama.

Isu calon di Parlimen Kuala Terengganu dikatakan menyebabkan ‘perang besar’ antara kumpulan muda dan ulama.

Pada mesyuarat penting PAS sebelum ini, ia memakan masa selama lima jam tetapi jawapan yang boleh diberikan oleh Hadi hanyalah “nama calon ada dalam poket saya....”

Selepas usaha kumpulan ulama meletakkan Datuk Mustafa Ali gagal dan Datuk Wan Mutalib Embong pula katanya enggan bertanding, akhirnya calon ketiga mereka - Mohd Wahid - dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil kawasan P36.

Pengumuman yang dibuat malam semalam bagaimanapun tidak merisau atau membimbangkan lansung kepada calon Barisan Nasional, Wan Farid .

Bagi Wan Farid, siapa pun lawan yang dinamakan untuk menentang beliau, ia tidak akan mengubah pendekatan BN serta falsafah parti untuk mendekati dan membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu.

Katanya BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa Pas semasa kempen nanti, kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau berkata rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian dan memilih wakil BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum itu.

Hadi malam semalam mengumumkan calon PAS di hadapan kira-kira 8,000 penyokong parti itu di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Mohd Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada tahun 1982.



Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)
DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)
Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi.

Hadi berkata beliau sendiri yang memilih Mohd Wahid, 52, yang menjadi Adun Wakaf Mempelam sejak 1990, dan mendakwa ia mendapat restu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurut Hadi dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan daripada orang ramai)dan istiqarah (sembahyang dan minta petunjuk).

"Sangat susah pilih calon PAS kerana calon-calon yang diketengahkan semuanya baik-baik... tiada rasuah, tiada politk wang dan tiada penyelewengan politik," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu, Abdul Hadi berkata Mohd Wahid dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Katanya sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003, Mohd Wahid dilihat mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.

"Calon kami mempunyai banyak pengalaman sebagai wakil rakyat... tidak pernah kalah dalam lima pilihan raya umum lepas, dan dia menepati kehendak ramai," katanya.

Mohd Wahid merupakan Bendahari Pas Terengganu dan Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu.

Sementara itu Mohd Wahid berkata beliau mempunyai banyak isu yang hendak ditimbulkan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil itu nanti.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan isu-isu berkenaan buat masa ini.

"Tunggu. Banyak masa lagi untuk berkempen. Bila tiba masanya saya akan kupas satu persatu ikut keperluan semasa," katanya.

Mohd Wahid berkata beliau juga tidak akan menyerang peribadi lawannya ketika berkempen untuk pilihan raya kecil itu.

Mengenai calon Barisan Nasional, Wan Ahmad Farid , yang merupakan pemimpin peringkat nasional, Mohd Wahid berkata kedudukan itu tidak menjamin kemenangan seseorang calon.

Selamat bertanding kepada Mohd Wahid.

Kepada Wan Farid, anda sudah menemui sasaran sebenar!

Laporkan Berita Yang Tepat


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menggunakan kemudahan di Pusat Media selepas merasmikannya di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.


Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini, media memainkan peranan yang cukup penting. Oleh itu, wartawan serta penulis bebas perlu melaporkan berita yang tepat dan tidak mengelirukan supaya terhindar daripada perselisihan faham di kalangan masyarakat.


Malah, mereka juga perlu pengamatan yang tajam dan berhati-hati ketika melaporkan berita di media masing-masing.Menteri Besar, Dato’ Ahmad said mengingatkan pengamal media supaya ada tanggungjawab sebagai orang Islam dan tidak melaporkan fakta yang salah sehingga menimbulkan fitnah yang boleh tersebar ke seluruh dunia.
“Jadi kalau kita buat berita yang berat sebelah atau tidak mendapatkan fakta yang tepat, ini mengelirukan orang dan sekali orang terkeliru untuk membetulkan balik susah.
“Katakan kebetulan pada hari itu orang tengok berita, katakan berita tidak tepat dan malam karang atau besok dia tidak tengok, jadi dia tidak tengoklah pembetulan dibuat atau sebagainya ,” kata beliau ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Media, di Bangunan Epic, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini (1 Januari).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad.
Pusat Media yang diwujudkan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bakal beroperasi bermula 1 Januari hingga 18 Januari depan bermula jam 8 sehingga 2 pagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada petugas media seperti talian internet, wifi, faksimili, mesin cetak dan telefon.
Selain sebagai pusat menyimpan dan mengedar pelbagai maklumat semasa, sidang akhbar serta ceramah politik, ia juga menjadi medan petugas media berkumpul, berinteraksi serta bertukar maklumat dan bahan berita sebelum di paparkan dalam media masing-masing.
Dalam pada itu, lebih 50 wartawan luar negara, 200 wartawan tempatan serta bloggers dan penulis maya dijangka membuat liputan sempena pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Pada masa yang sama, Pusat Media yang diselaraskan oleh Pejabat Menteri Besar, Unit Komunikasi Negeri dan Kementerian Penerangan boleh memuatkan 20 hingga 30 petugas pada satu-satu masa.

Dah Mula Dah.... Gambar Songsang


“Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu,” kata Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam.Mereka yang dirujukkan Wan Farid adalah pembangkang.


Beliau dijangka ditentang calon PAS, Datuk Wan Mutalib Embong serta tiga calon bebas.Belum pun kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bermula, calon Barisan Nasional (BN telah ‘diserang’ menerusi laman web dan juga sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).


Utusan Malaysia hari ini melaporkan, terbaru ialah gambar Timbalan Menteri Dalam Negeri itu yang sedang berkaraoke bersama seorang wanita muda tersebar dalam laman web, sebaik sahaja beliau dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil 17 Januari depan.


Menyifatkan ada pihak yang sudah mula bermain kotor, Wan Ahmad Farid berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyerang peribadi beliau perlu berusaha lebih keras.


Ini kerana, katanya, wanita yang sedang menyanyi bersama beliau itu adalah anak saudaranya sendiri dalam majlis perjumpaan keluarga di rumah seorang saudara yang turut dihadiri anggota keluarganya termasuk isteri dan anak-anak beliau, selain ibu bapa anak saudaranya itu.


“Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu. Mungkin ada pihak yang nak menggambarkan saya seorang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di lounge, pusat karaoke dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Kuala Terangganu semalam.


Katanya, bapa kepada anak saudaranya itu turut berada di tempat berkenaan ketika gambar itu diambil.“Abang saya ada, ayah dia (anak saudara) pun ada di sebelah kanan, tetapi dalam laman web berkenaan, hanya ada gambar saya dan gambar anak saudara saya itu setengah, seolah-olah memberi gambaran yang tersendiri.”


“Ini adalah tindakan berniat jahat, bila gambar itu disiarkan di Internet, banyak pihak yang membuat andaian dengan pelbagai rumusan tentang karakter saya,” katanya.


Selain itu, SMS daripada nombor yang tidak dikenali berbentuk serangan peribadi juga mula tersebar di kalangan pengundi, namun apabila nombor berkenaan dihubungi, telefon berkenaan telah dimatikan.


“Walau apa pun yang dibuat, saya yakin pengundi Kuala Terengganu matang dalam membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan isu yang ditimbulkan. Saya sendiri, tidak akan sekali-kali serang peribadi lawan, walau siapa pun mereka,” katanya.


Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dengan 17 Januari ditetapkan sebagai tarikh pengundian.


Setakat ini, hanya BN mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu, manakala Pas yang telah mengesahkan akan bertanding, akan mengumumkan calon mereka, malam esok.


Selain dua calon itu, pilihan raya kecil itu juga dijangka disertai beberapa calon bebas.
dipetik dari www.hambali1.blogspot.com

Jumaat, 2 Januari 2009

Pusat Media Akan Dirasmikan



Pusat Media yang diwujudkan sempena pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bertempat di Bangunan EPIC, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, pada 1 Januari (Khamis), kira-kira jam 12 tengah hari.

Penubuhan pusat media berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri membantu petugas media menggunakan kemudahan seperti talian internet, faksimili, mesin cetak, telefon .Selain itu, di situ juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat semasa, sidang akhbar serta ceramah yang dijalankan sepanjang menjelangnya pilihan raya kecil pada 17 Januari depan.

Malah, pusat media yang bakal beroperasi pada 1 Januari bermula jam 8 pagi sehingga jam 2 pagi juga menjadi medan petugas media berkumpul dan berinteraksi selain dapat bertukar maklumat dan bahan berita sebelum di paparkan menerusi media masing-masing.

Pengarah Jawatankuasa Media Pejabat Menteri Besar, Encik Hambali Abdul Latif, berkata ia juga akan menjadi platform pertemuan dan perkenalan khususnya di kalangan pelawat luar Terengganu.

Katanya, bukan hanya menyediakan kemudahan talian komunikasi secara percuma, pusat itu juga menyediakan tempat solat dan tandas untuk keselesaan penggunanya.

“Petugas media akan mendapat pelbagai keistimewaan lain termasuk disediakan pelekat khas bagi membolehkan mereka dikecualikan bayaran meletak kenderaan di kawasan Jalan Pejabat.

“Kenderaan petugas juga boleh diletakkan di dalam kawasan letak kereta Wisma Darul Iman bersebelahan Pusat Media berkenaan,”katanya.

Pada masa yang sama, Pusat Media yang diselaraskan oleh Pejabat Menteri Besar, Unit Komunikasi Negeri dan Kementerian Penerangan boleh memuatkan 20 hingga 30 petugas pada satu-satu masa.