Rabu, 18 Februari 2009

Kemudahan Sekolah Sukan Terengganu Ditingkatkan

Oleh: Esah Abdullah


RASMI...Menteri Besar mengendalikan jentolak ketika melakukan pecah tanah Prasarana Sukan di Sekolah Sukan Terengganu, Bukit Nenas, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sejumlah RM6 juta akan dibelanjakan bagi meningkatkan kemudahan prasarana di Sekolah Sukan Terengganu (SST) untuk kemudahan pelajar menjalani latihan sukan dengan lebih baik dan berkesan.

“Antara prasarana yang akan ditambah termasuklah membina gelanggang futsal berbumbung dan trek olahraga,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis Pelancaran Prasarana Sukan, Sekolah Sukan Terengganu, Bukit Nenas, Setiu hari ini (17 Februari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri merangkap Pengerusi, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SST, Haji Ashaari Idris dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.


TERANG...Dato' Ahmad diberi penerangan oleh Haji Ariffin mengenai lakaran Prasarana Sukan yang bakal dibina.

Dato’ Ahmad berkata, dewan sekolah sedia ada juga akan diubahsuai agar boleh digunakan pelbagai acara ‘indoor’ termasuk badminton dan pingpong.

Sekolah yang menempatkan 435 pelajar tingkat satu hingga enam, mula beroperasi pada 2005 sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan kemudian diambilalih oleh kementerian pada 2006 untuk dijadikan sekolah sukan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana pelajar di sekolah itu mampu mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu serta berjaya membantu Terengganu menjadi juara dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 tahun lalu.


KEMUDAHAN...majlis penyerahan bas baru kepada Sekolah Sukan Terengganu.

Menteri Besar juga turut memaklumkan cadangan Sekolah Sukan Malaysia, di Gong Badak Kuala Terengganu berada di peringkat menunggu keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Kawasan seluas 30 ekar telah disediakan kerajaan negeri dan anggaran kos lebih kurang RM70 juta, jika semuanya berjalan lancar kerja-kerja merata tapak dijangka dapat dilakukan selewatnya tahun depan,” katanya.

Katanya, apabila sekolah itu siap kerajaan akan membuat pengambilan 80 peratus pelajar tempatan, manakala 20 peratus pelajar luar Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri.



Semarakkan Proses Perbandaran Dungun
Oleh: AIDA ABD RAHMAN


Ahli Majlis MPD bergambar bersama Dato' Rosli (tengah) selepas majlis Terima Jawatan di Dewan MPD, Dungun. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) harus memainkan peranan menterjemahkan kepada orang ramai yang masih berfikiran sempit dan kabur mengenai peruntukan undang-undang dan kualiti pengurusan dalam menyemarakkan proses perbandaran.

Wakil Khas kepada Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata beberapa nilai pendekatan yang sesuai dengan status majlis perbandaran juga perlu diambil kira oleh semua ahli majlis perbandaran termasuk melunaskan tuntutan rakyat.

Dato’ Rosli juga mengingatkan ahli majlis supaya mewujudkan keserasian sesama ahli untuk menguruskan undang-undang dan membina kepimpinan yang bijaksana bagi menyelesaikan pelbagai masalah terutama melibatkan rakyat.

“Agenda utama panel Dungun Membangun sejak penubuhannya termasuk bagaimana hendak menjadikan Dungun sebagai kawasan perbandaran dan akhirnya dapat direalisasikan pada 20 Ogos 2008 lalu.

“MPD harus lebih `struggle’ dengan mencari sumber pendapatan sendiri seperti bayaran TNB (Tenaga Nasional Berhad) serta pembangunan di pesisiran pantai di Paka yang mana pelaksanaanya dapat diterjemahkan di peringkat perbandaran,” kata beliau ketika majlis Terima Jawatan Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di Dewan MPD, Dungun, semalam (16 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Yang Dipertua MPD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Seramai 22 Ahli Majlis MPD mengangkat sumpah dan menandatangani surat perakuan menerima tugas masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan supaya ahli majlis tidak mengabaikan tiga aspek utama yang menjadi asas kepada perbandaran, iaitu kebersihan, pembinaan disiplin rakyat serta permuafakatan.

Katanya, pemilihan ahli majlis dari pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin politik, Ahli Bukan Kerajaan (NGO), aktivis, pendidik dan usahawan mampu menjadikan ahli majlis yang berkualiti tinggi dan mampu memantapkan MPD dalam semua aspek.

Selain itu, Dato’ Rosli yang juga Pengerusi Dungun Membangun sedang berusaha memastikan dua projek dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang masih di peringkat awal iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bukit Tiong dan kampus UiTM Bukit Besi dapat direalisasikan segera.

“Prasarana menjadi teras kepada pembangunan di MPD. Saya sedang berusaha supaya projek membina MRSM Bukit Tiong menerusi RMK9 yang sudah dibuat `designnya’ dapat dibuat rundingan terus dengan syarikat tempatan (pemaju).

“Pembinaan Kampus UiTM Bukit Besi yang bernilai RM54 juta bagi fasa I akan direzabkan dan diserahkan kepada UiTM, selain tapak pembinaan akan dilawati oleh Menteri Pengajian Tinggi nanti bagi melihat perkembangan projek ini,” katanya.

UNIT KOMUNIKASI NEGERI

Tiada ulasan: