Rabu, 18 Februari 2009

Kemudahan Sekolah Sukan Terengganu Ditingkatkan

Oleh: Esah Abdullah


RASMI...Menteri Besar mengendalikan jentolak ketika melakukan pecah tanah Prasarana Sukan di Sekolah Sukan Terengganu, Bukit Nenas, Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sejumlah RM6 juta akan dibelanjakan bagi meningkatkan kemudahan prasarana di Sekolah Sukan Terengganu (SST) untuk kemudahan pelajar menjalani latihan sukan dengan lebih baik dan berkesan.

“Antara prasarana yang akan ditambah termasuklah membina gelanggang futsal berbumbung dan trek olahraga,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis Pelancaran Prasarana Sukan, Sekolah Sukan Terengganu, Bukit Nenas, Setiu hari ini (17 Februari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri merangkap Pengerusi, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SST, Haji Ashaari Idris dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.


TERANG...Dato' Ahmad diberi penerangan oleh Haji Ariffin mengenai lakaran Prasarana Sukan yang bakal dibina.

Dato’ Ahmad berkata, dewan sekolah sedia ada juga akan diubahsuai agar boleh digunakan pelbagai acara ‘indoor’ termasuk badminton dan pingpong.

Sekolah yang menempatkan 435 pelajar tingkat satu hingga enam, mula beroperasi pada 2005 sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan kemudian diambilalih oleh kementerian pada 2006 untuk dijadikan sekolah sukan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana pelajar di sekolah itu mampu mencatat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu serta berjaya membantu Terengganu menjadi juara dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 tahun lalu.


KEMUDAHAN...majlis penyerahan bas baru kepada Sekolah Sukan Terengganu.

Menteri Besar juga turut memaklumkan cadangan Sekolah Sukan Malaysia, di Gong Badak Kuala Terengganu berada di peringkat menunggu keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Kawasan seluas 30 ekar telah disediakan kerajaan negeri dan anggaran kos lebih kurang RM70 juta, jika semuanya berjalan lancar kerja-kerja merata tapak dijangka dapat dilakukan selewatnya tahun depan,” katanya.

Katanya, apabila sekolah itu siap kerajaan akan membuat pengambilan 80 peratus pelajar tempatan, manakala 20 peratus pelajar luar Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri.



Semarakkan Proses Perbandaran Dungun
Oleh: AIDA ABD RAHMAN


Ahli Majlis MPD bergambar bersama Dato' Rosli (tengah) selepas majlis Terima Jawatan di Dewan MPD, Dungun. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD) harus memainkan peranan menterjemahkan kepada orang ramai yang masih berfikiran sempit dan kabur mengenai peruntukan undang-undang dan kualiti pengurusan dalam menyemarakkan proses perbandaran.

Wakil Khas kepada Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata beberapa nilai pendekatan yang sesuai dengan status majlis perbandaran juga perlu diambil kira oleh semua ahli majlis perbandaran termasuk melunaskan tuntutan rakyat.

Dato’ Rosli juga mengingatkan ahli majlis supaya mewujudkan keserasian sesama ahli untuk menguruskan undang-undang dan membina kepimpinan yang bijaksana bagi menyelesaikan pelbagai masalah terutama melibatkan rakyat.

“Agenda utama panel Dungun Membangun sejak penubuhannya termasuk bagaimana hendak menjadikan Dungun sebagai kawasan perbandaran dan akhirnya dapat direalisasikan pada 20 Ogos 2008 lalu.

“MPD harus lebih `struggle’ dengan mencari sumber pendapatan sendiri seperti bayaran TNB (Tenaga Nasional Berhad) serta pembangunan di pesisiran pantai di Paka yang mana pelaksanaanya dapat diterjemahkan di peringkat perbandaran,” kata beliau ketika majlis Terima Jawatan Ahli Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di Dewan MPD, Dungun, semalam (16 Februari).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Yang Dipertua MPD, Encik Zainal Abidin Hussin.

Seramai 22 Ahli Majlis MPD mengangkat sumpah dan menandatangani surat perakuan menerima tugas masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan supaya ahli majlis tidak mengabaikan tiga aspek utama yang menjadi asas kepada perbandaran, iaitu kebersihan, pembinaan disiplin rakyat serta permuafakatan.

Katanya, pemilihan ahli majlis dari pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin politik, Ahli Bukan Kerajaan (NGO), aktivis, pendidik dan usahawan mampu menjadikan ahli majlis yang berkualiti tinggi dan mampu memantapkan MPD dalam semua aspek.

Selain itu, Dato’ Rosli yang juga Pengerusi Dungun Membangun sedang berusaha memastikan dua projek dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang masih di peringkat awal iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bukit Tiong dan kampus UiTM Bukit Besi dapat direalisasikan segera.

“Prasarana menjadi teras kepada pembangunan di MPD. Saya sedang berusaha supaya projek membina MRSM Bukit Tiong menerusi RMK9 yang sudah dibuat `designnya’ dapat dibuat rundingan terus dengan syarikat tempatan (pemaju).

“Pembinaan Kampus UiTM Bukit Besi yang bernilai RM54 juta bagi fasa I akan direzabkan dan diserahkan kepada UiTM, selain tapak pembinaan akan dilawati oleh Menteri Pengajian Tinggi nanti bagi melihat perkembangan projek ini,” katanya.

UNIT KOMUNIKASI NEGERI

Selasa, 3 Februari 2009

Bazar Warisan Dibaikpulih

Oleh: Suriati Ali


Dato' Ahmad dan Dato' Mat Razali (kiri) meninjau masalah yang dihadapi oleh peniaga di Bazar Warisan. -Foto SHUHAIMI AHMAD

Kerajaan negeri akan membaik pulih dan menambah beberapa infrastruktur sedia ada di Bazar Warisan, Kuala Terengganu bagi memenuhi kehendak peniaga yang kurang berpuas hati terhadap kemudahan itu.

Kerosakan yang berlaku seperti atap bocor dan mengindahkan persekitaran akan dilakukan secara berperingkat bertujuan menaikkan kembali imej bazar itu di mata pelancong.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata segelintir peniaga di bazar itu merungut gerai jualan yang dibuka beberapa bulan lalu semakin merosot kerana tiada sambutan pelanggan.


Bazar Warisan yang akan dibaikpulih bagi mengatasi beberapa masalah yang timbul.

“Selain itu, mereka yang dipindahkan dari Pasar Besar Kedai Payang juga tidak selesa berniaga kerana beberapa infrastuktur, termasuk penghadang kaki lima rosak dan bumbung kedai bocor.

“Kerajaan negeri mengakui perkara itu berlaku di bazar yang mula dibuka awal tahun lalu. Semua aduan peniaga dipandang serius dan kita akan mengatasinya secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di bazar itu, semalam (2 Februari).

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar berkata, berdasarkan pemerhatian, kerosakan itu berlaku disebabkan kecuaian pihak tertentu yang tidak mementingkan kualiti kerja, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan.


Dato' Ahmad menerangkan sesuatu kepada pegawai kerajaan yang terbabit dengan pembinaan Bazar Warisan.

“Saya sudah mengarah pihak berkaitan membaik pulih kembali kemudahan yang didapati rosak serta menambah beberapa infrastruktur, termasuk kiosk dan lanskap air terjun di bazar itu,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, peniaga perlu bersepakat membuka gerai jualan masing-masing bagi menarik perhatian pelanggan dan pelancong luar. Sekiranya hanya beberapa lot kedai dibuka, ia tidak mampu mencuri hati pelanggan.

“Selain itu, peniaga perlu bijak merancang strategi jika ingin perniagaan mereka laris dan maju setanding dengan negara luar.

“Sebaliknya, apa yang menyedihkan, sikap peniaga itu sendiri yang tidak mahu berkerjasama dan sentiasa mencari balah antara peniaga lain. Jika sikap seperti itu berterusan, matlamat dalam perniagaan tidak akan tercapai,” katanya

Katanya, peniaga yang mendapat lot kedai di bazar warisan sepatutnya bersyukur terhadap kemudahan yang disediakan kerajaan negeri dengan bersama-sama mencari jalan untuk melariskan perniagaan.

“Bazar ini cukup unik bagi sesetengah individu yang pandai menilai seni. Oleh itu, peniaga perlu manfaatkannya sebaik mungkin sekiranya ingin maju dan menjadi ingauan pelanggan untuk kembali membeli-belah,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.

Isnin, 2 Februari 2009

PBT Diminta Lebih Pro-Aktif

Oleh: Esah Abdullah


TAHNIAH...Menteri Besar, Dato' Ahmad Said (tengah) bersama Yang DiPertua PBT Negeri Terengganu selepas majlis pengakuan menerima jawatan di WDI. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta lebih pro-aktif dalam usaha menarik orang ramai supaya membayar cukai pintu dengan kaedah yang lebih mudah dan sesuai.

“PBT boleh ikut cara Pejabat Tanah yang pergi ke kampung-kampung mengutip hasil,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said di majlis pengakuan menerima jawatan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini (1 Februari).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong, Ahli-ahli Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Katanya, notis pemberitahu boleh dibuat dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Masjid serta mengadakan hari membayar cukai atau seumpamanya.

“Kadang-kadang bukan mereka tak mahu bayar tapi kerana kesuntukan masa atau malas nak naik pejabat PBT, akhirnya hasil tertunggak bertahun-tahun,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya mengingatkan Yang Dipertua Majlis Daerah(YDP) seluruh negeri supaya lebih bertanggung jawab dan sering memantau kerja-kerja membabitkan kebersihan agar imej bandar tidak tercemar dimata umum.

“Dalam soal kebersihan tak kira ketua atau pekerja semuanya perlu bertanggung jawab memastikan sampah sarap tidak bertaburan ditempat awam dan kebersihan tandas sentiasa terjaga,” katanya.

Katanya, setakat ini kerja-kerja pembersihan seperti memungut dan membuang sampah serta membersih longkang diberikan kepada kontraktor yang sama dan ditender setiap tiga bulan.

“Selepas cuti hari minggu atau cuti umum orang ramai akan merungut, sampah tak dikutip malah ada sampai berulat, perkara sebegini tak timbul jika penguatkuasa dan kontraktor menjalankan tanggung jawab masing-masing dengan sempurna,” katanya.


Lima YDP daripada daerah Kemaman, Haji A.Rahman Yahya; Mohd Nor Ibrahim (Hulu Terengganu); Haji Wan Mustafa Wan Husain (Besut); Mohd Elias Nik (Marang) dan Haji Harun Mohamad (Setiu) angkat sumpah.

Katanya, kerja-kerja pembinaan longkang tertutup bersaiz enam kaki akan dipertingkatkan tahun dalam usaha mengelak berlaku limpahan air dan masalah sampah tersumbat,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyaksikan akuan menerima jawatan lima YDP daripada tujuh daerah iaitu daerah Kemaman, Haji A.Rahman Yahya; Mohd Nor Ibrahim (Hulu Terengganu); Haji Wan Mustafa Wan Husain (Besut); Mohd Elias Nik (Marang) dan Haji Harun Mohamad (Setiu).

Unit Komunikasi Negeri Terengganu.