Rabu, 28 Januari 2009

MB Iring Jenazah Pelajar Ke Tanah Perkuburan

Oleh: Kamarudin Mat Akib


MENTERI Besar, Dato' Ahmad Said bersama penduduk Kampung Pulau Manis mengangkat jenazah pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir, sebaik kereta jenazah dari Kuala Lumpur tiba kira-kira jam 8.30 pagi. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengiringi jenazah pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir, empat hari lalu, ke Tanah Perkuburan Kampung Pulau Manis, Manir, pagi ini (27 Januari 2009).

Sebelum itu, kira-kira jam 9 pagi, beliau turut menyertai lebih 100 penduduk tempatan menunaikan solat jenazah Alahyarham Mohd Hatta Mohd Hanafi, 22, di masjid kampung berkenaan.

Dato’ Ahmad yang diiringi isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, tiba di rumah keluarga Alahyarham Mohd Hatta, kira-kira jam 8 pagi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Encik Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail.


Ibu kepada pelajar yang meninggal dunia di Mesir tidak dapat menahan perasaan terharunya sebaik jenazah anaknya tiba di rumahnya di Kampung Pulau Manis, Manir.

Kira-kira setengah jam kemudian, van jenazah van yang membawa mayat tiba di rumah berkenaan dan disambut Menteri Besar dan ahli keluarga Alahyarham Mohd Hatta.

Jenazah berkenaan kemudiannya dibawa ke masjid untuk solat jenazah dan dikebumikan di tanah perkuburan tidak jauh dari situ.

Pelajar jurusan Usuluddin di Universiti al-Azhar itu meninggal dunia pukul 1.20 pagi, 24 Januari lalu dan mayatnya tiba di KLIA jam 9 malam tadi.


Dato' Ahmad Said mengaminkan doa sebaik jenazah pelajar mesir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Manis.

Alahyarham yang memulakan pengajian di universiti berkenaan September tahun, tinggal di Asrama Darul Iman Hayyuhasir di Kaherah dan mendapat tajaan YT.

Menteri Besar berkata, sebagai tanda simpati kerajaan negeri terhadap keluarga, YT akan menanggung semua perbelanjaan penghantaran jenazah alahyarham ke tanah air.

Unit Komunikasi Negeri



Gerhana Matahari di Minggu Falak 2009
Oleh : Farezul Fadzal


YB Ustaz Khazan melihat fenomena gerhana matahari yang berlaku pada petang 26 Januari 2009 di Taman Tamadun Islam. Gambar kecil ialah urutan fenomena gerhana matahari antara jam 4.37 petang dan 5.50 petang. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Minggu Falak (Astronomi) Terengganu 2009 yang berlangsung bermula 25 hingga 27 Januari memfokuskan kepada fenomena gerhana matahari berikutan fenomena tersebut mampu dilihat jelas di Terengganu.

Fenomena gerhana matahari separa dapat dilihat jelas hampir semua kawasan Asia Tenggara termasuklah di Terengganu dimana fenomena tersebut juga pernah disaksikan penduduk tempatan pada tahun 1998.

Pada tahun ini sebanyak dua kali fenomena gerhana matahari berlaku termasuklah pada 26 Januari berlaku pada magnitud 60 peratus manakala pada 22 Julai pada magnitud 20 peratus.

Turut hadir menyaksikan fenomena tersebut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Yb. Khazan Che Mat; Pengerusi Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Dato’ Abdul Latiff Awang dan Pengarah Urusan PSKT, Dr. Mohd Zaki Mohd Said.


Pelajar Universiti Darul Iman menggunakan cermin mata khas untuk melihat fenomena gerhana matahari di Taman Tamadun Islam.

Sempena program tersebut, Universiti Darul Iman (UDM) turut menyediakan kelengkapan alat cerap untuk orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri fenomena gerhana matahari tersebut di perkarangan Tasik al-Jazari, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, hari ini (26 Januari).

Tepat jam 4.37 petang fenomena tersebut mula kelihatan sehinggalah jam 7.00 petang dan fenomena tersebut dijangkakan berlaku lagi pada tahun 2031.

YB. Khazan ketika ditemui berkata program yang diadakan itu mampu mengembalikan minat terutamanya para pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

“Ini satu langkah bijak yang diambil oleh pihak yang terlibat pada hari ini diharap ianya menjadi pencetus kepada kebangkitan dunia sains islam yang kini dikuasai oleh dunia barat,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri.



Program ETA Berkesan
Oleh Farezul Fadzal


YB Ahmad Razif bergambar bersama Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) pada majlis penyerahan kepada sekolah terpilih di Permai Inn. - Foto SHUHAIMI AHMAD

Program Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) yang dimulakan sejak tiga tahun lalu diakui memberi kesan amat baik dikalangan para pelajar sekolah.

Malah keputusan peperiksaan pelajar yang didedahkan dengan program tersebut menunjukkan keputusan membanggakan dalam peperiksaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB. Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sekolah yang terlibat dalam program berkenaan pada tahun lalu telah menunjukkan peningkatan dalam menyertai program berbahasa Inggeris.

“Contohnya seperti perbahasan bahasa inggeris. Sudah ada keberanian kepada pelajar-pelajar kita. Kalau sebelum ini sebut sahaja program bahasa inggeris memang payah budak-budak kita nak sertai, sebab dia rasa tak yakin sedangkan dia boleh melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) 2009 di Permai Inn, Kuala Terengganu, hari ini (23 Januari).

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE), Dr, Jim Coffman dan Ketua Penolong Pengarah Matematik, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Aziz Mohd.

Program ETA anjuran Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-AS (MACEE) dengan kerjasama kerajaan negeri telah dimulakan sejak tiga tahun lalu diperkenalkan disekolah elit dan premier di seluruh negeri, kini mula dilaksanakan di sekolah menengah biasa dan sekolah rendah.


YB Ahmad Razif menyerahkan Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris kepada wakil sekolah terpilih.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 bagi menempatkan 23 pelajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat (AS) akan di 23 buah sekolah seluruh negeri Terengganu selama 10 bulan.

Kumpulan tersebut akan ditempatkan di 21 buah sekolah menengah serta di dua buah sekolah rendah sebagai percubaan iaitu di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir dan di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud.

“Jika usaha kita berjaya, insya Allah kita akan menempatkan lebih ramai lagi pelajar ETA ini ke sekolah-sekolah harian biasa tambahan pula kita menerima permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan sekolah-sekolah lain,” katanya.

“Jadi dengan adanya kehadiran ETA program, ia memberikan keyakinan kepada para pelajar kita untuk berkomunikasi, jadi dia tidak rasa takut dan dia seronok hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Abdullah Mamat berkata pihaknya berbesar hati menerima kedatangan guru pembantu Bahasa Inggeris tersebut.

“Pihak kami telah meyediakan kemudahan tempat tinggal kepada guru tersebut di asrama sekolah kami dan saya juga telah memberitahu kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan masyarakat setempat tentang kehadiran guru tersebut supaya diterima dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap dengan adanya guru pembantu tersebut akan dapat meningkatkan prestasi para pelajar sekolah tersebut dalam bahasa inggeris sama ada dari segi penulisan dan pertuturan.

Bagi pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Pn. Hajah Anuar Harun, 54, berkata pihaknya mempunyai pelbagai program yang telah disediakan.

“Kita akan memberi advantage kepada budak-budak kita di tingkatan satu dan tingkatan empat. Biasanya Bahasa Inggeris kita ada lima kelas setiap minggu. Jadi satu daripada kelas tersebut akan diberikan kepada guru pembantu ETA supaya para pelajar dapat mendengar bagaimana sebutan bahasa inggeris dengan betul dan dalam masa masa, pelajar boleh belajar bercakap dalam Bahasa Inggeris,” katanya.

Khamis, 22 Januari 2009

40 Tabika Guna Program TBKids

Oleh: Esah Abdullah


Kanak-kanak Tabika sedang menggunakan TBKids yang baru diperkenalkan kerajaan negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Satu program pembelajaran untuk kanak-kanak pra-sekolah yang dikenali sebagai Terengganu Briliant Kids (TBKids) akan diperkenalkan di seluruh negeri dalam tempoh terdekat.

“Buat permulaan 40 Tabika terlibat dengan program ini atau satu di setiap Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, hari ini (21 Januari).

Katanya, kerajaan membelanjakan RM1.2 juta untuk program ini bagi menggantikan Program Q-dees yang hanya menyediakan dua subjek iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Program ini mempunyai enam subjek iaitu Bahasa Malaysia (BM) Bahasa Inggeris (BI), Sains (SC) Matematik (MT), Pendidikan Moral (PM) dan Jawi,” katanya..


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama ahli Exco mendengar taklimat daripada wakil Top IT mengenai program TBKids.

Katanya, melalui program ini kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun dapat melakukan pelbagai tugasan seperti melukis, mewarna, membaca, menyanyi serta mengaji Quran.

“TBKids adalah ciptaan anak tempatan yang dikendalikan oleh Top IT Industries Sdn. Bhd bersama tenaga pengajar Tabika Yayasan Terengganu,” katanya.

“Sebagai permulaan kita cuba laksanakan di setiap daerah atau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Menteri Besar ketika menghadiri taklimat Program TBkids di Taska Permata Hadhari, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Batu Buruk, hari ini (21 Januari).

Terdahulu Menteri Besar bersama Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri menghadiri taklimat program TBKids telah disampaikan oleh Pengurus Top IT Industries Sdn Bhd, Encik Isa Nik.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Dalam majlis tersebut Dato’ Ahmad yang bersetuju dengan pengisian program itu turut membuat cadangan terhadap beberapa produk yang dipapar seperti pelajaran BM perlu ada BI dan begitu juga sebaliknya.

Kanak-kanak pada usia muda memerlukan sebuah acuan yang sesuai dan boleh mendatangkan kecenderungan untuk mengenali perkara baru dalam fasa kehidupan harian mereka.

Program TBKids menjawab segalanya dengan menyediakan bentuk pembelajaran yang cepat dan mudah melalui kemudahan teknologi maklumat (IT) yang menggunakan sentuhan hujung jari dan pencil yang diterjemahkan ke atas skrin berukuran 7x4 kaki.


Program TBKids lebih efektif dan dinamik berbanding Q-dees.

Program ini lebih efektif dan dinamik di samping boleh diubahsuai setiap masa mengikut keperluan dengan lima subjek berbanding sistem terdahulu (Q-dees) dua sahaja iaitu bahasa Inggeris dan Matematik.

Dalam pelajaran BM sendiri mempunyai pengenalan, pembelajaran , aktiviti dan permainan dan begitu juga dengan subjek lain yang mengajak kanak-kanak membuka minda dan berani ke hadapan untuk mencuba.

Begitu juga dengan pelajaran Jawi dimulakan dengan bacaan doa beserta gambar, suara dan tulisan untuk memudahkan mereka sama ada menghayati, mengikut bacaan dan melihat lokasi berwarna-warni.

Unit Komunikasi Negeri

Ahad, 18 Januari 2009

BN Terus Khidmat Kepada Rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Farezul Fadzal


Dato' Seri Najib, Dato' Ahmad Said dan Dato' Wan Ahmad Farid pada sidang media di Kediaman Seri Iman selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini walaupun sebilangan pengundi di Kuala Terengganu menolak parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata keputusan pilihan raya itu yang tidak memihak kepada BN, tidak melemahkan semangat dan kekuatan parti komponen itu, sebaliknya pemimpin BN akan menggandakan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada rakyat.

“Saya ingin menyatakan bahawa BN menerima keputusan yang dibuat pengundi Kuala Terengganu. Ini membuktikan sistem demokrasi berjalan lancar. Suara rakyat ialah suara keramat,” katanya pada sidang media di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, sebentar tadi. (17/1/2009 keputusan 9.30 malam)

Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wan Mustafa Wan Hassan, mengumumkan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi manakala calon PAS, Abdul Wahid Endut meraih 32,883 undi.

Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi, sekaligus hilang wang deposit. Undi rosak ialah 665 manakala peratus keluar mengundi ialah 79.9 peratus.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan di Stadium Negeri, jam 9.30 malam.

Dato’ Seri Mohd Najib berkata, kepimpinan BN akan melakukan apa yang sepatutnya termasuk menyusun semula imej parti di samping mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN.

Bagaimanapun, menurut beliau kekalahan dalam pilihan raya kecil itu tidak akan memberi impak kepada pilihan raya umum dan tidak bererti rakyat menolak BN secara keseluruhannya.

Unit Komunikasi Negeri

____________________________

Keputusan Pilihan Raya Kecil P.036 Parlimen Kuala Terengganu



Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.

Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193undi, sekali gus hilang deposit.

Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.73 peratus atau 63,967 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Dipetik dari Buletin Harian Online

Rabu, 14 Januari 2009

Syabas Dan Tahniah



Syabas Dan Tahniah kepada semua murid yang memperolehi 9A/8A/7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 serta para Ibu Bapa, Guru dan semua pihak yang membantu melahirkan generasi cemerlang Terengganu Darul Iman. Daripada Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.

Selasa, 13 Januari 2009

GEMBIRA DAPAT e-BOOK

Oleh: Suriati Ali


Dato' Ahmad bersama murid Tahun Lima yang menerima e - Book pada majlis Memperkasakan Kecemerlangan Pendidik Terengganu : Pemuafakatan Pemimpin dan Pelancaran e - Book di Kediaman Seri Iman. - Foto SHUHAIMI AHMAD

“Sikap cakna kerajaan negeri terhadap sistem pendidikan yang mahukan sentiasa terbaik di antara negeri lain perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pendekatan itu memberi banyak kejayaan kepada Terengganu, termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) meraih tempat pertama lapan tahun berturut-turut,” kata seorang guru Tengku Badariah Tengku Husin, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Tengku Badariah berkata demikian selepas Majlis Memperkasakan Kecemerlangan Pendidik Terengganu, Permaufakatan Bersama Pemimpin dan Pelancaran e-Book di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini (12 Januari).


Sebahagian guru yang hadir pada majlis Memoerkasakan Kecemerlangan Pendidik Terengganu : Pemuafakatan Pemimpin dan Pelancaran e - Book di Kediaman Seri Iman.

Hadir sama di majlis itu, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Razif Abd Rahman; Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong.

Guru dari SK Sultan Sulaiman II, Noma Baba berkata pelaksanaan pembelajaran menggunakan e-Book adalah satu pendekatan positif selain mampu melahirkan murid berfikiran global suatu ketika nanti

Katanya, kaedah itu nyata menggembirakan murid kerana e-Book perkara baru selain satu bonus kepada mereka untuk meneroka lebih mendalam di bidang teknologi maklumat.

Mohd Hafiz Albar Aisal pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, berkata dia akan menngunakan sebaik mungkin e-Book yang akan diagihkan sekolah nanti.

“Pemberian e-Book itu nanti merupakan satu bonus kerana saya memang suka belajar menggunakan komputer.

“Pergi sekolah nanti tidak perlu bawa beg lagi kerana menurut cakap cikgu semua maklumat mengenai pembelajaran yang ada dalam e-Book,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, buat permulaan seramai 25,000 murid tahun lima di seluruh Terengganu bakal mendapat e-Book yang dijangka diagihkan pada Mei nanti.



Murid Tahun Lima gembira menunjukkan e - Book pada majlis Memperkasakan Kecemerlangan Pendidik Terengganu : Pemuafakatan Pemimpin dan Pelancaran e - Book di Kediaman Seri Iman.

Katanya, sejumlah RM30 juta diperuntukkan untuk tujuan itu di mana ia mampu melahirkan murid celik teknologi maklumat dan berfikiran global.

“Selepas peringkat pertama dengan mengagihkan e-Book kepada murid tahun lima, penggunaan itu akan diagihkan kepada murid di tahun lain yang dijangka bermula tahun depan,” katanya.
_____________________________________

Saguhati ringan beban mangsa banjir
Oleh: Esah Abdullah


Dato' Ahmad Said menyampaikan wang saguhati kepada seorang penduduk Taman Pusu Tiga, Gong Badak yang terbabit dengan banjir pada majlis penyampaian untuk mangsa banjir di taman itu. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

“Pemberian ini amat besar maknanya kepada saya dan keluarga kerana dapat membantu merigankan bebanan yang ditanggung serta menampung serba sedikit kerugian yang dialami ketika dilanda banjir baru-baru ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas pemberian ini,” kata Mohd Afandi Mohd Ali, 54, penduduk Taman Desa Pusu Tiga, Gong Badak, Kuala Terengganu selepas menerima bantuan banjir yang disampikan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, hari ini (12 Januari).

Beliau yang mempunyai empat anak dan sudah lapan tahun menetap di taman itu turut bersyukur kerana sebelum itu telah menerima sumbangan seperti barangan makanan dan pakaian.


Penduduk Taman Pusu Tiga yang terbabit dengan banjir mendaftar untuk menerima wang saguhati daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Ibu kepada lima anak yang berusia empat hingga 15 tahun, Puan Rosanariah Zawati Mohd Hanafiah, 34, pula melahirkan rasa terharu dan bersyukur menerima bantuan wang tunai daripada pihak kerajaan.

“Saya baru berpindah ke sini setahun lalu dan ini pengalaman pertama, semua peralatan persekolahan anak tidak sempat diselamatkan dan banyak barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya.


Dato' Ahmad Said bersalaman dengan penduduk Taman Pusu Tiga, Gong Badak yang terbabit dengan banjir pada majlis penyampaian untuk mangsa banjir di taman itu.

Namun begitu, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan dan sumbangan yang diterima ini dapat membantu dia dan suami membeli barang keperluan lain selain daripada keperluan anak-anak.

Manakala Puan Noraini Embong, 38, bersyukur semuanya sudah kembali seperti sedia kala tapi pengalaman menyelamatkan barangan penting sambil meredah air pada waktu malam tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Saya berterima kasih kepada wakil rakyat di sini yang segera menghulurkan bantuan makanan, bantal dan selimut kerana semua itu telah musnah ditengelami air,” katanya yang terpaksa tinggal 12 hari di pusat perpindahan banjir.



Seramai 234 keluarga di Taman Desa Pusu Tiga, Desa Darul Iman dan Taman Seri Embun menerima sumbangan berjumlah RM249,370.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Haji Ashaari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Encik Zuhaimi Omar.

Menteri Besar berkata, satu kajian terperinci akan dilakukan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) bagi memastikan di kawasan yang berisiko tinggi seperti Taman Desa Pusu Tiga tidak akan dilanda banjir selepas ini.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk menyalurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan mangsa banjir dan sejumlah RM200,000 dibelanjakan untuk membeli makanan, selimut dan bantal sebagai bantuan segera kepada keluarga mangsa,” katanya.

Katanya, terdapat 677 keluarga yang menjadi mangsa banjir tahun ini, di mana kerajaan memperuntukkan lebih setengah juta sebagai saguhati bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung mangsa.

Unit Komunikasi Negeri

Ahad, 11 Januari 2009

Pilih Kerajaan Yang Teguh

Oleh: Esah Abdullah


Dato' Noraini beramah mesra dengan pelatih Institut Latihan Perindustrian, Gong Badak selepas menutup minggu suaikenal pelatih institut itu. -Foto Ihsan SINAR HARIAN

Rakyat diminta memilih seorang pemimpin daripada kerajaan yang teguh seperti Barisan Nasional (BN) untuk berlindung, sekaligus dapat meneruskan agenda pembangunan yang seimbang sama ada dunia dan akhirat.

“Gunakan hak yang ada dan jangan mempersiakan harapan generasi muda yang memerlukan tempat yang rendang untuk berteduh,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Noraini Ahmad pada sidang media selepas menutup Minggu Suaikenal pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Haji Romli Hassan dan Pengarah ILP Kuala Terengganu, Haji Abdul Halim Abd. Rahman serta 233 pelajar sesi Januari 2009.

Katanya, wanita mempunyai hak yang sama dan bertanggung jawab menentukan corak kepimpinan serta mempunyai peluang yang luas membuat pilihan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang ada.

“Kita jangan merasa malu dan berlindung di belakang lelaki sebaliknya tampil kehadapan, nyatakan pendirian untuk menegakkan kebenaran,” katanya yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Dato’ Noraini seterusnya berkata, sambutan daripada orang ramai untuk mengikuti kursus yang ditawarkan di ILP seluruh negara amat membanggakan.

Bagi sesi 2009, sebanyak 27,445 permohonan yang diterima untuk memasuki 26 buah ILP seluruh negara, manakala 1,302 permohonan adalah untuk kemasukan ILP di Terengganu.

“Hanya 916 tempat yang ditawarkan bagi mengikuti 11 kursus yang ada di sini dan 233 pelajar telah pun masuk pada awal bulan ini, manakala selebihnya akan masuk pada 18 Januari ini,” katanya.

Katanya, keperluan tenaga mahir tempatan amat penting bagi menggantikan tenaga mahir asing yang membanjiri negara serta kebergantungan ini harus dapat dikurangkan dengan wujudkan institut kemahiran yang melatih belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi tenaga kerja mahir.

Beliau turut mengharapkan pelajar dapat membina keterampilan diri selain ilmu pengetahuan dan jati diri sepanjang mengikuti kursus agar menjadi panduan apabila bekerja nanti.

Unit Komunikasi Negeri

Kerajaan BN Terbukti Bela Rakyat

Oleh:Aida Abd Rahman


Dato' Seri Mohd Najib dan Dato' Sri Dr Ng Yen Yen membantu mengenakan talipinggang kepada seorang kanak-kanak cacat sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan sebarang label dalam menjaga kebajikan rakyat kerana sudah terbukti sentiasa membela nasib rakyat berbanding pembangkang yang hanya mampu melabelkan mereka memperjuangkan `negara kebajikan’.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata kerajaan BN menjadi pembela, menjaga kepentingan dan memberi pertolongan setiap detik kepada rakyat sejak lahir sehingga ke liang lahad lagi.

“Tak payah melabelkan negara kita..Ada pihak kata bahawa dia nak memperjuangkan negara kebajikan. Dalam pilihan raya yang lalu pun, mula-mula dia main isu hukum hudud.

“Dia ada kawan baru, senyap..Timbul pulak negara kebajikan, kalau menang nak jadi negara kebajikan,” kata beliau ketika merasmikan Program Cakna Rakyat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam, Kuala Terengganu, hari ini (11 Januari).

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad said; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Noriah Kasnon.


Orang ramai yang hadir pada perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan BN dapat melaksanakan segala program kebajikan untuk rakyat dengan kemampuan kewangan dan ekonomi negara yang kukuh.

Katanya, hasil pengurusan kewangan yang baik dan kukuh membolehkan pendapatan dan hasil kerajaan bertambah. Daripada situ, bukan sahaja boleh melaksanakan program sebagaimana cakna rakyat, tetapi juga mampu kembalikan hak royalti minyak kepadarakyat Terengganu.


Dato' Seri Mohd Najib menyampaikan bantuan kepada seorang penerima sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

“Jadi inilah usaha-usaha kita dan InsyaAllah dengan usaha-usaha ini bila kita nak sebut basmi kemiskinan tegar menjelang 2010 melalui program memperluaskan jaringan keselamatan sosial ini. InsyaAllah dengan usaha ini kita boleh menghapuskan kemiskinan tegar dalam negara,” katanya.


Dato' Seri Mohd Najib membantu seorang wanita uzur menggunakan kerusi roda untuk naik ke Klinik Bergerak LPPKN pada majlis perasmian Program Cakna Rakyat di Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu juga, Dato’ Seri Mohd Najib berkata, Program Cari-cari yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengenalpasti rakyat yang kurang bernasib baik termasuk miskin, cacat dan kurang upaya menunjukkan pertambahan daripada 54,000 isi rumah kepada 110,000 isi rumah yang perlu diberi perhatian dan bantuan.

Bantuan Bukan Berunsur Rasuah


Timbalan Perdana Menteri menyampaikan replika cek RM500,000 kepada Pengetua Sekolah Menengah Agama Khairiah, Shamsiah Mohd Kadir pada majlis Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Peruntukan dan bantuan yang diberikan kerajaan kepada penduduk Terengganu terutama di Parlimen Kuala Terengganu bukan berunsurkan rasuah untuk menarik pengundi pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan segala yang dibuat (bantuan) adalah sebahagian daripada pakej rangsangan fiskal.

Katanya, pakej rangsangan fiskal itu meliputi bantuan untuk seluruh negara termasuk di Kuala Terengganu dan juga Terengganu.


Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersalaman dengan hadirin ketika hadir pada majlis Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Jadi apa yang kita lakukan ini ialah untuk membahagikan bantuan bagi daerah Kuala Terengganu dan juga Terengganu.

“Itu bukanlah pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudahpun kita tentukan bermula pada Januari ini, sebelum Allahyarham Dato’ Razali Ismail ( Ahli Parlimen Kuala Terengganu) meninggal dunia,”kata beliau ketika sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Mesra Bersama Imam dan Bilal dan Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), di Primul Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (10 Januari).

Hadir sama, Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien; Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Alimuddin Mat Dom.


Antara guru dan hadirin yang hadir pada majlis berkenaan.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan kedua-dua program yang dihadiri beliau hari ini termasuk pada sebelah paginya pelancaran program PIA dan PIAS (Majlis Pelancaran Priojek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas Daerah Kuala Terengganu) yang melibatkan 583 kontraktor kelas F menjalankan projek kecil-kecilan juga merupakan sebahagian daripada projek rancangan fiskal.

“Jadi dengan erti katanya kita tetapkan mulai bulan Januari ini, projek itu mesti dilaksanakan dan peruntukan itu hendaklah dibelanjakan untuk tahun ini. Jangan bawa untuk tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, program kepada sekolah-sekolah agama seperti bantuan RM50 juta kepada SAKB yang disampaikan pada kali ini juga sebahagian daripada projek rangsangan fiskal.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Mohd Najib berkata, tindak balas daripada masyarakat di Kuala Terengganu amat positif untuk memilih parti Barisan Nasional dan BN berpeluang cerah untuk menang, bagaimanapun jentera parti itu harus bekerja keras sehingga hari pembuangan undi.

“Umumnya jentera berjalan dengan baik dan kita harus melihat beberapa aspek lagi yang harus diperbaiki,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Sabtu, 10 Januari 2009

Tiada Lagi Rumah Uzur

Oleh: Suriati Ali


Dato' Ahmad ditemubual oleh pengacara Selamat Pagi Malaysia TV1 di Dataran Batu Buruk. -Foto SHUHAIMI AHMAD.


Kerajaan negeri yakin dalam tempoh lima tahun akan datang tiada lagi rumah uzur dan usang di Terengganu berikutan langkah kerajaan negeri menyediakan kediaman lebih selesa kepada golongan kurang bernasib baik melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), setiap tahun.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut berusaha menggantikan atap rumah penduduk miskin dengan atap asbestos, bagi mengelakkan masalah kebocoran.

Bagi, merealisasikan matlamat itu, permohonan yang dikemukakan mereka yang cukup syarat akan disegerakan pembinaannya manakala penduduk yang atap rumah mereka bocor digantikan segera dengan atap asbestos biru.

Melalui pendekatan itu, kerajaan negeri percaya masalah kemiskinan tegar dapat dikurangkan secara berperingkat di samping melaksanakan beberapa program pembangunan lain bagi meningkatkan taraf hidup golongan miskin.

“Ini termasuk melaksanakan program menanam kelapa sawit dan padi di sekeliling rumah dan pendidikan bersistematik,’’ kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ketika ditemubual pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, 9 Januari. Temubual itu disiarkan secara langsung menerusi TV1.



Dato’ Ahmad berkata, dari segi pembangunan kerajaan negeri merancang untuk merakyatkan pembangunan. Ia penting kerana setiap pembangunan dilaksanakan, rakyat akan menerima faedah dan bukannya menjadi penonton semata-mata.

“Mengenai perancangan masa depan pula, kerajaan negeri perlu melihat kehendak rakyat, jika tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada mereka, kita tidak akan teruskan,” katanya ketika menjawab soalan mengenai pembangunan untuk rakyat.

Menteri Besar berkata, apa yang membanggakan, pencapaian pelajar negeri ini dalam peperiksaan utama iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini terus cemerlang.

“Terengganu mampu mengekalkan tempat pertama lapan tahun berturut-turut dalam UPSR,” katanya.

Wan Farid Pilihan Mutlak BN

oleh Faredzul Fadzal


Dato' Seri Najib bersalaman dengan tetamu yang hadir pada jamuan malam NGO Cina di Primula Beach Resort.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan Dato’ Wan Ahmad Farid adalah calon pilihan mutlak Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata dakwaan pihak tertentu kononnya bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu hanyalah pilihan individu pemimpin tertentu dalam UMNO, tidak berasas.

Menurutnya, dalam proses menentukan calon yang sesuai, beliau dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sepakat dengan pemilihan Dato’ Wan Ahmad Farid sebagai calon.

“Jangan jadikan isu..ada orang kata Dato’ Wan Ahmad Farid orang Pak Lah…bukan begitu..” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pecah Tanah Projek Perpindahan Penduduk Pantai Pandak Chendering, Kampung Cherong Binjai, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata Dato’ Wan Ahmad Farid dipilih bertanding pada pilihan raya itu kerana beliau adalah tokoh berpengaruh di kawasan berkenaan serta memiliki kelulusan tinggi.

“Saya cakap kat dia (Dato’ Wan Ahmad Farid) mesti gunakan ayat minta tolong dengan penduduk, hambakan diri untuk rakyat,” tambahnya.


Dato' Seri Najib melawat Peti Undi Bukit Bayas dalam DUN Ladang.

Sementara itu, Dato’ Mohd Seri Najib berkata, kerajaan BN tidak pernah lari daripada prinsip dan tanggungjawab parti itu kepada rakyat malahan melaksanakan perkara itu sejak dari merdeka hingga kini.

“Sebab itulah asas ekonomi negara kita lebih kukuh dari kebanyakan negara-negara dunia dengan ujian yang berlaku pergolakan ekonomi, sistem kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat,” jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia bernasib baik kerana tidak mengalami kesan seperti negara-negara lain namun masih dapat meneruskan projek pembangunan bukan pada kadar sedikit malahan menambah projek pembangunan.

“Contoh jelas projek rangsangan fiskal pada November lalu yang diumumkan dengan peruntukan RM7 bilion telah diluluskan. Sebahagian besarnya untuk membina rumah kos rendah di seluruh negara,” tambahnya.

Khamis, 8 Januari 2009

JENTERA BN PERLU KERJA KUAT

oleh : Faredzul Fadzal


Dato' Seri Abdullah bersama Ketua Wanita Umno Perhubungan Terengganu, YB Senator Hajah Wan Ramlah Ahmad, Dato' Ahmad Said dan calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.

Jentera Barisan Nasional (BN) diminta bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata semua wakil jentera di peti undi perlu berusaha gigih bagi meraih sokongan yang lebih tinggi dari pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata, calon BN Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat pengorbanan tinggi dengan melepaskan jawatannya sebagai senator dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkuatkuasa 5 Januari lalu.

“Saya hendak mereka (jentera parti) faham ianya risiko tinggi sebabnya saya kata kepada dia (Dato’ Wan Ahmad Farid) jika saudara tidak menang maka saudara akan hilang kedudukan sebagai ahli senat..akan hilang kedudukan sebagai timbalan menteri..dan saudara tidak boleh balik ke sana (Putrajaya) nakkan jawatan.

“Itu adalah risiko yang telah saya beritahu kepada beliau awal-awal lagi apabila saya dengar cakap-cakap yang beliau (Dato’ Wan Ahmad Farid) akan menjadi calon pilihan UMNO Bahagian Kuala Terengganu,” katanya.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan dengan Jentera BN Parlimen Kuala Terengganu (empat peringkat), di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu.


Dato' Seri Abdullah dan Dato' Ahmad Said beramah mesra dengan pemimpin wanita yang hadir pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.

Perdana Menteri menegaskan Dato’ Wan Ahmad Farid selaku Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu kini serius untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat bagi penduduk di Kuala Terengganu.

“Ini saya terangkan kepada wakil-wakil jentera pilihan raya yang ada kita memiliki calon yang begitu serius serta memiliki kekuatan yang ada pada dirinya yang dibawa seperti wakil rakyat lain,” tambahnya.

Beliau menjelaskan pengorbanan yang dilakukan calon BN itu dilakukan dengan niat ingin menabur khidmat kepada penduduk Kuala Terengganu, seterusnya menyambung legasi Allahyarham Dato’ Razali Ismail, yang mewakili kerusi Parlimen itu sebelum ini.


Sebahagian pemimpin wanita yang hadir pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita Terengganu di Wisma Darul Iman.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menasihatkan pemimpin parti itu supaya tidak memikirkan mengenai pemilihan UMNO pada Mac ini.

“Lupakan seketika….kerja kita hendaklah ditumpukan untuk memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya ini,” katanya.



UMNO Kemuka Calon Awal

Tindakan UMNO mengumumkan calon yang bakal bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, lebih awal membuktikan parti itu tiada masalah pemilihan calon.

Malah, Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, menegaskan hanya satu nama dikemukakan Badan Perhubungan UMNO Negeri, bukan dua atau tiga calon, untuk bertanding pada pilihan raya itu.

“UMNO Terengganu tidak ada masalah (menamakan calon) sebab dari awal lagi hanya ada calon tunggal, tidak ada orang lain dipilih melainkan satu sahaja yang dicadangkan kepada Badan Perhubungan UMNO dan dibawa ke Kuala Lumpur ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Terengganu, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, pada hari ini.

Pada pilihan raya itu, BN menamakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebagai calon dan pengumumannya dilakukan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Kediaman Seri Iman pada 20 Disember.
Pas pula hanya mengumumkan calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, pada 1 Januari lalu, iaitu lima hari sebelum hari penamaan calon.

Selepas BN mengumumkan calon, pemimpin Pas berdolak-dalik mengenai calonnya dan banyak pihak percaya parti berkenaan menghadapi masalah untuk berbuat demikian disebabkan banyak nama dikemukakan puak-puak berlainan dalam parti.

Dato’ Seri Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, apa yang penting kini semua pihak perlu bekerja gigih bagi memastikan calon BN menang dalam pilihan raya itu agar tradisi UMNO dalam membela nasib rakyat diteruskan.

“Dengan kawan-kawan yang datang ramai-ramai dari negeri-negeri lain membantu, maka ini sudah tentu kekuatan bertambah..tidak ada kekuatan pada tahun 2008..tidak ada kekuatan tambahan pada 2004. Tapi (pilihan raya ini) ada kekuatan tambahan,’’ tambahnya.

Jelasnya, dalam dua pilihan raya sebelum ini (2004 dan 2008) UMNO tidak mempunyai kekuatan tambahan, tetapi kali ini dengan adanya kekuatan tambahan beliau mengharapkan strategi UMNO lebih tersusun serta erat muafakat.

Beliau turut meminta usaha-usaha memberi penerangan kepada semua golongan, termasuk minoriti perlu ditingkatkan dengan menjawab segala persoalan mereka bagi memastikan penduduk kawasan Parlimen itu terus menyokong calon BN kerana ada banyak kebaikannya.
Perdana Menteri menaruh keyakinan bahawa pengundi akan memilih calon BN pada pilihan raya ini kerana mereka sudah berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008.
“Pada saya secara logiknya dengan kekosongan itu maka perlulah (pengundi) mengisi dengan seorang calon dari parti BN,” katanya.



Tingkatkan kebersihan masjid
Oleh: Suriati Ali



Iman dan bilal seluruh negeri bersalam dengan Menteri Besar ketika hadir pada Seminar Ke Arah Penubuhkan Yayasan Masjid Malaysia di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Saya akan berusaha meningkatkan lagi tahap kebersihan masjid sejajar dengan saranan kerajaan negeri yang ingin melihat tempat beribadat sentiasa dalam keadaan bersih dan terurus.

“Untuk mencapai tahap itu, saya akan pastikan setiap pengunjung tidak membuang sampah merata-rata dan kekalkan kebersihan tandas,” kata Imam Masjid Duyung Besar, Kuala Terengganu, Wan Abdullah Chik.

Wan Abdullah antara 2,500 imam dan bilal dari 483 masjid di seluruh negeri.
yang menghadiri majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, ketika ditemui selepas Seminar Ke Arah Penubuhan Yayasan Masjid Malaysia, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (7 Januari).

Manakala Imam Masjid Tebakang, Bukit Payong, Zainuddin Said, 65, berkata masjid kotor dan tidak terurus adalah berpunca daripada sikap jemaah itu sendiri yang kurang gemar amalkan kebersihan.

Katanya, sebagai contoh, jemaah luar yang datang untuk menunaikan solat turut makan dan minum, sisa serta plastik makanan itu dibuang merata-rata.

“Tabiat itu sukar dibendung kerana kebanyakan mereka mengganggap perkara yang dilakukan itu remeh dan tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada mereka,” katanya

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan negeri kesal dengan sikap masyarakat terutama umat Islam hari ini yang lebih kepada gemar kepada persekitaran kotor.


Seminar yang dianjurkan sedikit sebanyak dapat menimba maklumat terutama bagaimana menjaga kebersihan masjid.

Katanya, mereka tidak mengamal kebersihan bukan sahaja di tempat awam dan rumah malah bersikap demikian di kawasan masjid.

“Tabiat ini perlu diubah kerana masjid adalah tempat beribadat dan perlu dipandang suci daripada pelbagai aspek. Sekiranya kawasan ini sukar dijaga apatah lagi di kediaman sendiri,” katanya.

“Umum sudah tahu, sebagai umat Islam, kebersihan adalah perkara yang perlu diutamakan. Oleh itu, bermula tahun baru ini, kerajaan negeri menyeru supaya masyarakat berubah dan sentiasa amalkan kebersihan,” katanya.

Dato’ Ahmad berkata, imam dan bilal perlu memastikan masjid terutama tandas sentiasa dalam keadaan bersih dan terurus.

“Ia penting kerana sebahagian jemaah terdiri daripada pelancong luar, sekiranya masjid kotor secara tidak langsung imej Terengganu akan tercalar,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

DANA KHAS UNTUK PENGUSAHA BAS

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan cek RM144,000 kepada Kumpulan Utusan Malaysia untuk melanggan akhbar harian itu seterusnya diedarkan kepada pelajar seluruh negeri ini dalam memperkasakan pendidikan. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.



Kerajaan Negeri akan mewujudkan dana khusus kepada syarikat pengusaha bas di negeri ini untuk memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan, termasuk membeli bas baru.

“Setiap syarikat pengusaha bas disediakan dana RM1 juta di mana RM500,000 berbentuk pinjaman dan RM500,000 berbentuk geran yang tidak perlu dibayar,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada sidang media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, hari ini (7 Januari).

Katanya, kerajaan akan mengenal pasti beberapa syarikat bas henti-henti yang benar-benar memerlukan bantuan membeli bas baru dan pelbagai keperluan lain agar mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang.


Dato' Ahmad Said menunjukkan keluaran khas pilihanraya `Ganu Kita' untuk edisi pertama dan siap diedarkan seluruh Terengganu.

Menurut Dato’ Ahmad, kerajaan juga akan menghidupkan semula perkhidmatan bas Cas Ligas sebagai pengangkutan awam khusus di sekitar bandar dan sehingga ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Sehingga ini terdapat enam buah bas telah mula beroperasi dan berharap ianya dapat mengurangkan rungutan orang ramai mengenai pengangkutan awam dalam bandar,” katanya.

Sebagai permulaan, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma dan kerajaan belum menentukan kadar tambang dan tarikh penguatkuasaannya akan ditetapkan kemudian.


Encik Abdul Aziz menerangkan sesuatu kepada Dato' Ahmad Said mengenai sisipan bahasa jawi.

Menurut Dato’ Ahmad, dulu ada cadangan bas ini beroperasi ke daerah-daerah tetapi mendapat bantahan ramai terutama pengusaha bas yang sedia ada kerana dikatakan akan menjejaskan perniagaan mereka.

Sebelum itu Menteri Besar telah menyampaikan replika cek bernilai RM144,000 kepada Ketua Pengarah Kumpulan Utusan, Encik Abdul Aziz Ishak bagi pengagihan akhbar ke sekolah rendah dan menengah terpilih seluruh negeri.

Akhbar keluaran setiap Isnin yang diagihkan ke 120 sekolah rendah dan menengah mulai minggu depan turut memuatkan edisi jawi di samping sisipan pendidikan dan ruangan J-Qaf.

Langkah kerajaan menaja akhbar itu antara lain untuk menjadikan akhbar sebagai bahan pelajaran dalam darjah, di samping memupuk minat dan kecenderungan membaca di kalangan pelajar serta meningkatkan motivasi pelajar.

Unit Komunikasi Negeri

Rabu, 7 Januari 2009

TERENGGANU ERA BARU



Dato' Ahmad melahirkan kegembiraan setelah menerima cek replika hasil royalti minyak daripada Dato' Seri Najib.

"Penyerahan semula wang royalti minyak kepada Terengganu bukan sahaja mengeratkan hubungan kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri, tetapi juga adalah era baru untuk rakyat dan kerajaan negeri ini"Timbalan Perdana Menteri.

Terengganu kini memasuki era baru dengan penyerahan semuala wang royalti minyak yang membolehkan kepada penubuhan TIA selain penekanan kepada pembangunan untuk rakyat melalui Bajet 2009.

Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan Kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.

Sementara RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain dan keseluruhannya jumlah wang yang digunakan adalah sebanyak RM1.5 bilion.

Wang ini akan dituntut kembali kerana beberapa senarai lain yang dikehendaki masih belum disahkan oleh Kementerian Kewangan.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak, penyerahan semula wang royalti minyak kepada Terengganu bukan sahaja mengeratkan hubungan Kerajaan Pusat dengan kerajaan Negeri, tetapi juga adalah era baru untuk rakyat dan kerajaan negeri ini,

Beliau yang juga Menteri Kewangan menganggap penyerahan semula wang royalti minyak ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu membangun dan menyelsaikan masalah rakyat, khususnya kemiskinan.

Menurut Menteri Besar Dato' Ahmad Said, berkata Kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.

Kerajaan Terengganu menerima wang royalti minyak secara langsung daripada Kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion.

Beliau berkata jumlah itu, termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Kuala Terengganu pada 13 Disember lalu.

"Sebab itu, sehingga kini kita belum menarik balik saman Kerajaan Terengganu terhadap Kerajaan Pusat," katanya menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Saman terhadap Kerajaan Pusat berhubung isu royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh Pas pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Dengan pembayaran semula wang royalti minyak itu membolehkan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) untuk mengendalikan pelaburtn wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Pada 13 Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak berkata, penubuhan LPT yang merupakan cadangan Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.

Menurutnya, LPT akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu. Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan, " katanya selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar.

Sementara itu, kerajaan negeri akan memastikan tindakan bagi menjayakan setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan perlu mengutamakan kepentingan dan memberi keuntungan secara total kepada rakyat tempatan.

Bajet 2009 yang mengambil kira cabaran serta suasana ekonomi tidak menentu, disediakan dengan objektif untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan tema 'Merakyatkan Pembangunan'.

Dato' Ahmad berkata, usaha 'Merakyatkan Pembangunan' serta 'Merakyatkan Pentadbiran dan Pelaksanaan' bertujuan memastikan Terengganu terus membangun dan bergerak ke mercu jaya, selain rakyat merasa nikmat dan manfaatnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri merangka empat strategi bagi menjayakan segala agenda pembangunan yang berlandaskan 'Merakyatkan Pembangunan' ini.

Strategi utama adalah penerusan tumpuan agenda pendidikan dan latihan ini sebagai paksi modal insan manakala strategi kedua pemantapan usaha menyelesaikan isu kemiskinan.

Menurutnya, usaha memaksimakan penggunaan faedah kemajuan Sains, Teknologi dan Komunikasi menjadi teras kepada strategi ketiga dalam Bajet 2009.

"Strategi terakhir atau keempat yang akan ditekankan adalah membina daya tahan bagi mengharungi krisis ekonomi tempatan," katanya.

7,000 Pekerjaan Melalui Kilang Plastik


Dato' Seri Abdullah melancarkan Kelompok Industri Plastik Kertih sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad Said.

Kelompok Industri Plastik Kertih (KPP) mampu menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan keyakinan terhadap KPP ketika merasmikan Kilang KPP, di Kerteih, baru-baru ini.

KPP merupakan antara teras utama didalam projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) kini telah menerima suntikan awal dari tiga pelabur tempatan antaranya syarikat pembuat wayar dan kabel, Hi-Essence Cable Sdn Bhd yang melabur RM85 juta.


Dato' Seri Abdullah diiringi Dato' Ahmad dan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabeery Cheek melawat pameran sempena perasmian Kelompok Industri Plastik Kertih.


Menjelang tahun 2015, KPP mampu menarik nilai pelaburan RM2 bilion dengan kesemua 140hektar lot perindustrian yang ditawarkan.

Dengan lokasi yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih(KIPC), KPP dapat memanafaatkan industri hiliran hasil dari petroleum dan gas secara tidak langsung merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi serta taraf hidup rakyat di Pantai Timur.

Menurut Dato’ Seri Abdullah, usaha akan dipertingkatkan bagi mempercepatkan pembangunan KPP, terutamanya dalam menjalankan kerja-kerja asas dan prasarana bagi kemudahan para pelabur.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Exco-Exco Kerajaan Negeri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A.Aziz, Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican.


Pemandangan ilustrasi Kelompok Industri Plastik Kertih.

PENDIRIAN KITA

Memastikan Rakyat Mendapat Manfaat
oleh : Ruslan Abdul Rahman

Pembangunan adalah suatu perkataan yang mudah diucap, tetapi sukar untuk diberi makna yang tepat. Ada yang melihat pembangunan itu dari sudut fizikal. Misalnya apabila terdapatnya bangunan yang besar dan mencakar langit, jalan raya yang bersimpang siur dan sebagainya; itu sebagai tanda negeri atau negara itu sudah membangun.

Ada juga yang melihat dari aspek spritual semata-mata dengan mengatakan pembangunan fizikal itu tidak penting, mebazir, mewah dan tidak perlu. Mereka melihat pembangunan itu dari kerohanian. Kata mereka biarlah tidak ada pembangunan, mundur dan terkebelakang, asalkan kehidupan beragama dan nilai akhlak penduduk terpelihara. Mereka ini memahami ajaran agama dalam skop yang amat terbatas dengan tidak melihat pembangunan fizikal juga adalah tuntutan agama.

Walau apapun pengertian mengenai pembangunan, kita di Terengganu sudah melalui proses perubahan dari sebuah negeri yang mundur kini mampu bersaing dengan negeri lain. Terengganu sudah membina imej yang tersendiri. Imej negeri yang sedang membangun, tetapi masih terpelihara nilai-nilai ketimurannya.

Tidak sesiapa pun boleh menafikan tentang perubahan fizikal Terengganu, berbeza dulu dan sekarang. Bukan itu sahaja, pembangunan di bidang ilmu dan pendidikan, keagamaan atau pembangunan ekonomi, sosial dan modal insan cukup hebat di Terengganu. Semuanya di bawah kepemimpinan yang bijaksana dan berpengalaman.

Dalam hal ini pimpinan Terengganu, Dato' Ahmad Said mempunyai pendekatan sendiri dalam menggalas tanggungjawab. Beliau amat berwaspada dalam memacu pembangunan dengan terlebih dahulu menilai kesan dan impak yang bakal dirasai rakyat tempatan daripada setiap projek yang akan dijalankan.

Beliau pernah melafazkan bahawa "kita bukan menolak projek pembangunan, tetapi perlu dipastikan rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan itu." Perkara ini ditegaskan dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri di Institut Tadbiran Awam Negeri (INTAN) sebulan selepas beliau dilantik mengetuai kerajaan negeri.

Beliau memberi jaminan bahawa rakyat negeri ini akan menikmati suatu kehidupan yang lebih selesa dengan program pembangunan yang diatur untuk kepentingan dan faedah rakyat. Pemimpin berjiwa besar ini menyatakan menjadi tanggungjawab beliau untuk meneruskan segala perancangan yang dibuat kepimpinan terdahulu; segala yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada rakyat diberi jaminan akan diteruskan.

Manakala yang mendatangkan kesan negatif akan dikaji dan dilakukan pengubahsuaian bagi memenuhi objektif perjuangan untuk berbakti kepada rakyat. Menjadi keutamaan beliau untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan kesusahan rakyat di bandar dan luar bandar.

Marilah seluruh rakyat kita bernaung dan mendokong kepemimpinan yang menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam segala perkara yang dirancang dan dilaksanakan. Kepemimpinan datangnya dari rakyat dan kepimpinan ini adalah milik rakyat semua.

Ruslan Abdul Rahman



Asal Laut Balik Ke Laut
Oleh : Cicit Laksamana dan Nan Morrisa




Lagu Ulit Mayang yang mengandungi ungkapan "Asal Laut Balik Ke Laut, Asal Darat Balik Ke Darat", begitu sinonim dengan masyarakat tempatan. Malah, gema lagu tersebut juga sering berkumandang di luar negara apabila kumpulan kebudayaan dari negeri ini mempersembahkan tarian itu kepada warga asing di pesta-pesta kebudayaan.

Maksud yang tersirat di sebalik keindahan bait-bait lagu tradisional itu, kini memberi sinar baru kepada rakyat Terengganu apabila royalti minyak sebanyak 5 peratus dikembalikan semula kepada Kerajaan Terengganu.

Ini bermakna mulai tahun 2009 terimaan bukan hasil iaitu peruntukan Dana Khas yang diberi kepada Terengganu mulai 2004 akan digantikan dengan hasil cukai royalti. Sebanyak mana hasil royalti tersebut diperolehi akan disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri Terengganu.

Mulai sekarang, kerajaan negeri berkuasa penuh menggunakan wang royalti bagi melaksanakan apa-apa projek yang difikirkan perlu untuk membela nasib rakyat.

Selepas Dato' Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, mulai kedengaran cakap-cakap bahawa kerajaan negeri akan meminta Kerajaan Pusat mengembalikan semula royalti minyak.

Menariknya, cadangan tersebut turut disokong oleh pemimpin dan pengikut Pas walaupun tradisinya mereka membangkang apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, walaupun ianya memberi kebaikan kepada mereka.

Kemuncak perjuangan Dato' Ahmad Said untuk mengembalikan semula hak rakyat Terengganu itu ialah apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemberian tersebut sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu pada 14 Jun 2008.

Perdana Menteri menyampaikan berita gembira itu dalam satu majlis perjumpaan dengan pemimpin UMNO Terengganu dan makan tengah hari bersama pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan di Primula Beach Resort.

"Secara terperincinya, prosedur dan langkah yang akan diambil berhubung pemberian semula royalti minyak akan ditetapkan apabila perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu diadakan.

"Kerajaan Persekutuan akan mula bagi (royalti) sebaik semua telah dipersetujui," kata Perdana Menteri diiringi tepukan gemuruh para hadirin.

Berita gembira itu cepat merebak ke seluruh negeri. Baik kakitangan kerajaan, petani, penternak, nelayan, pengayuh beca, pemandu teksi, pesara atau suri rumah, mereka mengharapkan lebih banyak faedah dapat diraih hasil pemberian terus royalti kepada kerajaan negeri.

Penyokong pembangkang juga mengimpikan hasrat yang serupa kerana walaupun mereka tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi apa saja subsidi yang diberi kerajaan mereka 'sapu bersih'.

Malah ada sesetengah penyokong pembangkang tidak segan silu berjumpa dengan ketua kampung untuk menuntut hak masing-masing jika nama mereka tidak tersenarai sebagai penerima subsidi.

Sewaktu meminta subsidi tersebut golongan ini kadang-kadang lupa bahawa pada malam sebelumnya mereka berkumpul beramai-ramai di satu tempat untuk mendengar pemimpin mereka memaki hamun pemimpin kerajaan yang kerjanya membela nasib rakyat. Sikap mereka ibarat menjilat ludah sendiri.

Betapa gembira pemberian royalti kepada Terengganu, diterjemahkan secara praktikal apabila timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak, menyerahkan cek RM408.6 juta kepada Menteri Besar, di Stadium Negeri pada 13 Disember 2008.

Peristiwa bersejarah tersebut disaksikan lebih 2,000 orang terdiri daripada rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik-detik kegembiraan itu.

"Jangan risau. Biar kita dapat dulu pitis (duit hasil royalti). Bila dah ada pitis pandailah kita belanja.Tetapi saya jamin pitis ini memang klita akan gunakan untuk rakyat,"kata Dato' Ahmad Said berulangkali dalam setiap majlis selepas pengumuman Kerajaan Pusat akan menyerahkan semula royalti kepada Terengganu.

Jaminan Menteri Besar berjiwa rakyat itu terbukti bukan cakap-cakap kosong seperti yang selalu dibuat oleh pemimpin parti pembangkang. Sebaliknya kerajaan negeri terus merangka dan mengatur pelbagai usaha berpaksikan pembangunan modal insan.

Antaranya menyediakan peruntukan RM30 juta bagi melaksanakan Program Buku Elektronik (E-Book) mulai 2009. Melalui program itu yang julung kali diperkenalkan di negara ini, 25,000 pelajar tahun lima akan dibekalkan dengan komputer riba. setiap pelajar tidak perlu lagi menggalas beg yang sarat dengan buku ke sekolah kerana E-Book akan menggantikan buku teks.

Kerajaan negeri juga akan MERAKYATKAN PENDIDIKAN dengan menyediakan peruntukan RM149.11 juta juta kepada bidang pelajaran dan latihan. Rakyat akan menerima bantuan terus daripada kerajaan bagi memastikan kecemerlangan anak-anak mereka di bidang pendidikan.

Penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) juga bakal mengukuhkan lagi ekonomi negeri ini, khususnya dalam menangani krisis ekonomi global.

Melalui perbadanan yang diilhamkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pendapatan daripada hasil royalti akan digunakan untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri di masa depan.

Seandainya tidak ada lagi minyak yang boleh disedut dari perut bumi di perairan negeri ini, hasil keuntungan daripada pelaburan TIA akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat.

Bagi memastikan Terengganu menerima sepenuhnya wang royalti sejak 2004, kini kerajaan negeri sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh Kerajaan Pusat.

Sewaktu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang semasa sidang DUN baru-baru ini, Menteri Besar menjelaskan kerajaan negeri belum menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti berkenaan yang difailkan oleh Pas pada 2000 ketika kerajaan pembangkang itu memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Jawapan tersebut agak mengejutkan kerana banyak pihak terutama parti pembangkang menyangka bahawa kerajaan negeri telah menarik balik saman tersebut. Inilah kebijaksanaan pemimpin negeri dalam menangani isu tersebut dan mereka tidak gopoh untuk melakukan sebarang tindakan kerana kepentingan rakyat menjadi keutamaan.

Walau apapun strategi pemimpin kita, rakyat Terengganu pastinya menaruh keyakinan bahawa kerjasama erat antara pemimpin negeri dan Persekutuan, tidak ada pihak yang akan ditindas.

Malah, dengan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Pusat, isu royalti akan diselesaikan dengan cara terbaik dan rakyat Terengganu pasti akan mendapat rahmat yang mencurah-curah. InsyaAllah..


Dapatkan naskah GANUKITA terbaru untuk mengetahuinya.

BAYU TIMUR

___________________________


LPT - Harapan Rakyat Terengganu




Hubungan erat antara Kerajaan Pusat dan Terengganu tidak dapat dinafikan sesiapa, malah tradisi ini cukup menyerlah ketika era pemerintahan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kini pada era Dato' Ahmad bin Said, tradisi itu diperkukuhkan melalui hubungan dengan Timbalan Perdana Menteri (bakal Perdana Menteri), Datuk Seri Mohd Najid bin Tun Abdul Razak. Ini dibuktikan dengan dua langkah awal iaitu penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dan royalti minyak.

Kerajaan Pusat secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Terengganu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (LPT) dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion. Najib menyifatkan persetujuan sebagai gambaran kerjasama erat kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu bagi menjamin masa depan rakyat negeri berkenaan.

Kerana itu, tiada apa sebaik perkataan yang diucapkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Ahmad Said dan selain terima kasih banyak-banyak. Tindakan kedua-duanya yang berpandangan jauh demi menjamin hasil minyak dan kekayaan negeri dapat dirasai sama oleh cucu-cicit rakyat Terengganu ialah penubuhan LPT.

Pembabitan Seri Paduka dalam idea menubuhkan LPT ini menarik lebih-lebih sejak pilihan raya umum 2008 jelas Raja-Raja Melayu mula memainkan peranan semakin menyerlah dalam hal ehwal negeri. Malah kenyataan dan dan tindakan Raja-Raja Melayu mengambarkan mereka juga mahu mendapat "tempat" sewajarnya dalam isu-isu penting negeri dan negara.

Menurut sumber, cadangan mewujudkan LPT yang diilhamkan Sultan Mizan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat baru-baru ini, diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Exco negeri. Dengan sejarah yang dicipta ini, iaitu kali pertama bagi sesebuah negeri di Malaysia yang berpandangan ke hadapan, adalah sesuatu persediaan penting sekiranya hasil minyak tiada lagi.

Persetujuan dan tindakan bijak Ahmad Said dalam soal ini bukan sekadar membuktikan pentadbiran negeri Terengganu merangka masa depan dengan bijak tetapi juga melatih rakyat Terengganu di dalam pengurusan profesional. Mungkin jawapan kepada penubuhan LPT juga ialah menyekat atau menghindarkan ahli politik menggunakan sewenang-wenangnya pendapatan daripada hasil minyak apabila 'keborosan' dapat dilihat dengan nyata bagaimana wang royalti dibelanjakan dengan 'agak boros'.

Seri Paduka akan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat LPT, yang akan turut diangotai Menteri Besar sementara Lembaga Pengarahnya akan mengambilkira tokoh dengan kelulusan bersesuaian, personaliti di kalangan profesional, mempunyai integriti tinggi serta pengalaman pada peringkat antarabangsa.

Najib berkata pada 13 Disember lalu, pada prinsipnya, cadangan ini telah pun diluluskan oleh jemaah menteri. LPT adalah tindakan bersejarah bagi Kerajaan Terengganu kerana ia belum dilakukan negeri lain apabila dilaporkan akan menubuhkan LPT dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion. Matlamatnya ialah menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.

Terengganu kini mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia iaitu 6.5 peratus. Bagi menjamin fungsinya bergerak untuk tujuan jangka panjang, TIA akan melabur semula keuntungan untuk mendapatkan pertumbuhan lebih tinggi. Dividen akan diumumkan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri serta rakan pelaburnya.

Pengurusan serta pelaburan sumber kewangan LPT akan dilaksanakan pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan pendapatan berterusan untuk jangka panjang bagi Terengganu serta memberi faedah khususnya, generasi akan datang. Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengkhususkan sebahagian besar daripada royalti minyak dan gas kepada LPT untuk pembangunan ekonomi jangka panjang Terengganu.



Dalam usaha menjamin langkah mencapai pembangunan lestari jangka panjang, LPT juga akan terus melabur modal, simpanan dan keuntungannya untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi manakala dividen akan diumumkan kepada kerajaan negeri.

Akhbar Berita Harian menyebut, penubuhan LPT itu juga dibuat sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pendapatan negeri berkenaan mencukupi untuk menjana pembangunan bagi generasi akan datang terutama apabila negeri itu kehabisan sumber minyak dan gas.

Terengganu belum menggunakan sepenuhnya minyak dan gas namun kebimbangan tetap ada bahawa royalti tidak dibelanjakan sewajarnya, termasuk yang diterima oleh kerajaan Pas ketika memerintah Terengganu.

"Persetujuan dan tindakan bijak Ahmad Said dalam soal ini bukan sekadar membuktikan pentadbiran negeri Terengganu merangka masa depan dengan bijak tetapi juga melatih rakyat Terengganu di dalam pengurusan professional."

_____________________________________________________

Tabung Rawatan Dapat Tambahan


Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad

"Sejak Januari hingga November lalu, seramai 731 orang telah mendapat faedah daripada tabung tersebut yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM2.2juta,"



Tabung Kebajikan Rawatan Perubatan ditubuhkan kerajaan negeri Terengganu bagi membantu rakyat negeri ini mendapatkan bantuan kesihatan, akan ditambah.

Ini berikutan kesediaan Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan kepada tabung itu melalui Dana Khas Persekutuan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff hmad berkata baru-baru ini, Terengganu merupakan satu-satunya negeri menubuhkan tabung itu melalui peruntukan Dana Khas Persekutuan sebanyak RM2 juta setahun bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat bantuan dengan segera.

Katanya, kementerian sedia membantu jika peruntukan yang disediakan tidak mencukupi berdasarkan permohonan yang diterima.

"Sejak Januari hingga November lalu seramai 731 orang telah mendapat faedah daripada tabung tersebut yang melibatkan perbelanjaan kirakira RM2.2 juta," katanya ketika melawat seorang pesakit, Minah Mamat, 63, di Jalan Panji Alam di sini hari ini.

Turut sama hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nordiyanah Hassan.

Dalam lawatan itu, Abdul Latiff turut menyampaikan bantuan berbentuk hamper barangan keperluan kepada warga emas itu.

Minah yang terlantar sejak tiga tahun lalu kerana diserang penyakit jantung merupakan salah seorang yang menerima rawatan susulan daripada pihak hospital.

Menurut Abdul Latiff, pemberian bantuan yang telah diberikan melalui tabung itu termasuk untuk kehilangan anggota, alat bantuan pendengaran serta lampin pakai buang dan susu.

Beliau memberitahu, borang untuk mendapatkan bantuan tabung itu boleh didapati di Pejabat Kesihatan negeri dan daerah.